
MIRI: Penganjuran Minggu Permotoran Antarabangsa Miri (MIBW) edisi ke-12 membuktikan bandar raya Miri semakin kukuh sebagai destinasi pelancongan serantau dan pusat aktiviti permotoran bertaraf antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program yang bermula sejak 2010 itu kini berkembang menjadi festival berskala besar yang menggabungkan elemen sukan, budaya, hiburan serta promosi pelancongan.
“Acara ini bukan sahaja mengangkat nama Miri dalam kalendar permotoran rantau ini, malah mengukuhkan kedudukan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak,” katanya ketika merasmikan MIBW 2025 di sini hari ini.
Kim Shin berkata penganjuran MIBW turut membentuk komuniti permotoran yang positif di samping menarik minat golongan muda agar terhindar daripada aktiviti tidak sihat.
Menurutnya, tahun ini lebih 1,000 penunggang dari Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura serta pelbagai negeri di Malaysia mengambil bahagian, dengan jangkaan kehadiran lebih 3,000 pengunjung sepanjang empat hari acara itu berlangsung.
“Kehadiran antarabangsa ini membuktikan bahawa Miri kini semakin dikenali sebagai pintu masuk pelancongan serantau.
” MIBW pastinya memberi impak positif terhadap ekonomi tempatan termasuk industri perhotelan, makanan, pengangkutan dan peruncitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua penunggang agar mengutamakan keselamatan jalan raya dengan mematuhi peraturan lalu lintas, menggunakan kelengkapan keselamatan lengkap serta mengelakkan tunggangan dalam keadaan mabuk atau letih.
“Jalan raya adalah untuk dikongsi bersama. Keselamatan bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga untuk keluarga, rakan dan seluruh masyarakat,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, rakan strategik, pihak berkuasa tempatan, sukarelawan serta semua kelab permotoran yang menjayakan acara berkenaan sehingga mampu bertahan hingga edisi ke-12.
“Mari kita jadikan MIBW Miri ini bukan sekadar acara permotoran, tetapi juga platform untuk mengukuhkan perpaduan, merancakkan pelancongan dan memperkenalkan Miri di pentas dunia,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling