KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, menggesa langkah lebih tegas bagi membanteras kecurian identiti selepas membantu seorang individu tempatan yang mendakwa identitinya disalah guna untuk membuka beberapa akaun bank tanpa pengetahuannya.
Kong berkata mangsa yang dikenali sebagai Boby tampil mendapatkan bantuannya selepas mendapati identitinya dipercayai telah digunakan untuk membuka beberapa akaun bank.
Menurutnya, Boby menyedari perkara itu ketika mengunjungi sebuah cawangan bank di sini untuk membuat pertanyaan mengenai permohonan pinjaman.
Semasa berada di bank tersebut, beliau dimaklumkan bahawa tiga akaun bank telah dibuka atas namanya di sebuah cawangan di Johor, walaupun beliau mendakwa tidak pernah menjejakkan kaki ke negeri itu.
Kong berkata Boby kemudian dimaklumkan mengenai satu kes polis yang melibatkan sebuah lagi akaun bank tersebut yang didakwa dibuka atas namanya di Kuantan. Boby turut menafikan pernah ke Kuantan atau membuka akaun berkenaan.
Menurut Kong, Boby menetap di Sarawak sepanjang tempoh tersebut dan percaya maklumat peribadi serta identitinya telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak dikenali.
“Keadaan ini amat membimbangkan. Kecurian identiti bukan sekadar isu pentadbiran. Ia boleh menjejaskan reputasi seseorang, peluang pekerjaan, akses kepada kemudahan perbankan, selain menyebabkan mangsa yang tidak bersalah berdepan siasatan polis dan kerugian kewangan,” katanya.
Kong berkata beliau akan terus membantu Boby berurusan dengan pihak berkuasa dan institusi kewangan bagi membersihkan nama mangsa daripada sebarang salah laku.
“Tiada individu yang tidak bersalah sepatutnya menanggung akibat jenayah yang dilakukan oleh orang lain,” katanya.
Beliau turut menggesa polis, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan supaya memandang serius kes-kes yang disyaki melibatkan kecurian identiti dengan memperkukuh proses pengesahan pelanggan bagi mengelakkan pembukaan akaun palsu menggunakan identiti yang dicuri.
Pada masa sama, Kong menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau rekod perbankan dan kredit masing-masing serta segera memaklumkan kepada bank berkaitan dan membuat laporan polis sekiranya mengesan sebarang akaun atau kemudahan yang tidak pernah diberi kebenaran.
Oleh Connie Chieng





