
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines MH102 terpaksa dilencongkan ke Bangkok, Thailand, akibat kecemasan kesihatan melibatkan seorang penumpang.
Pesawat jenis Boeing 737-800 dengan nombor pendaftaran 9M-MLN itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Dhaka, Bangladesh, sebelum mengubah laluan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.
Menurut laporan yang dipetik dari Astro AWANI, pesawat berkenaan berlepas dari KLIA pada 9.53 pagi dan selamat mendarat di Bangkok kira-kira dua jam kemudian.
Setelah situasi kecemasan dapat diatasi, pesawat itu berlepas semula dari Bangkok pada 1.29 tengah hari (waktu tempatan) dan dijadualkan tiba di Dhaka sekitar 4.49 petang waktu Malaysia.
Sebelum itu, Astro AWANI melaporkan bahawa pesawat Boeing 737-800 tersebut sedang terbang pada ketinggian 36,000 kaki di ruang udara Myanmar apabila kru pesawat mengisytiharkan kecemasan.
MAG turut menambah bahawa keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan pihak mereka.