ADUAN… Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft berdepan aduan anti-persaingan di Eropah berhubung dengan perkhidmatan ‘Cloud’ di Eropah.
PARIS: Tiga syarikat telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Eropah terhadap Microsoft, menuduh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu melakukan amalan anti-persaingan dalam perkhidmatan ‘Cloud’, kata sumber yang disahkan pada Sabtu lalu.
“Microsoft melemahkan persaingan yang adil dan mengehadkan pilihan pengguna dalam pasaran perkhidmatan awan pengkomputeran,” kata salah satu daripada tiga syarikat Perancis OVHcloud dalam satu kenyataan.
Syarikat tersebut mengadu bahawa di bawah klausa tertentu dalam kontrak pelesenan Microsoft untuk Perkhidmatan Office 365, tarif lebih tinggi apabila perisian tidak dijalankan pada infrastruktur ‘Cloud’ Azure yang dimiliki oleh kumpulan AS.
Mereka juga mengatakan pengalaman pengguna lebih teruk dan terdapat ketidakserasian dengan produk Microsoft tertentu yang lain apabila tidak berjalan pada Azure.
Dalam satu kenyataan, Microsoft berkata, “Penyedia perkhidmatan awan Eropah telah membina model perniagaan yang berjaya pada perisian dan perkhidmatan Microsoft dan mempunyai banyak pilihan tentang cara menggunakan perisian itu.
“Kami sentiasa menilai cara terbaik untuk menyokong semua rakan kongsi kami dan menjadikan perisian Microsoft tersedia kepada semua pelanggan dalam semua persekitaran, termasuk mereka yang mempunyai penyedia perkhidmatan ‘Cloud’ yang lain,” ujarnya.
Aduan itu, yang pertama kali dilaporkan minggu lalu oleh Wall Street Journal telah dikemukakan pada musim panas lalu dengan Pihak Berkuasa Persaingan Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU).
Microsoft juga menjadi subjek aduan awal 2021 kepada Suruhanjaya Eropah oleh satu set syarikat berbeza yang diketuai oleh Nextcloud Jerman.
Ia mengecam integrasi yang semakin kukuh perkhidmatan awan Microsoft yang dikatakan merumitkan pembangunan tawaran bersaing.
Microsoft telah didenda beberapa kali oleh Brussels kerana amalan anti-persaingan berkenaan pelayar Internet Explorer, sistem pengendalian Windows dan peraturan pelesenan perisiannya. -AFP