SARIKEI yang dikenali sebagai Bandar Nanas di Sarawak, juga terkenal dengan hidangan mi udang yang berjaya menjadi salah satu tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Justeru itu, kunjungan ke bandar Sarikei menjadi tidak lengkap jika tidak menikmati keenakan dan keunikan mi udang yang amat popular ketika ini.
Salah seorang penggemar hidangan mi udang, Jackson Wong memberitahu, mi udang mula dikenali di pekan Jakar terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sarikei.
Menurutnya, seorang peniaga restoran di pekan Jakar memulakan perniagaan mi udang sejak lebih 20 tahun yang lalu.
“Berkat usaha kuat dan semangat gigih peniaga itu dalam masakan mi udang telah berjaya mengembangkan perniagaannya sekaligus mencetuskan fenomena mi udang sejak 10 tahun yang lalu.
“Kini, peniaga tersebut telah berjaya menjadikan masakannya sebagai satu jenama dikenali sebagai ‘Mi Udang Jakar ‘,” jelasnya dengan perasaan bangga.
Kini, katanya, mi udang bagaikan satu fenomena, ia bukan sahaja boleh didapati di pekan Jakar, malah hampir semua restoran di bandar Sarikei ada menjual hidangan tersebut.
“Mi udang sentiasa menjadi pilihan utama pengunjung di restorean, selain mi kampua yang berasal dari Sibu.
“Permintaan terhadap mi udang meningkat terutamanya pada setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Krismas. Ini kerana ramai anak muda yang berada di perantauan pulang ke Sarikei dan melepaskan rindu untuk menikmati mi udang.
“Begitu juga di pekan Jakar, menjadi sesak ketika musim perayaan berbanding hari-hari biasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jackson memberitahu, hidangan mi udang dimasak secara masakan Foochow dimana mi digoreng berasingan dari kuahnya.
Hidangan tersebut terdiri daripada mi kuning, udang sungai dan sayur sawi yang dimasak menggunakan sos kicap.
Beliau memberitahu, udang yang dimasak mempunyai tekstur yang bagus dan lembut, menjadikan mi tersebut sangat sedap.
“Penduduk tempatan akan datang ke kedai untuk menjual udang yang baru ditangkap begitulah stok udang segar yang diperolehi untuk memasak mi udang.
“Bagaimanapun, ketika musim hujan bekalan udang tidak dapat diperolehi kerana penduduk tidak turun menangkap udang,” ujarnya lagi.
Katanya, sebagai pelanggan mereka cukup bersabar untuk menunggu kerana mengambil sedikit masa untuk memasak hidangan itu.
“Mereka memerlukan masa untuk menyediakan dan memasak udang secara berasingan sebelum menggoreng mereka dengan mi.
“Tambahan pula, udang hanya disediakan selepas pelanggan memesan hidangan tersebut bagi memastikan ia sentiasa berkualiti,” jelasnya.
Selain daripada mi udang, pekan Jakar juga terkenal dengan serbuk kopinya. Pekan tersebut mempunyai kilang yang membakar biji-biji kopi yang membekalkan serbuk kopi kepada kedai-kedai kopi di Jakar dan Sarikei.
Antara tarikan pelancongan yang lain ialah rumah panjang tradisional seperti Rumah Nyuka di Ulu Sarikei dan tempat-tempat pelancongan seperti Air Terjun Pala Munsoh.
Oleh AKUN GIMAN