Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Messi tidak dimamah usia, rekod jaringan Piala Dunia dalam genggaman
  • SUKAN

Messi tidak dimamah usia, rekod jaringan Piala Dunia dalam genggaman

Utusan Sarawak 7 hours ago
LIONEL Messi kini berkongsi rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia dengan 16 gol selepas aksi pembukaan Argentina pada Piala Dunia 2026. Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Kapten Argentina, Lionel Messi, dan juara bertahan Piala Dunia Argentina bakal berdepan Austria di Dallas pada jam 1 pagi esok (waktu Malaysia) dengan bintang veteran itu hanya memerlukan satu lagi gol untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia.

Messi, yang akan menyambut ulang tahun ke-39 pada Rabu, menyamai rekod 16 gol milik Miroslav Klose selepas meledak hatrik dalam kemenangan 3-0 ke atas Algeria pada perlawanan pembukaan.

Kapten Argentina itu dilihat sebak selepas menjaringkan gol pertamanya, dan kemudian didedahkan bahawa bapanya sedang menjalani pemulihan akibat masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.

Walaupun berdepan masalah peribadi dan persiapan yang terganggu akibat kecederaan hamstring, kehadiran Messi terus menjadi sumber inspirasi buat rakan sepasukannya.

“Jika ada yang beranggapan pasukan ini lebih baik tanpa Leo, hari ini jelas menunjukkan bahawa Leo adalah pemain paling penting dalam pasukan,” kata pemain tengah Alexis Mac Allister selepas kemenangan ke atas Algeria.

Argentina boleh mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya sekiranya menewaskan Austria dan akan muncul juara Kumpulan J jika Jordan gagal menewaskan Algeria pada Isnin.

Mbappe capai 100 penampilan

KYLIAN Mbappe bakal mencatat penampilan ke-100 bersama Perancis walaupun baru berusia 27 tahun. Foto AFP

Seorang lagi pemain yang turut memburu rekod penjaring terbanyak Piala Dunia, Kylian Mbappe, bakal membuat penampilan ke-100 bersama Perancis apabila berdepan Iraq di Philadelphia.

“Tiada yang lebih besar daripada itu. Angka 100 adalah satu pencapaian bersejarah dan peluang mencapainya di Piala Dunia menjadikan perlawanan ini sangat istimewa buat saya,” kata Mbappe kepada wartawan pada Ahad.

Mbappe, 27, kini berkongsi rekod 14 gol bersama legenda Jerman Barat, Gerd Mueller selepas menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan I.

Perancis, yang tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti pada final 2022, dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Iraq sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Norway dan penyerangnya, Erling Haaland, yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Iraq 4-1, juga berpeluang mengesahkan kemaraan daripada Kumpulan I jika mereka menewaskan Senegal di New Jersey dan Perancis mengatasi Iraq.

Magis Cape Verde

PENYERANG Cape Verde, Helio Varela (kanan) meraikan gol penyamaan bersama Ryan Mendes ketika seri 2-2 menentang Uruguay. Foto AFP.

Dalam aksi Ahad, Sepanyol kembali ke landasan kemenangan dengan membelasah Arab Saudi 4-0, manakala pendatang baharu Cape Verde sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengikat Uruguay 2-2.

Juara Eropah, Sepanyol, sebelum ini dikritik selepas seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam perlawanan pertama.

Bagaimanapun, menentang Arab Saudi, bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, membuka tirai jaringan dalam penampilan pertamanya selepas dua bulan berehat akibat kecederaan hamstring.

Mikel Oyarzabal menambah dua gol lagi sebelum Hassan al-Tambakti menjaringkan gol sendiri.

Jurulatih Sepanyol, Luis De la Fuente, berkata kritikan terhadap prestasi pasukannya menjadi pembakar semangat.

“Apabila seseorang mempertikaikan usaha anda, adalah lumrah bagi sesiapa yang mempunyai keberanian dan maruah untuk bangkit membuktikan mereka salah,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan Sepanyol di tangga teratas Kumpulan H dengan empat mata selepas dua perlawanan.

Cape Verde pula mengutip satu lagi mata berharga selepas seri dengan Uruguay di Miami.

Jurulatih mereka, Bubista, berkata pasukannya kini mula mengimpikan tempat ke pusingan kalah mati, sesuatu yang dianggap mustahil sebelum kejohanan bermula.

“Kami mahu menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa kami mampu bersaing untuk layak dan saya fikir itulah yang kami tunjukkan hari ini,” katanya.

Belgium masih gagal meraih kemenangan pertama selepas seri 0-0 dengan Iran dalam aksi Kumpulan G.

The Red Devils, yang turut seri dengan Mesir dalam perlawanan pembukaan, menamatkan aksi di Los Angeles dengan 10 pemain dan gagal menembusi benteng pertahanan Iran.

Mesir pula mendahului kumpulan selepas bangkit mencatat kemenangan pertama dalam sejarah negara itu di Piala Dunia dengan menewaskan New Zealand 3-1.

Mohamed Salah, Mostafa Zico dan Trezeguet menjaringkan gol Mesir selepas Finn Surman terlebih dahulu meletakkan New Zealand di depan.

“Ia sesuatu yang luar biasa, saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya dengan kata-kata,” kata bekas bintang Liverpool, Salah.

“Ia pencapaian hebat buat semua pemain dan pemain simpanan, dan kami berharap dapat terus mencipta sejarah serta layak sebagai juara kumpulan.” – AFP

Continue Reading

Previous: Piala Dunia: Benteng England jadi tanda tanya
Next: Bandar kecil di Argentina dirikan patung gergasi Lionel Messi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.