(“Rupanya masih luas benar laman ilmu ini, titian alam fikir dan dataran maya amat terbuka, sentiasa menguji kekuatan diri dan mencabar ketajaman akal minda,pada setiap masa dan ketika dan dalam kesempatan yang beraneka, aku tahu,Cikgu Awang Had, Cikgu Atan Long, Cikgu Fatimah Hamid Don, Cikgu Mohd Yunus, Cikgu Azman, Cikgu Isahak, Cikgu Safiah, Cikgu Ismail Hussein, Cikgu Nik Safiah, Cikgu Wahab Ali, Cikgu Asmah, kembaraku di benua asing dan pelayaranku di lautan siber, kalianlah yang tidak putus-putus menerangi lebuh rayanya – kukuh dan utuh, hingga perjalanan yang serba mencabar dan mendewasakan ini, terasa amat damai dan membahagiakan.’ Mengingati Tokoh II – Adi Badiozaman Tuah)
Prasyarat utama untuk menjadi guru yang berkesan adalah kemampuan, kecekapan dan kesungguhan seseorang individu itu untuk membina, mewujud dan memupukkan hubungan, perkaitan, pertalian dan rangkaian yang saling melengkapi antara domain-domain keperibadian, ilmu pengetahuan dan kemahiran keguruan. Pengalaman setahun mengikuti Kursus Diploma Pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, memberi dan meningkatkan kesedaran dan keyakinan saya tentang pentingnya domain tiga serangkai ini dalam pembentukan ketokohan dan kewibawaan seseorang guru. Malah, amat penting bagi saya adalah bimbingan dan didikan yang diterima daripada pendidik tersohor di Universiti Malaya pada waktu itu mengenai kaedah dan pendekatan untuk mengoperasikan anyaman ilmu dan kemahiran keguruan tersebut ke dalam bentuk amalan pendidikan yang berkualiti.
Kami selalu diingatkan bahawa keperibadian keguruan dan ilmu pengetahuan sahaja tidak akan dapat membantu proses penyampaian atau perkongsian content knowledge secara berkesan. Seseorang guru hendaklah juga memiliki beberapa kemahiran profesional keguruan bagi membolehkan dia berperanan secara cekap dan berkesan untuk menyampaikan dan meninggalkan kesan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar-pelajarnya dan mengimpakkan kehidupan seharian mereka sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab.
Semasa mengikuti kursus keguruan ini juga, kami diingatkan tentang perlunya beberapa kemahiran asas keguruan dimiliki untuk memperkukuh lagi kedudukan dan kehadiran kami dalam dunia pendidikan. Sebagai guru dan insan yang akan banyak berinteraksi dengan pelajar, ibu bapa dan rakan sejawat, sama ada di dalam atau di luar sekolah, selain dari penguasaan kemahiran pedagogi, kemahiran kepimpinan, kemahiran mengurus, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, kemahiran ICT, kemahiran teknologikal dan kemahiran mengurus masa, kami diingatkan untuk memberi keutamaan juga kepada penguasaan kemahiran sosial, kemahiran berkomunikasi, dan kemahiran bekerja berpasukan. Aspek kemahiran hubungan interpersonal dan intrapersonal yang dimiliki akan memudahkan kami menjadi guru yang mesra insan dan turut memberi kami kelebihan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik.
Kesan mendalam hasil interaksi keilmuan dengan tokoh-tokoh pendidik guru di Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya yang masih sampai sekarang mengisi benak fikiran pendidikan saya adalah mengenai makna pengajaran dan pembelajaran berkesan, guru sebagai pembina kurikulum, guru sebagai penyelidik, dan guru sebagai pentaksir pendidikan. Penulis difahamkan bahawa kedudukan penulis sebagai pengajar dan pendidik – menyampaikan ilmu pengetahuan dan membentuk insan – akan menjadi lebih berkesan sekiranya penulis sentiasa mengutamakan kebermaknaan secara menyeluruh proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu meaningful and effective teaching yang meninggalkan kesan keilmuan dan juga kesan rohani, emosi dan sosial.
Penulis juga difahamkan bahawa tiga kemahiran berikut, iaitu kemahiran membina kurikulum, kemahiran membuat pentaksiran dan kemahiran menjalankan penyelidikan merupakan kemahiran profesional yang perlu dikuasai untuk menjadikan proses pengajaran pembelajaran lebih berkesan dan lebih bermakna, sama ada untuk pelajar-pelajar penulis atau untuk diri penulis sendiri sebagai guru. Kami diingatkan bahawa seseorang guru perlu menyedari bahawa proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan melibatkan tiga komponen utama yang perlu saling melengkapi dan saling membantu antara satu dengan yang lain. Tiga komponen tersebut adalah: a) kebersediaan ilmu pengetahuan dan kecekapan pedagogi diri guru – sebagai content provider dan penyampai content knowledge; b) persekitaran pembelajaran yang kondusif – iklim sosial, kemudahan fizikal serta kelengkapan dan peralatan; dan c)kesediaan dan kebersediaan pelajar – minat, sikap dan social, mental and emotional readiness untuk diajar dan belajar.
