
FORT LAUDERDALE, Amerika Syarikat: Walaupun tidak diturunkan pada aksi terbaharu Inter Miami, Lionel Messi tetap menjadi perhatian apabila muncul di tepi padang sambil mengenakan jam tangan mewah Rolex yang dianggarkan bernilai hingga AS$2 juta (RM8.46 juta).
Bintang Argentina berusia 38 tahun itu digantung satu perlawanan bersama rakan sepasukan Jordi Alba selepas tidak menghadiri perlawanan MLS All-Star.
Akibatnya, kedua-dua mereka terpaksa menonton dari bangku simpanan ketika Inter Miami seri 0-0 menentang FC Cincinnati, Sabtu lalu.
Namun perhatian peminat bukan hanya tertumpu kepada aksi di tengah padang sebaliknya kepada jam tangan eksklusif yang dipakai Messi, dikenali sebagai Rolex Daytona ‘Barbie’, salah satu model paling jarang ditemui di dunia.
Walaupun tiada harga rasmi diumumkan, jam itu dianggarkan bernilai antara AS$800,000 (RM3.38 juta) hingga AS$2 juta dan hanya 10 unit diketahui wujud di seluruh dunia, menjadikannya barang koleksi yang amat eksklusif dan bernilai tinggi.

Model Daytona merupakan antara jam kronograf ikonik keluaran Rolex dan varian ‘Barbie’ jarang sekali dilihat dipakai secara terbuka.
Pelakon terkenal Mark Wahlberg turut pernah dilihat mengenakan jam tangan ini awal tahun ini, antara kemunculan pertama jam itu secara umum.
Menariknya, Messi tidak kelihatan memakai jam berkenaan ketika menghadiri konsert Coldplay bersama isterinya, Antonella Roccuzzo di Stadium Hard Rock pada malam Ahad lalu.
Pasangan itu hadir bersama anak-anak mereka ke konsert terakhir siri jelajah Music of the Spheres oleh Coldplay di Amerika Syarikat.
Menurut pemilik Inter Miami, Jorge Mas, Messi dikatakan “amat kecewa” dengan penggantungan satu perlawanan itu, menunjukkan betapa serius komitmennya terhadap pasukan meskipun kini sudah bergelar legenda.