Dianggarkan kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet yang tidak sihat dan tiga juta daripada jumlah ini berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi.
Pengambilan garam yang berlebihan meningkatkan tekanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan penyakit buah pinggang, yang merupakan punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah, di kebanyakan negara berpendapatan tinggi serta sebahagian negara berpendapatan rendah dan sederhana, sumber pengambilan garam utama adalah daripada makanan diproses ultra (ultra-processed food) seperti mi segera, nuget ayam, burger, hotdog, ikan masin, telur masin, makanan dalam tin, kerepek dan keropok.
“Oleh itu, salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan pengambilan garam adalah melalui reformulasi produk bagi menurunkan kandungan garam dalam makanan tersebut,” katanya.
Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia pada tahun ini disambut pada 14 hingga 20 Mac 2022 dengan tema Tak Masin Tu Ok! Antara kumpulan sasaran utama adalah dalam kalangan industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi memastikan mereka komited dalam melakukan reformulasi produk makanan dan minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan.
“Di samping itu juga, pihak industri makanan diingatkan untuk mematuhi Akta Makanan, 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman. Berdasarkan hasil tinjauan di pasar raya di Malaysia pada tahun 2017, hanya separuh produk makanan menunjukkan label kandungan garam pada maklumat pemakanan.
“Pelabelan pemakanan dapat membantu pengguna memahami tentang kandungan nutrisi sesuatu produk makanan atau minuman, dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai membeli makanan yang lebih sihat dan sesuai dengan keperluan,” ujarnya.
Di samping itu juga, masyarakat Malaysia disarankan agar menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil langkah-langkah wajar bagi mengawal pengambilan garam seharian.
Semoga dengan pelbagai usaha yang dijalankan dapat menyediakan persekitaran yang menyokong amalan pemakanan sihat, bersih dan selamat.
Pelaksanaan cadangan ini dijangka akan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan terhadap kepentingan mengawal pengambilan garam seterusnya memberi impak kepada pengubahsuaian tingkah laku.
Oleh NUR AIN OTSMAN