Mimi Fly bersyukur diiktiraf AIM25, teruskan perjalanan sebagai anak seni

Facebook
WhatsApp
MIMi Fly bercakap kepada media selepas meraih anugerah Lagu Perayaan Terbaik. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Penyanyi Mimi Fly meluahkan rasa syukur selepas hasil kerja seninya mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25), sekali gus menyuntik semangat untuk terus berkarya dalam industri muzik tanah air.

Mimi meraih pengiktirafan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Perayaan Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Tarian Terbaik dan Muzik Video Terbaik.

Menurut Mimi, kemenangan bukan menjadi tujuan utama kerana beliau berkarya atas dasar kecintaan terhadap muzik.

“Mimi berkarya sebab Mimi memang mahu berkarya. Menang atau tidak, Mimi masih ada banyak lagi karya yang Mimi mahu susunkan.

“Tetapi Mimi sangat-sangat bersyukur kerana Anugerah Industri Muzik mengiktiraf Mimi dan hasil kerja Mimi. Dengan itu, Mimi mendapat lebih banyak peluang untuk berkarya,” katanya.

Menurut Mimi, perjalanan seninya melalui pelbagai cabaran, termasuk tempoh berehat selama empat tahun sebelum kembali aktif berkarya.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, beliau berdepan kesukaran kerana merasakan kehilangan arah apabila tidak dapat menghasilkan karya baharu.

“Mimi kembali pada 2024 selepas empat tahun tidak berkarya langsung.

“Empat tahun itu sangat sukar kerana Mimi rasa hilang diri apabila tidak berkarya. Jadi apabila Mimi kembali dengan lagu ‘Angkat’ dan lagu itu mendapat kemenangan di AIM24, kemudian sekarang menerusi ‘Temberang’, Mimi rasa sangat bersyukur,” katanya.

Mimi berkata, kejayaan itu menguatkan keyakinannya bahawa muzik merupakan laluan yang ingin diteruskan sebagai seorang anak seni.

“Sebab inilah jalan yang Mimi pilih. Mimi adalah seorang anak seni dan Mimi ingin teruskan lagi perjalanan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan kecilnya yang sentiasa mempercayai kemampuannya walaupun bergerak sebagai artis bebas tanpa bernaung di bawah mana-mana label rakaman.

“Mimi ialah artis bebas. Mimi bukan di bawah label. Team Mimi tidak besar, tetapi mereka sangat percaya kepada Mimi dan mahu melihat Mimi berjaya.

“Mimi sangat bersyukur kerana mempunyai pasukan yang kuat serta keluarga yang sangat menyokong, terutama mama yang tidak pernah berhenti mendoakan Mimi,” katanya.

Oleh Adele Rissa