Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Michael Kong gesa tindakan segera tangani risiko denggi di Tabuan Desa
  • Selatan
  • WILAYAH

Michael Kong gesa tindakan segera tangani risiko denggi di Tabuan Desa

Utusan Sarawak 4 hours ago
MICHAEL Kong memeriksa longkang di kawasan belakang Tabuan Jaya dan Tabuan Desa

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong, menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) supaya segera membersihkan longkang dan lorong belakang di Tabuan Desa, termasuk kawasan taman mini, bagi mengelakkan penduduk terdedah kepada risiko demam denggi.

Kong berkata, beliau turun padang meninjau keadaan di kawasan berkenaan hari ini selepas menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai masalah pembiakan nyamuk serta tahap penyelenggaraan yang tidak memuaskan.

“Saya berjalan melalui beberapa lorong belakang termasuk di belakang Tabuan Jaya dan kawasan taman mini hari ini. Apa yang saya lihat amat membimbangkan. Banyak longkang tersumbat dan dipenuhi air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Menurut beliau, sistem perparitan yang tersumbat dengan pasir dan mendapan, yang dipercayai berpunca daripada hakisan serta kotoran, memerlukan tindakan segera termasuk pembersihan menggunakan pancutan air bertekanan tinggi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan susulan yang diambil pihak majlis sejak aduan pertama dibangkitkan tahun lalu, sambil menyatakan tahap kebersihan keseluruhan kawasan itu masih belum memuaskan.

Dalam lawatan tersebut, beberapa penduduk memaklumkan kerja pengasapan telah dijalankan pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa masalah nyamuk kembali semula dalam tempoh singkat.

“Seorang penduduk memberitahu isterinya dijangkiti denggi tahun lalu selepas digigit nyamuk di kawasan itu dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau menggesa pihak majlis mengambil tindakan lebih berkesan bagi menangani punca masalah,” katanya.

Kong menegaskan pengasapan semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang.

“Pengasapan hanya membunuh nyamuk dewasa, tetapi tidak menghapuskan larva yang membiak dalam air bertakung. Pengasapan berlebihan juga tidak digalakkan kerana boleh menjejaskan alam sekitar dengan membunuh serangga lain serta berisiko kepada kesihatan warga emas dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pernafasan,” jelasnya.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan dan memaklumkan sebanyak 11 kes denggi telah dilaporkan di kawasan MJC dan Pine Square.

“Dengan kes yang telah dilaporkan di Kuching, pihak majlis mesti memandang serius perkara ini. Longkang perlu dibersihkan dan lorong belakang diselenggara secara berkala. Langkah pencegahan jauh lebih berkesan daripada tindakan selepas kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa penduduk memainkan peranan masing-masing dengan memastikan kawasan rumah bebas daripada air bertakung serta melaporkan lokasi berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk kepada pihak berkuasa.

“Denggi boleh dicegah jika kita bertindak awal dan bekerjasama. Pihak berkuasa dan komuniti mesti berganding bahu bagi memastikan kawasan kejiranan kita selamat dan bersih,” tambahnya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Keselamatan awam keutamaan MBKS: Wee Hong Seng tinjau rumah terjejas
Next: Jalan Kampung Baru Sebuan Besar dinaik taraf melalui RTP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.