
KUCHING: Stesen Petros Pelbagai Bahan Api (MFS) Batu Kawa dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat, sekali gus menjadi stesen ke-11 di Sarawak dan stesen perdana kedua yang menawarkan kemudahan bekalan hidrogen di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, hari ini melawat tapak projek berkenaan dan menerima taklimat daripada pasukan SEDC Energy (SEDCE) mengenai status pembinaan serta spesifikasi teknikal stesen tersebut.
Menurut kenyataan SEDCE, struktur fizikal MFS Batu Kawa telah siap sepenuhnya dan kini hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia untuk memulakan operasi.
Stesen ini akan menerima bekalan hidrogen daripada loji di MFS Darul Hana dengan kapasiti pengeluaran 150 kilogram sehari menggunakan sistem pengangkutan treler tiub dan pengisian mudah alih yang pertama seumpamanya di rantau ini.
Selain hidrogen, MFS Batu Kawa juga akan menyediakan bahan api konvensional dan pengecas untuk kenderaan elektrik (EV). Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) telah dilantik sebagai pengendali bagi menyokong pendapatan mampan koperasi tersebut.
Setakat ini, 10 MFS telah beroperasi di seluruh negeri, tiga lagi dalam pembinaan, manakala lebih 40 tapak lagi dalam proses pembangunan. Empat stesen MFS perdana turut dirancang di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
SEDC Energy kini turut memacu pembangunan loji hidrogen khas untuk menyokong projek stesen Transit Aliran Automasi (ART) di bawah sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) serta menerajui projek hab hidrogen H2ornbill dan H2biscus selaras dengan misi Sifar Bersih 2050.
Oleh Shikin Mahmud