SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Press Metal Bintulu Sdn Bhd, hari ini menandatangani pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dalam perkongsian akademik dan industri bersama.
Pengurus Besar Kumpulan Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Choa Wei Kiong berkata, pihaknya berterima kasih kepada UTS kerana memberikan mereka akses kepada kemudahan makmalnya, termasuk Mikroskop elektron pengimbas (SEM), sepanjang tempoh 2018-2021.
Menurutnya, sokongan murah hati UTS memainkan peranan penting dalam membolehkan mereka menjalankan pemeriksaan dan analisis produk, yang seterusnya membantu mereka meningkatkan kualiti produk.
“MoU awal antara organisasi kami memudahkan penubuhan Program Pemacu Pengambilan pada tahun 2018. Kami gembira dapat bekerjasama dalam inisiatif ini, dan kami percaya individu berbakat yang dihasilkan oleh UTS telah memainkan peranan penting dalam kejayaan organisasi Press Metal,” jelasnya pada majlis menandatangani MoU tersebut di UTS, hari ini.
Katanya, matlamat Press Metal adalah untuk mengukuhkan lagi kerjasama akademik dan industri melalui inisiatif penyelidikan bersama, biasiswa, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), latihan amali dan peluang pekerjaan.
“Dengan berakhirnya pandemik Covid-19, kami semua tidak sabar-sabar untuk meneroka potensi kerjasama antara UTS dan Press Metal. Kami berbesar hati untuk mendengar sebarang idea dan kemungkinan untuk pengajian akademik daripada komuniti UTS.
“Hari ini kami meraikan hubungan yang diperbaharui ini adalah usaha berterusan untuk mencapai pertumbuhan dan kemajuan UTS dan Operasi Press Metal Sarawak,” ujarnya.
MoU berkenaan ditandatangani antara Pengurus Besar Kumpulan Press Metal Bintulu Sdn Bhd Choa Wei Kiong dan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid di UTS.
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Timbalan Naib Canselor UTS Profesor Ir Dr Moh Shahril Osman dan Timbalan Pengurus Besar Press Metal Bintulu Sdn Bhd Low Kwong Fei.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Sumber Manusia, Andrew Chan, Timbalan Pengurus Besar, Low Kwong Fei, Timbalan Pengurus Besar, Dr Siew Eng Fui, PMB-CPRD, Nina Dunstan Meling, PMB-CPRD, Kenny Martin serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN