
KUCHING: Tinjauan di lorong belakang sekitar Tabuan Desa dan Tabuan Jaya disifatkan sebagai ‘mimpi ngeri nyamuk’ oleh Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong, yang melahirkan kebimbangan penduduk hidup dalam ancaman berterusan wabak denggi.
Kong berkata beliau meninjau beberapa lorong belakang sekitar 2.00 petang tadi susulan banyak aduan diterima berhubung longkang tersumbat serta peningkatan risiko penyakit bawaan nyamuk.
“Keadaannya lebih teruk daripada sekadar longkang tersumbat,” katanya.
Menurutnya, sebaik melangkah masuk ke lorong belakang, kawanan nyamuk menyerbu mana-mana bahagian kulit yang terdedah sehingga hampir mustahil untuk berada di situ walaupun beberapa saat.
“Anda benar-benar boleh merasakan nyamuk hinggap di seluruh badan,” katanya, sambil menambah pergerakan juga sukar berikutan semak samun tebal yang di sesetengah tempat hampir menutup laluan.

Beliau berkata walaupun terdapat penduduk menyusun pasu bunga dan tanaman sayur dengan kemas di belakang rumah, beberapa bahagian lain dipenuhi semak samun. Air bertakung dilihat kekal dalam longkang dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan, manakala najis anjing turut mencemarkan kawasan berkenaan.
Kong turut memerhati beberapa pintu masuk ke lorong belakang telah ditutup, dipercayai bagi mengelakkan pencerobohan melalui laluan tersebut.
Menurut beliau, penduduk yang ditemui berkongsi kekecewaan sama dan mendakwa mereka tidak dapat berada lama di luar rumah kerana terlalu banyak nyamuk.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Koh berkata beliau tidak lagi berani menjemur pakaian di belakang rumah.
“Nyamuk terlalu banyak. Saya terpaksa menggantung pakaian di anjung kereta di hadapan walaupun kurang sesuai dipandang,” katanya, sambil menambah masalah sama turut berlaku di bahagian hadapan rumahnya.
Seorang warga emas dikenali sebagai Lee pula berkata beliau telah berhenti bersiar-siar di taman berhampiran sejak tahun lalu akibat gangguan nyamuk.

“Itu kegembiraan kecil harian saya. Sekarang sudah tiada,” katanya. Menurutnya, ada penduduk masih keluar dengan pemukul nyamuk, namun beliau dinasihatkan anaknya supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang risiko gigitan nyamuk Aedes.
Seorang lagi penduduk, Lim, berkata beliau kini perlu menggunakan semburan penghalau nyamuk setiap kali ke kedai runcit.
“Anak perempuan saya menasihatkan supaya tidak terlalu kerap menyembur kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang,” katanya.
Kong menggesa penduduk supaya terus berwaspada dan mengingatkan bahawa nyamuk Aedes berpotensi menyebarkan denggi, Zika dan chikungunya.
“Dengan musim panas yang semakin hampir, saya berharap pihak majlis akan menjalankan pembersihan menyeluruh dengan segera. Amat membimbangkan apabila kawasan ini telah menjalani pengasapan pada Isnin lalu, namun keadaan nyamuk masih seteruk ini,” katanya.
Beliau menegaskan perkara itu memerlukan perhatian segera dan menggesa pihak berkuasa turun padang meninjau keadaan sebenar.
“Saya berharap Datuk Bandar sendiri akan datang melihat apa yang terpaksa dilalui penduduk setiap hari. Hanya dengan itu keperluan mendesak ini benar-benar difahami,” katanya.
Oleh Connie Chieng