
MINGGU lepas kolum ini memaparkan bagaimana usaha telah digerakkan untuk menjayakan program Minggu Perpaduan Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Minggu Berjaya.
Program minggu perpaduan ini berlangsung dari 16 November 1964 hingga 22 November 1964 di seluruh negara.
Pada hari perasmian Minggu Perpaduan di Kuching, kira-kira 10,000 orang yang juga terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan dan persatuan-persatuan sosial telah membanjirin Padang Merdeka.
Program tersebut dirasmikan oleh Gabenor Tun Abang Openg, manakala hadirin kehormat yang lain adalah Pemangku Ketua Menteri, James Wong, Menteri Hal-Ehwal Sarawak, (Tun) Dato Temenggung Jugah dan wakil-wakil dari Kerajaan Persekutuan.
Walaupun pada hari tersebut awam mendung dan diikuti hujan tetapi para hadirin tidak berganjak daripada berhimpun di Padang Sentral. Payung digunakan oleh mereka untuk melindungi daripada hujan yang membasahi bumi.
Perpaduan
Intipati ucapan perasmian oleh Tun Abang Openg menyentuh mengenai rakyat Sarawak melupakan segala perbezaan antara mereka untuk berdiri teguh bagi mempertahankan kemerdekaan.
Perhimpunan perpaduan ini menurut beliau sebagai bukti kepada dunia amnya dan Indonesia khasnya tentang perpaduan rakyat yang kukuh.

Ucapan perasmian oleh beliau kemudiannya disambung dengan ucapan rakaman daripada Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman selama 30 minit. Dalam ucapannya Tuanku meminta rakyat untuk bersatu dan menentang sebarang tindakan agresif dari Indonesia.
Dalam ucapannya, Temenggung Jugah menegaskan bahawa tujuan minggu tersebut diadakan adalah untuk menghimpunkan seluruh rakyat Malaysia agar bersatu padu menghadapi ancaman tindakan agresif Indonesia.
Seterusnya, James Wong dalam ucapannya menyeru rakyat supaya menunjukkan kesepaduan hati dan suara, agar seluruh dunia, khususnya Indonesia, melihat bahawa rakyat Malaysia bertekad mempertahankan kebebasan negara.
Wakil dari kerajaan Sabah juga hadir iaitu Thomas Jayasuria. Beliau juga diberi peluang untuk memberi ucapan pada hari pembukan minggu perpaduan tersebut. Semasa berucap beliau meminta rakyat memadamkan perbezaan antara mereka untuk tujuan bersatu bagi mengekalkan kemerdekaan Malaysia.
Pameran
Sebelum itu di sebelah paginya James Wong merasmikan Pameran Anti-Konfrantasi. Hadir bersama beliau dalam perasmian tersebut adalah Temenggung Jugah, Konsul Amerika Syarikat, William Brown, Timbalan Persuruhjaya British, H. P. Hall dan wakil Sabah Thomas Jayasuria. Pameran tersebut telah diadakan di Bangunan “Zaida”, Jalan Rock, Kuching.
Dalam ucapan beliau pada majlis pembukaan pameran itu menyatakan bahan-bahan pameran tersebut telah disumbangkan oleh Kerajaan Pusat dan sumber-sumber tempatan.
Antara bahan pameran adalah senjata dan peluru rampasan semasa konfrantasi, yang menjadi bukti keganasan yang dilakukan oleh pihak Indonesia.
Selain itu, turut dipamerkan gambar-gambar serta risalah propaganda Indonesia. Tayangan filem berkaitan juga diadakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Pada sebelah malamnya Gabenor Sarawak bersama isterinya merasmikan pula Pesta Berjaya di Padungan sempena minggu tersebut.
Kehadiran beliau disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perayaan, Pertandingan dan Drama, Abang Othman Abang Moasili dan ahli-ahli jawatankuasa tersebut.
