Meteorit Marikh terbesar ditemukan di dunia, dijual pada harga RM22.5 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

NEW YORK: Sebuah meteorit Marikh seberat 24.5 kilogram (kg) yang juga serpihan terbesar Marikh yang pernah ditemukan di Bumi dijual pada harga AS$5.3 juta (kira-kira RM22.5 juta) dalam acara lelongan Sotheby’s, baru-baru ini. 

Ia sekali gus mencatat rekod baharu dunia bagi harga meteorit tertinggi pernah dilelong.

Lelongan pada 16 Julai bagi batu yang dikenali sebagai NWA 16788 mencetuskan perang bida selama 15 minit antara pembida dalam talian dan melalui telefon.

“Ini adalah meteorit Marikh menakjubkan yang tercabut dari permukaan Marikh,” kata Naib Pengerusi Sotheby’s dan Ketua Global Bahagian Sains dan Sejarah Semula Jadi, Cassandra Hatton sebelum acara lelongan itu.

Fragmen itu ditemukan pada November 2023 oleh seorang pemburu meteorit di Gurun Sahara dalam wilayah terpencil Agadez di Niger.

“Penduduk tempatan sudah tahu ia sesuatu yang istimewa. Namun hanya selepas ia dibawa ke makmal dan diuji, barulah kami sedar ini adalah meteorit dari Marikh.

“Dan apabila keputusan ujian itu keluar dan kami bandingkan, kami dapati ini bukan sahaja berasal dari Marikh, malah ia adalah serpihan terbesar Marikh yang pernah ditemukan di Bumi,” kata Hatton. 

Kira-kira lima juta tahun lalu, sebuah asteroid atau komet dipercayai menghentam Marikh dengan kuat sehingga batuan dan serpihan lain terpelanting keluar ke angkasa.

“Jadi ia meluncur sejauh 140 juta batu (225 juta kilometer (km) merentas angkasa dan berjaya melepasi atmosfera Bumi,” kata Hatton lagi.

Seperti planet asalnya, NWA 16788 mempunyai warna kemerahan ketara serta menunjukkan kesan kerak lebur akibat perjalanannya yang ganas menembusi atmosfera Bumi.

Terdapat kira-kira 400 meteorit Marikh yang diiktiraf secara rasmi di Bumi, dan NWA 16788 adalah yang paling besar setakat ini. – AFP

Getah rambut Haaland habis dijual

PRODUK getah rambut Kknekki keluaran Dooji Co. yang direka khas untuk Erling Haaland dan mencetuskan permintaan tinggi selepas dipakainya pada

Dua maut dalam nahas helikopter di Kanada

VANCOUVER: Dua maut pada Selasa selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan terpencil di luar pantai British Columbia, Kanada, menurut media tempatan,