KUCHING: Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 mampu mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dan hab sektor halal dunia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam secara digitalisasi sedunia.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tan Sri Dr Halim Mohammad berkata, penganjuran MIHAS 2021 akan memberi tumpuan mempamerkan 12 tonggak utama sebagai usaha komited memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab halal dunia.
Katanya, antara 12 tonggak utama tersebut merangkumi pendidikan, farmasi, perkhidmatan dan pengupaya, francais, fesyen, kewangan Islam, kosmetik dan penjagaan diri, media dan rekreasi, pelancongan mesra Muslim, e-dagang dan teknologi makanan.
“Penganjuran MIHAS tahun ini akan menerajui agenda digitalisasi untuk industri halal dalam membawa pelanggan, pelabur dan rakan dagang dengan mengadakan pameran secara maya bertemakan ‘Memperkasakan Halal, Esok, Bersama-sama,” katanya pada Sidang Media Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Edisi ke-17 (MIHAS 2021) secara atas talian melalui aplikasi Zoom, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Halim berkata tema tersebut sangat sesuai dengan penganjuran MIHAS 2021 di samping dapat menunjukkan semangat bekerjasama negara yang terlibat untuk mengatasi cabaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
Katanya, sebagai negara mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia juga tidak terkecuali daripada turut terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila Produk Negara Kasar (PNK) dan jumlah eksport negara menguncup pada 2020 sejajar dengan trend penurunan global secara keseluruhan akibat wabak tersebut.
Bagaimanapun katanya, inisiatif promosi perdagangan yang dilakukan oleh MATRADE membuahkan hasil dan pada Mac lalu, eksport Malaysia melebihi RM100 juta dan pencapaian ini berulang pada bulan April dan Jun.
Tambah Dr Halim, menjelang Julai pula eksport Malaysia mencapai pengembangan berturut-turut dari tahun ke tahun sejak September 2020.
“Melihat angka bulanan ini, kita berharap agar dapat mencapai angka sebanyak RM1 trilion sekali lagi menjelang akhir tahun ini memandangkan pernah mencapai angka tersebut pada 2018.
“Tambahan lagi, MIHAS tahun ini juga mencapai pencapaian penting di mana kita menerima penyertaan lebih daripada 500 peserta pameran melibatkan lebih 40 negara, termasuk peserta baru dari Mexico, Brazil, Chile dan Argentina,” ujarnya.
Sementara itu dedah Dr Halim, MIHAS kekal sebagai acara perdagangan halal utama bagi ekonomi halal global dan telah menarik lebih 400,000 pelawat perdagangan dari 88 negara dan memfasilitasi penjualan perdagangan lebih dari RM17.2 bilion atau USD4 bilion sejak ditubuhkan pada tahun 2004.
Jelasnya lagi, penganjuran MIHAS berfungsi sebagai pasaran global untuk pemain antarabangsa dan tempatan bagi merebut peluang dalam pernigaan hub halal selain mempermudah pengambilan dan penjualan barangan, produk dan perkhidmatan halal yang berkualiti di seluruh dunia.
Untuk rekod, penganjuran MIHAS 2021 akan berlangsung secara maya bermula 9 September hingga 31 Disember depan manakala Hab Pengetahuan MIHAS 2021 akan diteruskan dari 10 hingga 12 September ini.
Oleh SYAMIMI HUSNA