MEXICO CITY: Seorang ketua kartel dadah yang dikaitkan dengan kehilangan 43 pelajar kolej sedekad lalu ditahan kembali di Mexico, biarpun dia sudah dibebaskan dari penjara pada 2019, kata pihak berkuasa.
Gildardo Lopez Astudillo atau digelar ‘El Gil’ ialah salah seorang yang dikatakan sebagai ketua kartel Guerreros Unidos dan dia dituduh sebagai dalang di sebalik kehilangan pelajar dari kolej guru Ayotzinapa pada 2014.
Lopez Astudillo ditangkap pada September 2015 di bandar selatan Taxco, negeri Guerrero, kira-kira 35 kilometer di utara bandar Iguala dari tempat pelajar itu hilang.
“Gildardo Lopez Astudillo sudah ditahan,” kata sumber keselamatan persekutuan yang mengetahui kes itu kepada pemberita, semalam, tetapi meminta namanya tidak disiarkan.
Sumber berkata, Lopez Astudillo juga sudah dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum Altiplano di negeri Mexico.
Kata sumber, suspek ditahan atas tuduhan ‘jenayah terancang’ tetapi siasatan boleh diperluaskan.
Pada September 2014, seramai 43 pelajar itu ke demonstrasi politik di Mexico City dan penyiasat percaya mereka diculik oleh kartel dadah bersekongkol dengan polis korup.
Keadaan sebenar kehilangan pelajar itu masih tidak diketahui namun suruhanjaya kebenaran yang ditubuhkan oleh kerajaan melabelkan kes itu sebagai ‘jenayah negara’ dan mengatakan tentera turut berkongsi tanggungjawab, sama ada secara langsung atau melalui kecuaian.
Penangkapan juga sudah dibuat untuk berpuluh-puluh suspek, termasuk anggota tentera dan seorang bekas peguam negara yang mengetuai siasatan kontroversi berhubung kehilangan besar-besaran itu.
Lebih mendukacitakan, hanya beberapa mangsa sahaja yang dikenal pasti.
Lopez Astudillo dibebaskan pada 2019 – tindakan yang dikecam oleh ahli keluarga pelajar yang hilang – selepas hakim mendapati bukti terhadapnya diperoleh secara haram.
Penahanan terbaharunya berlaku sewaktu keluarga mangsa sedang menyediakan demonstrasi untuk menandakan ulang tahun kehilangan pelajar. – AFP
Gambar
Penangkapan Gildardo Lopez Astudillo berlaku ketika saudara mara pelajar bersedia untuk demonstrasi menandakan ulang tahun kehilangan mereka