LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia awal 20an ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Sedarat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 0.13 gram.
Menurutnya, pemeriksaan saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan diketuai oleh Inspektor Muhammad Asyraf Azmi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Lubok Antu dan disertai 19 anggota pelbagai pangkat daripada pelbagai cawangan.
DSP Pricha berkata, operasi itu dilaksanakan bagi menurunkan kadar jenayah indeks, mencegah dan membanteras kegiatan jenayah serta kesalahan berkaitan dadah, selain mempergiat penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
“Sepanjang operasi, sebanyak 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Selain itu, sebanyak 135 kenderaan dan 150 individu diperiksa dalam sekatan jalan raya yang didirikan oleh IPD Lubok Antu,” katanya.
Beliau menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa terjamin serta bebas daripada ancaman jenayah.
Oleh Adi Safarman




