Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Messi berdepan Salah dalam pertembungan sengit pusingan 16 terakhir Piala Dunia
  • SUKAN

Messi berdepan Salah dalam pertembungan sengit pusingan 16 terakhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 16 hours ago
GABUNGAN foto fail ini dihasilkan pada 5 Julai 2026 menunjukkan penyerang Mesir, Mohamed Salah (#10) di Agadir pada 5 Januari 2026 (kiri); dan penyerang Argentina, Lionel Messi (#10) di Kansas City pada 16 Jun 2026. Foto AFP

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Lionel Messi dan Argentina akan berdepan Mesir bagi merebut tempat ke suku akhir Piala Dunia pada 12.00 tengah malam ini (waktu Malaysia), dengan pemain berpengalaman itu berusaha merampas kembali kedudukan pendahulu dalam persaingan sengit merebut Anugerah Kasut Emas.

Juara bertahan itu akan menentang pasukan Afrika yang diterajui Mohamed Salah di Atlanta, dengan pemenang perlawanan berpeluang berdepan Switzerland atau Colombia pada peringkat separuh akhir.

Argentina terpaksa mengharungi detik mencemaskan ketika menentang pasukan sulung Piala Dunia, Cape Verde dalam pusingan 32 terakhir, sebelum mengesahkan kemaraan menerusi jaringan sendiri Diney Borges pada masa tambahan.

Mereka berharap dapat kembali mempamerkan prestasi terbaik ketika menentang Mesir, yang tidak pernah mara melepasi pusingan 16 terakhir dalam kejohanan bola sepak berprestij dunia itu.

“Kami sentiasa berwaspada seperti sebelum perlawanan menentang Cape Verde,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.

“Mesir juga merupakan pasukan yang kuat. Mereka mempunyai pemain berkualiti dan jurulatih yang sudah lama membimbing pasukan itu. Mereka bermain bola sepak dengan baik serta sentiasa menyukarkan lawan.

“Salah ialah pemain yang hebat menjadi satu penghormatan untuk berdepan dengannya. Pasukan kami tahu cara menghadapi pemain hebat seperti ini dan kami sentiasa bekerja keras untuk tujuan itu.”

Scaloni mengesahkan Messi, 39, berada dalam keadaan cergas untuk diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun beraksi selama 120 minit pada perlawanan menentang Cape Verde minggu lalu.

Messi, bintang Perancis, Kylian Mbappe dan penyerang Norway, Erling Haaland masing-masing mengumpul tujuh gol dalam persaingan merebut Kasut Emas, dengan Mbappe berada di hadapan berdasarkan jumlah bantuan gol yang direkodkan.

Messi dan Mbappe turut bersaing untuk merebut gelaran penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia, dengan pemain Argentina itu kini mendahului dengan kelebihan satu gol menerusi 20 jaringan.

Argentina menyedari mereka perlu meningkatkan prestasi ketika menentang Mesir yang masih belum tewas dan menyingkirkan Australia menerusi penentuan penalti dalam pusingan 32 terakhir.

Salah, yang kini tidak mempunyai kelab selepas meninggalkan Liverpool, hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan setakat ini.

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan berkata, beliau telah mempersiapkan pemainnya “tanpa mengira warna jersi lawan, nama pemain atau kedudukan pasukan tersebut.”

“Ini ialah Piala Dunia, peluang besar untuk membuktikan kemampuan kami dan bahawa kami layak berada di sini,” katanya.

Diaz Jadi Ancaman

Sementara itu, Switzerland dan Colombia akan berentap di Vancouver dalam satu lagi pertembungan membabitkan dua pasukan yang masih belum mengalami kekalahan.

Pasukan dari Amerika Selatan itu, yang mendapat sokongan ribuan penyokong berbaju kuning, dianggap sebagai calon pasukan kejutan dalam kejohanan kali ini.

Skuad kendalian Nestor Lorenzo hanya bolos satu gol setakat ini dan memiliki kekuatan serangan menerusi Luis Diaz serta pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2014, James Rodriguez.

Switzerland tidak pernah mara ke suku akhir sejak 1954 ketika menjadi tuan rumah kejohanan itu, namun mempamerkan aksi meyakinkan menerusi kemenangan 2-0 ke atas Algeria dalam pusingan 32 terakhir.

Keempat-empat pasukan terbabit akan berusaha menyertai barisan pasukan ternama yang sudah melangkah ke suku akhir setakat ini, iaitu Perancis, Maghribi, Norway, England, Sepanyol dan Belgium.

Sepanyol menamatkan impian Piala Dunia Cristiano Ronaldo pada Isnin selepas menewaskan Portugal 1-0, manakala Belgium membelasah Amerika Syarikat 4-1.

Kekalahan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu menyaksikan tiada lagi negara tuan rumah yang kekal dalam saingan Piala Dunia 2026 selepas Kanada dan Mexico terlebih dahulu tersingkir.

Persiapan menjelang perlawanan di Seattle turut dibayangi kontroversi selepas penyerang Folarin Balogun dibenarkan beraksi walaupun dilayangkan kad merah ketika menentang Bosnia dan Herzegovina minggu lalu.

Perkembangan itu mendedahkan bahawa keputusan mengejut tersebut dibuat selepas Presiden Donald Trump menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino secara peribadi bagi meminta hukuman terhadap Balogun dikaji semula. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Pochettino kecewa, isu Balogun bukan alasan AS tersingkir daripada Piala Dunia
Next: FIFA puji pengadil yang dilabel “mencurigakan” oleh Trump

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.