SAN FRANCISCO: Meta semalam mengumumkan beberapa peningkatan baharu yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi cermin mata pintar Ray-Ban Meta, termasuk keupayaan untuk berbual secara berterusan dan menterjemah bahasa.
Dengan kemas kini terbaharu, Meta menjadi antara syarikat teknologi pertama yang memperkenalkan video AI masa nyata pada cermin mata pintar.
Pemilik Ray-Ban Meta dalam program akses awal Meta untuk Amerika Syarikat dan Kanada kini boleh memuat turun firmware v11, yang memperkenalkan ciri “Live AI “, menurut syarikat itu.
Firmware v11 turut memperkenalkan terjemahan langsung, membolehkan pemakai Ray-Ban Meta menterjemah ucapan secara masa nyata antara bahasa Inggeris dengan Sepanyol, Perancis, atau Itali.
Ketika berbual dengan seseorang yang bercakap dalam Bahasa berkenaan, pemakai akan mendengar terjemahan dalam bahasa Inggeris melalui pembesar suara pada cermin mata, sambil mendapatkan transkrip di telefon pintar yang dipadankan.
Pertama kali diperkenalkan pada musim gugur ini, AI secara langsung membolehkan pemakainya terus bercakap dengan pembantu AI Meta, Meta AI bagi merujuk perkara yang mereka bincangkan sebelum ini dalam perbualan.
Ciri “Live AI” juga berfungsi dengan video masa nyata, membolehkan pemakai bertanya soalan mengenai apa yang sedang mereka lihat secara langsung. – Bernama – Xinhua