Berkait rapat dengan peranan dan tanggungjawab membentuk dan melahirkan insan ini, persoalan berhubung dengan keberkesanan pengajaran atau pengajaran yang berkesan (teaching effectiveness or effective instruction) kerap juga ditekankan sebagai perkara yang perlu difahami dengan mendalam. Hakikat bahawa ia juga selalu disamaertikan dengan istilah keberkesanan guru (teacher effectiveness) turut menuntut kami menghayatinya, dan menempatkan beberapa kemahiran yang disebut tadi dalam konteks yang betul yang mewajarkan penguasaannya. Oleh sebab perkara ini mencerminkan hakikat bahawa sifat utama peranan dan tanggungjawab guru adalah mengendalikan pengajaran bagi membolehkan pembelajaran berlaku secara bermakna dalam kalangan pelajarnya, maka pengajaran berkesan dan pembelajaran berkesan – teaching effectiveness and effective learning – selalu dihubungkan dengan guru yang berkesan.
Dalam konteks ini, kami diingatkan bahawa keberkesanan pengajaran atau keberkesanan guru wajar diukur dari sudut pengaruh kami sebagai insan guru terhadap hasil pembelajaran dalam kalangan pelajar, atau melalui penilaian ke atas pertalian dan keberkaitan pendekatan dan amalan pedadogi yang kami gunakan dengan kejayaan meningkatkan kualiti dan keberhasilan pembelajaran murid. Sehubungan ini, tokoh-tokoh pendidik guru ini turut berkongsi dengan kami tentang hakikat bahawa kemahiran membina kurikulum, kemahiran menjalankan penyelidikan dan kemahiran membuat pentaksiran pendidikan adalah aset penting yang boleh membantu kami menjadi guru yang berkesan, pengendali pengajaran yang berkesan, dan pemangkin dan pendorong pembelajaran yang bermakna.
Terhasil secara langsung daripada penguasaan dan pengamalan kemahiran-kemahiran ini oleh guru adalah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang dicirikan oleh perkara-perkara berikut: iklim dan suasana pembelajaran yang kondusif; pentaksiran guru yang sistematik; pengajaran guru dan penglibatan pelajar yang berstruktur; pengajaran dan pembelajaran yang relevan; dan pengetahuan tentang isi kandungan. Melalui kajian tentang latar belakang pelajar dan penyelidikan mengenai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, dan juga melalui pentaksiran yang memberi fokus bukan sahaja kepada assessment of learning tetapi juga assessment for learning, kami akan memperoleh data penting mengenai kekuatan, kelemahan dan kecenderungan pelajar.
Kami dimaklumkan juga bahawa berpandukan ilmu pengetahun dan kemahiran membina kurikulum, segala maklumat yang dapat kami janakan daripada data-data tersebut akan membantu kami menyediakan program dan aktiviti pendidikan yang sesuai dengan kebolehan dan relevan dengan keperluan dan kecenderungan pelajar. Kami turut diingatkan bahawa data tersebut juga dapat membantu kami merancang dan menstrukturkan pelajaran, menyediakan bahan-bahan dan menetapkan kaedah dan pendekatan penyampaian dan pentaksiran yang boleh membina iklim dan suasana pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan. Program pembelajaran yang dibinakan berasaskan keperluan pelajar (student-based curriculum) memberi potensi tinggi bagi proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna (effective instruction and effective learning).
Tokoh-tokoh pendidik guru yang membimbing kami pada waktu itu turut menekankan pentingnya usaha sedar membina persekitaran yang selamat dan memupuk iklim sosial yang mesra pelajar. Kecekapan menyampaikan isi kandungan dan ilmu pengetahuan mata pelajaran, kebolehan untuk membangkitkan semangat dan rasa yakin diri dalam kalangan pelajar, dan kemahiran untuk mewujudkan hubungan sosial yang saling menghormati dan menghargai, adalah antara perkara yang penting dan perlu bagi membina suasana pembelajaran yang kondusif – bukan sahaja bagi yang menyampaikan atau berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga bagi yang mendapat manfaat dan menerimanya.
Pengamalan pentaksiran dan refleksi tentang pembelajaran melalui proses yang sistematik, sama ada berpaksikan konsep assessment of learning atau assessment for learning,disarankan kepada kami untuk diberi perhatian serius dalam usaha menjadikan diri kami guru yang profesional. Pentaksiran dalam bilik darjah ini disarankan supaya dijalankan secara kolaboratif oleh guru dan pelajar, khususnya bagi mengumpul data dan menjana maklumat untuk tujuan membuat keputusan tentang penambahbaikan amalan dan proses pengajaran dan pembelajaran. Tokoh pendidik guru ini juga mengsyorkan supaya kami memahami secara mendalam tentang pentingnya kajian tindakan digunakan juga sebagai satu pendekatan yang sistematik untuk mendapat data empirikal bagi tujuan tersebut.
Meskipun hanya setahun di Fakulti Pendidikan, namun penulis tahu bahawa kerjaya keguruan penulis, di sinilah bermulanya. Sesungguhnya penulis berasa amat beruntung kerana bukan sahaja penulis dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran keguruan, tetapi juga dicabar untuk mengamati dan memikir secara kritis dan kreatif pelbagai isu keguruan yang mempunyai potensi untuk mempengaruhi keberkesanan kami apabila berada di lapangan pendidikan. Pendedahan awal kepada dunia keguruan dan alam pendidikan ini memberi penulis satu peranan serta pengalaman baharu yang boleh membantu mewarnakan kehidupan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dan juga dengan sikap dan nilai kemanusiaan yang bersifat setempat dan sejagat. Penulis akui bahawa pengalaman keilmuan bersama tokoh-tokoh pendidik guru yang tersohor di Universiti Malaya telah mendorong penulis untuk memulakan satu dimensi baharu dalam dunia keguruan penulis, iaitu sebagai pemikir pendidikan atau sebagai a reflective practitioner.