PUTRAJAYA: Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi membincangkan isu minyak dan gas serta Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berlangsung di Kementerian Kewangan di sini, pada Rabu lalu.
Mesyuarat itu diadakan selepas kata sepakat dicapai antara Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk penyelesaian secara rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai ke atas petroleum di Sarawak seperti diumumkan pada 8 Mei lalu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bersama MA63 selepas kata sepakat dicapai dan jawatankuasa dipengerusi bersama Menteri Kanan Infrastruktur-Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas yang ditubuh oleh Kerajaan Sarawak.
Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Peguam Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri JC Fong; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Datuk Sauu Kakok.
Jawatankuasa Pasukan Petugas itu ditubuhkan untuk meneliti pengurusan industri minyak dan gas di Sarawak dengan di peringkat negeri ia diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Manakala pada sidang media Jumaat lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak membentuk sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas untuk berunding dengan PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan mengenai industri minyak dan gas dan ia selari dengan pembentukan jawatankuasa lain yang dibentuk dalam Jawatankuasa Perundingan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai MA63.
Katanya, Jawatankuasa bekenaan di bawah badan legislatif negara akan melihat implikasi hukum dan undang-undang yang mengatur industri minyak dan gas.
“Ini akan dari aspek undang-undang kerana badan perundangan negara adalah badan pembuat undang-undang dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 berasal dari DUN.
“Tetapi kuasa eksekutif ini (diperlukan) untuk berunding kerana rundingannya lebih teknikal, manakala jawatankuasa di bawah jawatankuasa perundingan badan perundangan akan berada di bawah Abdul Karim (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Jumaat lalu.
Oleh Zarina Abdullah