
Messi (kiri) kembali perkuat Inter Miami. Foto AFP
MIAMI: Lionel Messi membuat penampilan semula selepas pulih daripada kecederaan dengan penuh bergaya apabila menjaringkan gol pada minit ke-84 sekali gus menginspirasikan Inter Miami menundukkan juara bertahan Major League Soccer (MLS), Los Angeles Galaxy 3-1, pagi tadi.
Bintang Argentina berusia 38 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian selepas pulih daripada kecederaan otot yang dialaminya ketika aksi Piala Liga menentang Necaxa, 2 Ogos lalu.
Jurulatih Miami, Javier Mascherano mengakui kecederaan Messi hanya ringan namun tetap mengambil langkah berhati-hati.
“Ia sebenarnya tidak serius. Dalam tiga sesi latihan terakhir, dia nampak baik. Yang penting, dia menamatkan perlawanan tanpa masalah,” kata Mascherano.
Messi yang diketepikan ketika kemenangan menentang Pumas UNAM dan kekalahan di tangan Orlando City minggu lalu, dimasukkan menggantikan Telasco Segovia di babak kedua.
Jordi Alba membuka tirai jaringan Miami pada minit ke-43 sebelum Galaxy menyamakan kedudukan menerusi Joseph Paintsil minit ke-59.
Namun kemunculan Messi mengubah rentak permainan apabila dia meledak gol penting pada minit ke-84 sebelum Luis Suarez menambah jaringan ketiga lima minit kemudian hasil hantaran kapten Argentina itu.
Dengan gol itu, Messi kini mengumpul 19 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 19 penampilan MLS musim ini selain membantu Miami mara ke suku akhir Piala Liga menentang Tigres, Rabu ini.
“Leo sentiasa mahu bermain setiap perlawanan. Dia gembira berada di atas padang dan tahu keadaan dirinya lebih baik daripada orang lain. Hari ini kami berikan beberapa minit kepadanya supaya dia kembali dapat rentak untuk aksi suku akhir,” kata Mascherano.
Kemenangan itu mengekalkan Miami di tangga keempat Persidangan Timur MLS, enam mata di belakang pendahulu Philadelphia namun masih memiliki tiga perlawanan dalam tangan. – AFP