
PETRA JAYA: Mesyuarat jawatankuasa pengelola Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah diadakan petang tadi di Bilik Mesyuarat Utama, Blok Pentadbiran Pejabat Astana Negeri.
Mesyuarat penting ini dipengerusikan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie.
Objektif utama mesyuarat adalah untuk menyelaras tugasan semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan istiadat tersebut dari 9 hingga 12 Oktober depan.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil dari pelbagai agensi utama termasuk Unit Pentadbiran, Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri, Jabatan Premier Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RTM, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), TVS serta pegawai kanan Pejabat Astana Negeri.
Antara perkara utama yang dikongsikan dalam mesyuarat adalah urusan jemputan dan protokol, persiapan logistik, keceriaan dewan, kawalan keselamatan dan lalu lintas, jamuan, perlindungan, perubatan dan kecemasan, publisiti, serta pengurusan acara.
Dato’ Sri Syed Hamzah turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua ahli mesyuarat dan menzahirkan harapan agar segala tugasan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Mesyuarat diakhiri dengan sesi lawatan tapak ke Dewan Utama Astana Negeri yang diketuai oleh pengerusi bersama ahli-ahli jawatankuasa.