
KUALA LUMPUR: Microsoft hari ini mengumumkan pelancaran BINA AI Malaysia, satu inisiatif bertujuan menyokong fasa seterusnya dalam usaha mempercepat transformasi kecerdasan buatan (AI) negara ini.
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia Laurence Si berkata inisiatif itu juga menjadi pembaharuan komitmen terhadap daya tahan, keterangkuman serta kemampanan ekonomi AI Malaysia selain mewakili lebih daripada sekadar menyediakan prasarana serta komponen teknologi.
“Adalah menjadi komitmen kami untuk saling bekerjasama dengan kerajaan, rakan industri serta komuniti bagi memanfaatkan penerimagunaan AI, memacu inovasi dan membangunkan bakat kalis masa depan.
“Inisiatif utama BINA AI Malaysia adalah Pusat Inovasi AI Kebangsaan Microsoft yang bertujuan melanjutkan matlamat AI kebangsaan Malaysia yang bukan setakat memacu inovasi, tetapi mengupayakan kerjasama serta menyelesaikan cabaran tempatan dengan AI,” katanya pada sesi kunjungan AI Microsoft di sini, hari ini.
Si berkata gergasi teknologi itu turut bekerjasama dengan Pejabat AI Kebangsaan Malaysia (NAIO), Ernst & Young (EY) Malaysia dan Pusat Kepimpinan Petronas bagi inisiatif itu.
Dalam kenyataan berasingan, Microsoft berkata BINA AI Malaysia juga memaparkan komitmen syarikat terhadap pembangunan negara dengan tidak hanya menyediakan aspek prasarana dan penyelesaian teknologi yang diyakini, tetapi juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan rentas industri dalam memacu penerimagunaan AI serta membangunkan bakat sedia dengan teknologi itu.
Dalam pada itu, Si berkata di bawah inisiatif ‘AI for Malaysia Future’ (AIForMYFuture) yang dilancarkan pada Disember 2024, Microsoft berjaya melatih kemahiran 400,000 orang setakat ini yang merangkumi penjawat awam, masyarakat kurang berkemampuan serta profesional pelbagai industri.
“Kami memerlukan individu yang mempunyai kemahiran tepat bagi memacu transformasi ini. Oleh itu, dari inisiatif ini, kami menyasarkan untuk melatih 800,000 orang menjelang akhir 2025.
“Melangkaui aspek prasarana, kami juga komited dalam menyalurkan kemahiran digital dan AI untuk setiap rakyat Malaysia menerusi inisiatif AIForMYFuture, sekali gus menyokong wawasan negara ini untuk muncul sebagai peneraju digital serantau,” katanya.– Bernama