WALAUPUN sudah bergelar Mr Asia lima kali serta juara dunia empat kali berturut-turut, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah masih meletakkan impian untuk beraksi di Sukan SEA sekali gus menyasarkan pingat emas buat negara.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 47 tahun yang mesra dengan panggilan Mike itu menaruh harapan tinggi terhadap penganjur temasya sukan dwitahunan terbesar Asia Tenggara edisi 2021 iaitu Vietnam, untuk menyenaraikan acara bina badan.
“Saya harap Vietnam senaraikan acara bina badan, terutama sekali kategori saya iaitu Athletics Physique. Namun jika acara tersebut tidak dipertandingkan, sekurang-kurangnya kalau ada kategori bawah 70 kilogram (kg), saya boleh sertai juga.
“Saya yakin boleh menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia jika diberi peluang sertai Sukan SEA nanti walaupun saya jangka akan menerima cabaran sengit daripada Viertnam, Thailand dan juga Myanmar,” katanya.
Kali terakhir sukan bina badan dipertandingkan di Sukan SEA adalah di Myanmar pada tahun 2013 dengan skuad negara berjaya meraih satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
Beliau tidak turut serta pada kejohanan di Myanmar itu kerana kategorinya tidak tersenarai dan Syarul Azman dalam masa sama memberi peluang kepada atlet yang lebih layak berdasarkan kategori yang dipertandingkan.
Seterusnya sukan bina badan turut tidak dipertandingkan di Kuala Lumpur pada 2017 ekoran Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) tidak mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila tempoh rayuan dibuka sebelum Malaysia memuktamadkan senarai sukan.
Dalam perkembangan lain, Syarul Azman, yang sudah memulakan sesi latihan di gimnasium sebaik sahaja kerajaan membenarkan perniagaan berasaskan sukan beroperasi semula pada 15 Jun lepas, mengakui itu adalah saat yang paling dinantikannya.
Katanya, selepas tiga bulan tidak berlatih dengan peralatan yang sesuai seperti di gimnasium, ototnya mula mengecut dan beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk mengembalikan keanjalan dan kekuatan otot seperti sedia kala.
“Memang saya ada buat latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ia tidak sama seperti latihan yang lebih teratur di gimnasium. Saya akui memang sangat terkesan dengan PKP tempoh hari, otot mula kecut.
“Sekarang sudah buat latihan yang teratur, memang ada rasa sakit sikit sebab sudah lama tidak berlatih betul-betul. Biasanya saya akan berlatih dalam dua jam sehari bagi satu masa tapi buat masa sekarang, kurang dari itu sebab badan rasa sakit,” katanya. -Bernama