Pesta
Abang Othman dalam ucapan pada pembukaan pesta itu menyatakan bahawa semua rakyat Malaysia dari Pulau Langkawi sampai ke Tawau dan penduduk di Sarawak sedang dalam usaha membina perpaduan dan setiakawan.

Menyentuh mengenai pesta itu, beliau memaklumkan bahawa pengunjung akan menyaksikan pelbagai tawaran hebat bermula dengan pertandingan membuat pasu kepada pertandingan bina badan, dan sukan yang terdiri daripada sukan tinju kepada pemilihan ratu cantik bagi minggu tersebut.
Dalam ucapan pembukaannya, Gabenor Sarawak menekankan peranan pesta tersebut sebagai wadah untuk menghimpunkan seluruh rakyat dalam membina persaudaraan.
Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana terdapat pemuda-pemuda Sarawak yang telah dikelirukan untuk menyeberangi sempadan, menjalani latihan ketenteraan serta kegiatan sabotaj, dengan tujuan kembali bagi menumbangkan kerajaan demokrasi.
Selain pesta, pelbagai acara sukan diadakan di Kuching. Pertandingan bola sepak telah diadakan pada 16 November 1964 dengan disertai oleh pasukan bola sepak dari jabatan kerajaan dan swasta serta persatuan. Acara sukan renang telah diadakan di Kuching pada 22 November 1964. Pelbagai kategori lumba renang telah diadakan.
Penyiaran
Minggu perpaduan kebangsaan ini dijayakan lagi dengan saranan James Wong dalam siaran radio kepada sekolah-sekolah dan badan pendidikan.
Intipati ucapan beliau ini menjuruskan kepada objektif minggu itu untuk menunjukkan perpaduan dan setiakawan rakyat Malaysia.
Oleh itu perlunya rakyat berusaha untuk mengekalkan kebebasan dan mempertahankan diri mereka daripada tindakan agresif Indonesia dan subersif komunis.
Sehubungan itu, tindakan perlu diambil untuk memperlihatkan matlamat tersebut dalam kalangan warga pendidik dan pelajar dengan mengadakan majlis simbolik melibatkan nyanyian lagu kebangsaan serta upacara menaikkan bendera pada waktu persekolahan.
Beliau berharap agar usaha ini dapat digerakkan dengan segera dalam minggu berkenaan.
Sokongan terhadap minggu tersebut juga dijelmakan dengan derma dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Antara yang memberi derma bagi Tabung Pertahanan Kebangsaan adalah dari Bintang Mass Youth Club.
Sumbangan sebanyak $500 telah diserahkan oleh Pengerusi kelab tersebut, Jamil Busrah, kepada Bendahari Jawatankuasa Tabung Pertahanan Kebangsaan, Wee Hood Teck.
Pada hari terakhir minggu tersebut acara perarakan sekali lagi diadakan untuk menunjukkan perpaduan antara rakyat.
Gabenor Sarawak mengetuai perarakan tersebut sejak awal pagi. James Wong sebagai Pemangku Ketua Menteri juga turut hadir.
Antara pihak dan persatuan yang menyertai perarakan ini ialah ahli Parlimen dan menteri negeri; perwakilan daripada pertubuhan sivik; persatuan masyarakat, termasuk Persatuan Indonesia Sarawak; pertubuhan amal kebajikan; kontinjen Palang Merah, Pandu Puteri dan Pergerakan Pengakap, serta pelbagai organisasi lain.
Minggu Perpaduan Kebangsaan atau juga dikenali sebagai Minggu Berjaya ini menunjukkan harapan besar penduduk Sarawak inginkan kedamaian dan mengekalkan kemerdekaan mereka daripada ancaman konfrantasi dan komunis.
Minggu ini sebenarnya bukan sahaja diadakan di Kuching tetapi digerakkan ke seluruh negeri Sarawak. Hal ini akan dibicarakan selanjutnya dalam keluaran akan datang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).