KUCHING: Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang kini menggunakan dokumen mahkamah palsu bagi menimbulkan ketakutan kepada mangsa sehingga mereka mendedahkan maklumat peribadi atau membuat pembayaran.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, seorang ahli DAP baru-baru ini menerima satu dokumen melalui pos berdaftar yang kononnya merupakan penghakiman ingkar yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Beliau berkata, penerima yang tidak biasa dengan dokumen perundangan berasa cemas sebelum mendapatkan bantuannya.

“Selepas meneliti dokumen tersebut, saya mendapati ia adalah dokumen mahkamah palsu danmenasihatkannya supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap tuntutan berkenaan sehingga pengesahan dibuat,” katanya.
Menurut Kong, terdapat beberapa petunjuk jelas yang membuktikan dokumen itu dipalsukan.
Katanya, plaintif yang dinyatakan ialah sebuah firma guaman bersama nombor pendaftaran syarikat, sedangkan firma guaman di Malaysia didaftarkan dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah atau Persatuan Peguam Bela Sarawak, dan tidak mempunyai nombor pendaftaran syarikat.
Beliau berkata, semakan juga mendapati nombor pendaftaran syarikat tersebut sebenarnya milik syarikat lain.

Selain itu, nombor telefon yang tertera pada dokumen itu tidak sepadan dengan nombor rasmi firma guaman berkenaan dalam direktori Majlis Peguam Malaysia, sekali gus dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa.
Kong turut berkata nombor siri pada dokumen itu gagal disahkan menerusi sistem semakan dalam talian mahkamah, sekali gus mengesahkan ia bukan dokumen mahkamah yang sah.
“Modus operandi sindiket penipuan kini semakin canggih. Mereka menggunakan ancaman berkaitan tindakan undang-undang untuk menimbulkan ketakutan dan memaksa mangsa bertindak tanpa membuat semakan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima dokumen perundangan yang mencurigakan serta tidak menghubungi nombor telefon yang tertera pada dokumen tersebut.
Sebaliknya, beliau menggesa orang ramai mendapatkan nasihat peguam atau membuat pengesahan di pejabat pendaftaran mahkamah berhampiran bagi memastikan kesahihan dokumen itu.
Oleh Connie Chieng




