
KUCHING: Keadaan sistem perparitan yang uzur di Lorong Bayor Bukit 1 menimbulkan kebimbangan berpanjangan dalam kalangan penduduk kawasan berkenaan, kata pembantu khas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Michael Kong Feng Nian.
Menurutnya, longkang di kawasan itu rosak dan tidak diselenggara dengan baik, malah banyak bahagian mengalami takungan air.
Katanya, keadaan tersebut telah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk dan menyumbang kepada peningkatan populasi nyamuk di Tabuan Jaya yang sering dibangkitkan oleh penduduk setempat.
“Ini bukan sekadar isu penyelenggaraan, tetapi juga kebimbangan kesihatan awam. Sistem perparitan yang tidak berkesan meningkatkan risiko demam denggi dan penyakit bawaan nyamuk lain, selain mencerminkan kegagalan menangani keperluan asas infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sistem perparitan sedia ada tidak lagi mencukupi dan perlu dinaik taraf segera bagi memastikan aliran air lebih lancar serta menghapuskan masalah air bertakung.
Menurutnya, sekiranya kekangan peruntukan menjadi halangan, pihaknya bersedia membawa perkara itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan peruntukan diperlukan, sebagaimana yang berjaya dilakukan bagi kerja naik taraf di Lorong Kedandi 2.
“Kami bersedia mengetepikan politik dan bekerjasama demi manfaat serta kesejahteraan kesihatan rakyat. Namun, usaha ini perlu dilaksanakan secara bersama. MBKS juga perlu tampil lebih proaktif dan mengambil inisiatif dalam menangani isu mendesak ini,” katanya.
Kong berkata, pihaknya akan terus membuat susulan dan mendesak penyelesaian segera serta jangka panjang bagi menangani masalah tersebut sepenuhnya.
Oleh Connie Chieng