
BETONG: Mesyuarat Pemantauan Pelaksanaan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Bahagian Betong telah berlangsung semalam di Pejabat Residen Betong.
Agenda utama mesyuarat menumpukan kepada isu kelewatan pelaksanaan projek serta perbincangan langkah-langkah penyelesaian segera.
Mesyuarat bermula pada 9.00 pagi itu dipengerusikan Residen Betong, Richard Micheal Abunawas dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta ADUN Kalaka, Mohamad Duri.
Agenda utama termasuk laporan jumlah Notis Perubahan (NOC) projek RTP 2019 hingga 2025, status projek yang masih belum bermula walaupun sudah menerima Surat Setuju Terima (SST), serta pembentangan senarai projek sakit oleh agensi pelaksana.
Menurut Dayang Noorazah, mesyuarat ini menjadi medan penting menyelaras pemantauan, mengenal pasti punca kelewatan, dan mempercepatkan pelaksanaan agar manfaat projek segera dirasai rakyat.
“Pendekatan pemantauan berterusan membolehkan halangan dikenal pasti lebih awal dan ditangani bersama, sekali gus memastikan projek RTP benar-benar mencapai matlamat meningkatkan kemudahan asas luar bandar,” jelasnya
Mesyuarat kali ini katanya menegaskan kerjasama semua pihak sebagai kunci mempercepat pembangunan infrastruktur luar bandar, seiring aspirasi kerajaan Sarawak memperkasa taraf hidup rakyat secara inklusif.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Audit Dalaman Jabatan Premier Sarawak, Dampa Long bersama pegawai daerah, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Daerah Betong, wakil Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak Energy Berhad (SEB) serta Majlis Daerah.
Oleh Adi Safarman