Kerana gemar akan makanan Jepun, seorang lelaki tempatan di sini berjaya merealisasikan impiannya apabila berjaya mengusahakan perniagaan makanan dari negara matahari terbit itu.
Mohd Hairul Mohd Albe, 26, seorang penggemar makanan kini antara peniaga yang berhasil mewujudkan satu produk makanan luar sesuai dengan citarasa tempatan.
Bahkan gerainya yang terletak di Pantai ABF sering kali dikerumuni orang ramai, sekali gus menunjukkan populariti dan tahap penerimaan warga tempatan terhadap juadah itu.
Bermula dengan menjual Takoyaki yang diubah suai mengikut selera penduduk sini, kini jualan sudah dipelbagaikan dengan makanan Jepun lain seperti sushi.
“Idea ini bermula daripada minat saya yang suka makan lebih-lebih lagi makanan Jepun.
“Dari situlah lahirnya Takoyaki ini dan seterusnya berkembang sehingga ke makanan Jepun lain seperti sushi,” katanya.
Hairul yang jelas peramah orangnya begitu teruja untuk menerangkan maksud di sebalik nama takoyaki itu walaupun apabila sedang sibuk memasak ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.
“Takoyaki ini sebenarnya bermaksud bebola sotong kurita tapi saya buat versi saya sendiri mengikut cita rasa orang sini sebab bukan semua orang suka sotong kurita.
“Jadi, saya juga menghasilkan bebola ini menggunakan isi ayam dan ketam, namun nama takoyaki tetap dikekalkan kerana ia lebih sinonim dengan pembeli,” jelasnya.
Sementara sushi pula kata beliau, idea untuk membuat makanan itu adalah lebih baharu dilaksanakan berbanding dengan Takoyaki.
“Dahulu saya hanya berjual Takoyaki sahaja, baru sekarang menyediakan pilihan lain seperti sushi.
“Kini, sushi-sushi yang kami jual di sini adalah dalam kira-kira 20 lebih jenis,”katanya yang turut memberitahu bahawa semua makanan sushi itu dibuat oleh isterinya sendiri di rumah.
Selain itu, Hairul juga mula melakukan perkhidmatan penghantaran ke rumah kerana situasi Covid-19 yang masih menghantui negara ketika ini.
“Seperti yang kita ketahui, sekarang kita mesti kena mengubah cara yang sesuai dengan keadaan.
“Oleh itu, saya telah menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah bagi kawasan berhampiran dan mempunyai kru sendiri untuk melakukannya,” ujarnya.
Selain di Pantai ABF, Hairul juga mempunyai satu lagi gerai di Pasar Malam Bintulu yang dikendalikan oleh krunya dan kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi di lokasi lain selepas menerima sambutan menggalakkan di kedua-dua gerai.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP