Migrain dikatakan sebagai satu sebab kepada sakit kepala yang berulang.
Menurut sumber http://www.myhealth.gov.my, kebiasaannya migrain bermula dari zaman kanak-kanak atau remaja, kemudian menjadi lebih ketara pada zaman remaja.
Umumnya migrain menjadi kurang kerap selepas umur 45-50 tahun, walaupun ada yang mungkin tidak hilang seumur hidup mereka.
Apakah punca sebenar migrain masih lagi tidak diketahui umum namun berdasarkan maklumat, migrain tercetus daripada beberapa faktor.
Antaranya adalah seperti faktor makanan, psikologi seperti kemurungan dan tekanan serta akibat pengambilan ubatan kawalan hormon seperti pil perancang keluarga.
Serangan migrain mungkin jarang berlaku, contohnya sekali dalam beberapa bulan, atau kadang-kadang lebih kerap contohnya beberapa kali dalam seminggu.
Kesakitan migrain boleh dirasai berlarutan sepanjang hari sehingga hari seterusnya namun masih boleh dirawat.
Sakit kepala migrain biasanya terjadi pada sebelah kepala sahaja dan biasanya digambarkan sebagai ‘berdenyut’.
Selain itu, pesakit boleh merasa loya dan kadang-kadang muntah semasa serangan migrain, kebanyakan pesakit tidak tahan dengan cahaya yang terang atau bunyi yang kuat dan mereka lebih selesa berbaring di dalam bilik yang gelap sehingga sakit kepala hilang. Pergerakan bahagian kepala juga mungkin menyebabkan kesakitan bertambah.
Seseorang pesakit diputuskan sebagai mengidap migrain berdasarkan gejala-gejala tersebut serta setelah doktor berpuas hati daripada pemeriksaaan fizikal bahawa pesakit tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa.
Tidak ada ujian yang khusus untuk migrain. Kadang-kadang pesakit juga boleh mendapat sakit kepala yang lain sebagai tambahan kepada sakit migrain.
Doktor yang merawat seharusnya bertanyakan semua tanda-tanda secara terperinci untuk membuat diagnosis yang betul. Jika terdapat ketidakpastian, ujian-ujian seperti pemeriksaan darah atau imbasan kepala perlu dibuat untuk memastikan tiada punca sakit kepala yang lain.
Bagaimana pula dengan rawatan bagi sakit migrain? Berdasarkan sumber juga, pesakit boleh menjalani rawatan akut dan rawatan pencegahan namun nasihat doktor terutamanya harus didapati sebelum memulakan rawatan.
Bagi rawatan akut, ia adalah bagi memberikan kelegaan yang segera seperti mengambil ubat penahan sakit dengan segera setelah timbulnya tanda-tanda sakit bermula.
Contoh-contoh ubat penahan sakit ialah paracetamol, mefenamic acid, ibuprofen, diclofenac, naproxen dan sebagainya.
Untuk rawatan pencegahan pula membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain. Ia diberikan apabila sakit kepala menjadi terlalu kuat atau terlalu kerap, dan mula mengganggu aktiviti seharian atau pekerjaan pesakit.
Contoh-contoh rawatan pencegahan adalah seperti pizotifen, flunarizine, propranolol, sodium valproic dan sebagainya. Pilihan ubat adalah berdasarkan kesesuaian dan kesan-kesan sampingan yang dihadapi oleh setiap pesakit.
Selain mengambil rawatan ubat-ubatan, pesakit juga dinasihatkan mengambil rawatan tanpa uabtan untuk mengurangkan serangan migrain seperti ‘relaxation training’, menangani stres, mengelakkan faktor pencetus seperti cahaya yang terang, setengah makanan/minuman, stres dan kurang tidur.
Kesimpulannya, serangan migrain yang kerap atau teruk boleh menggangu kehidupan seharian dan pesakit digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal gejala migrain untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik.
Oleh Alexandra Lorna