Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mesyuarat Majlis Pembangunan Kanak-kanak Sarawak diadakan Februari ini, kaji kemasukan murid enam tahun ke Darjah Satu
  • TEMPATAN

Mesyuarat Majlis Pembangunan Kanak-kanak Sarawak diadakan Februari ini, kaji kemasukan murid enam tahun ke Darjah Satu

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO’ Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui media selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik di Baitulmakmur II, hari ini.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan mengadakan mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak bagi membincangkan implikasi kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke Darjah Satu, dengan penekanan terhadap aspek kesiapsiagaan sekolah akan diadakan pada Februari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata kemasukan murid ke Darjah Satu pada usia enam tahun merupakan amalan di kebanyakan negara maju dan akan dilihat dari sudut kesediaan kanak-kanak untuk mengikuti pendidikan formal.

Menurut beliau, konsep kesiapsiagaan sekolah melibatkan pelbagai aspek termasuk perkembangan sosial, kognitif, emosi dan fizikal, selain keupayaan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran formal seperti tempoh masa di sekolah, interaksi sosial dan pembelajaran dalam kelas berskala lebih besar.

“Walaupun kanak-kanak berusia enam tahun didapati sudah matang dari segi intelek, fizikal dan sosioemosi, kita perlu ingat bahawa kadar perkembangan setiap kanak-kanak adalah berbeza walaupun umur mereka sama,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah SeDidik di Baitulmakmur II, hari ini.

Beliau berkata terdapat kanak-kanak yang bersedia sepenuhnya untuk ke sekolah rendah, namun masih ada yang memerlukan sokongan tambahan bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, khususnya dari segi interaksi sosial dan emosi.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Fatimah menegaskan kepentingan guru Darjah Satu menerima fail perkembangan kanak-kanak daripada prasekolah bagi memahami latar belakang, tahap perkembangan serta keperluan individu setiap murid, termasuk kanak-kanak yang pemalu, mempunyai keperluan khas atau belum bersedia sepenuhnya untuk pendidikan formal.

“Kanak-kanak yang belum bersedia tidak harus dimarahi, sebaliknya perlu dibantu supaya mereka berasa selesa dan tidak bimbang apabila berada di sekolah,” jelasnya.

Menurut beliau, implikasi kemasukan murid enam tahun ke Darjah Satu juga akan dibincangkan dari sudut penyesuaian di peringkat prasekolah, tadika dan taska, termasuk perubahan komposisi umur kanak-kanak yang diterima oleh penyedia perkhidmatan pendidikan awal.

Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak itu, katanya, akan melibatkan wakil persatuan pengusaha tadika termasuk Association of Kindergarten Operators (AKO), Persatuan Guru Tadika, selain guru-guru pengasuh, persatuan pengasuh berdaftar serta wakil sektor nurseri dan taska di negeri ini.

Dato’ Sri Fatimah menegaskan bahawa perbincangan tersebut penting bagi memastikan sebarang perubahan dilaksanakan secara terancang dan berfokuskan pendekatan berpusatkan kanak-kanak, selaras dengan prinsip pendidikan awal yang mengambil kira perbezaan individu dan kadar perkembangan setiap kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Fatimah Abdullah menyifatkan langkah pengecualian yuran pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan politeknik kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai satu keputusan yang wajar dan tepat.

Beliau berkata, pencapaian individu OKU yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau politeknik merupakan satu kejayaan luar biasa memandangkan pelbagai cabaran yang perlu mereka hadapi.

“Dengan segala kekangan dan keupayaan yang berbeza, namun masih mampu mencapai tahap setara dengan individu normal, saya rasa pemberian insentif seperti ini adalah satu perkara yang wajar,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu berkeperluan khas untuk berusaha melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain membantu memudahkan kehidupan mereka.

Beliau menegaskan bahawa langkah tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan OKU dan merupakan manifestasi sebuah kerajaan yang mengambil berat terhadap rakyat berkeperluan khas.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Sarawak bakal berlangsung 4–7 Februari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.