
MIRI: Miri FA menampilkan aksi bertenaga untuk menjuarai edisi pertama Liga Piala Lela Cheteria 2025, selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Kasuka FC, dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang & Belapan, Kompleks Sukan Berakas, Brunei Darussalam, petang semalam.
Kejohanan anjuran Yakin Football League itu menyaksikan kehadiran tetamu kehormat, Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Abdul Aziz Pengiran Jaya Negara Abu Bakar, yang turut menyempurnakan majlis penutupan kejohanan berprestij tersebut.
Aksi final bermula dengan penuh mendebarkan apabila penyerang Miri FA, Abdul Rafiq, membuka tirai jaringan seawal minit ke-1, sebelum menggandakan kelebihan pasukannya pada minit ke-47. Ahnaf kemudian memastikan kemenangan mutlak dengan gol ketiga Miri FA pada minit ke-74.
Kasuka FC bangkit mencipta tekanan, merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd Reza, termasuk satu pada minit ke-54, namun ia tidak mencukupi untuk menghalang Miri FA daripada menjulang trofi sulung kejohanan ini.
Kejayaan bersejarah itu turut diraikan oleh Pengurus Pasukan, Sonie Sekan dan Presiden Miri FA, Muhamad Saif Jubaidi, yang meluahkan rasa bangga atas pencapaian luar biasa skuad mereka.
Dengan kemenangan ini, Miri FA membawa pulang piala kejuaraan, pingat dan wang tunai sebanyak $5,000.00. Sementara itu, Limbang FA muncul naib juara dan PKT FT mengakhiri saingan di tempat ketiga.
Penganjuran Liga Piala Lela Cheteria 2025 bukan sahaja menjadi pentas mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak rantau Borneo, tetapi turut mengeratkan hubungan persahabatan antara pasukan dari Malaysia dan Brunei Darussalam.
Oleh Liong Chai Ling