
KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) memanfaatkan kewangan Islam untuk mempercepat transformasi perindustrian negara, khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti pembuatan termaju, teknologi hijau, ekonomi digital dan industri halal.
Naib Presiden dan Ketua Penasihat Pemasaran dan Perniagaan MIDF Fadzlan Abu Bakar berkata kewangan Islam berfungsi sebagai pemboleh strategik untuk menyokong matlamat pembangunan Malaysia berdasarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Kami mendapati kewangan Islam bukan sahaja sebagai alat pembiayaan malah juga sebagai pemangkin yang menyokong pertumbuhan industri yang beretika, inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai penyedia perkhidmatan kewangan, MIDF menawarkan penyelesaian pembiayaan patuh syariah yang menggalakkan pembiayaan tanpa faedah dan perkongsian risiko yang saksama, memanfaatkan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin meningkatkan operasi dan menerima pakai teknologi baharu.
Antara program utama MIDF ialah skim Akreditasi Halal dan Penambahbaikan Teknologi (HATI), yang menumpukan dua cabaran utama yang dihadapi oleh PKS — pensijilan halal dan peningkatan teknologi.
“Melalui peruntukan dana RM100 juta, skim ini membantu PKS dalam sektor seperti makanan dan minuman, kosmetik, logistik, dan farmaseutikal dalam mendapatkan pensijilan halal dan pada masa sama meningkatkan keupayaan teknologi masing-masing,” katanya.
Menurut MIDF inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Halal Development Corporation (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan strategik lain.
MIDF juga merancang untuk melancarkan lebih banyak instrumen pembiayaan patuh syariah dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, disesuaikan dengan PKS dan firma bersaiz sederhana di samping mempercepat pendigitalan penyampaian kewangan Islam melalui platform teknologi kewangan.
Fadzlan berkata oleh yang demikian, MIDF berusaha untuk mengembangkan instrumen berasaskan ekuiti seperti Musharakah dan Mudarabah, dan meneroka pembiayaan Islam rakan setara kepada rakan setara dan platform berasaskan ‘blockchain’ untuk meningkatkan ketelusan dan ketercapaian.
Langkah itu juga bertujuan menyepadukan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan rangka kerja kewangan Islam MIDF untuk memastikan penjajaran dengan agenda kemampanan Malaysia.
Pada masa ini, MIDF menguruskan beberapa dana kerajaan yang menumpukan kepada ESG meliputi skim Pembiayaan Biz Mampan dan Hijau serta Pembiayaan Biz Mobiliti Mampan.
“Inisiatif ini menyokong perniagaan Malaysia dalam mengguna pakai teknologi yang lebih bersih, meningkatkan kecekapan tenaga, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem kenderaan elektrik.
“MIDF akan terus menjajarkan mandat pembiayaannya dengan dasar utama negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk memajukan peralihan karbon rendah negara dan menggalakkan ekosistem perindustrian yang inklusif dan mampan,” menurut MIDF.
Sementara itu, sempena Expo 2025 Osaka, MIDF menganjurkan forum bertajuk ‘Manfaat Kewangan Islam dalam Menyokong Ekonomi Global yang Berdaya Tahan’ di Dewan Perniagaan Pavilion Malaysia.
Forum itu memberikan pandangan mengenai sumbangan kewangan Islam dalam memupuk sistem kewangan global yang lebih berdaya tahan dan inklusif, dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam kewangan Islam dan pelaburan mampan.– Bernama