Miki Ghazali raih emas muay thai Sukan SEA 2025, belum rancang langkah seterusnya

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ATLET Muay Thai negara Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar bergambar bersama pingat emas yang dimenangi dalam kategori 57 kilogram pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 di Lumpinee Boxing Stadium, baru-baru ini. Foto Bernama

KUCHING: Atlet muay thai negara, Mohd Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki Ghazali, meluahkan rasa syukur selepas berjaya membawa pulang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Penampilan sulung Miki di temasya itu pada usia 16 tahun bukan penghalang untuk meraih kemenangan, meskipun berdepan petarung tuan rumah, Suphakon Sirilun, pada perlawanan akhir di Stadium Tinju Lumpinee, Thailand.

Katanya, usia tidak menjadi penghalang dalam gelanggang sebaliknya, kemahiran, keyakinan diri, dan persiapan rapi menjadi faktor utama menentukan kemenangan.

“Walaupun berasa gementar, keyakinan tetap ada kerana saya sudah membuat persiapan rapi.

“Kemenangan ke final menentang Thailand juga dijangka. Alhamdulillah, saya berjaya menang,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam tadi.

ATLET Muay Thai negara Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (kanan) melancarkan serangan ke atas atlet tuan rumah Suphakon Sirilun pada perlawanan akhir kategori 57 kilogram di Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini. Beliau meraih pingat emas dalam acara tersebut. Foto Bernama

Miki juga berkata beliau masih belum mempunyai perancangan khusus, dan berharap peminat terus menyokong perjalanan kariernya sebagai atlet muay thai negara.

Bagi perlawanan akhir kategori 57 kilogram, Miki Ghazali menewaskan Suphakon Sirilun dengan aksi dominan sepanjang tiga pusingan, menerima keputusan juri 10–9, 10–9, 10–9. Sebelum itu, beliau menyingkirkan wakil Laos, Seuaphom Thongbang, dengan keputusan 2-1 di peringkat separuh akhir.