Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Mesir: Gelang emas firaun dicuri, dicairkan dan dijual hampir AS$4,000
  • GLOBAL

Mesir: Gelang emas firaun dicuri, dicairkan dan dijual hampir AS$4,000

Utusan Sarawak 2 hours ago
POLIS Mesir berkata pada Khamis mereka menahan seorang pekerja muzium dan tiga orang yang didakwa bersubahat selepas gelang emas purba yang tidak ternilai dicuri dari Muzium Mesir Kaherah, dijual pada harga kira-kira $4,000 dan kemudian dileburkan.

KAHERAH: Gelang emas berusia 3,000 tahun milik firaun purba yang hilang dari Muzium Mesir di Kaherah (EMC) awal bulan ini telah dicuri dan dicairkan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Mesir pada Khamis, lapor Xinhua.

Menurut kementerian itu, seorang pakar pemulihan mengambil artifak tersebut dan menjualnya kepada seorang tukang perak yang dikenali.

Tukang perak berkenaan kemudian menjualnya kepada tukang emas pada harga 180,000 paun Mesir (kira-kira AS$3,735), sebelum dijual pula kepada seorang pencair emas pada harga 194,000 paun Mesir. Pencair emas itu telah mencairkan gelang berkenaan bersama barang kemas lain sebelum dibentuk semula.

Kementerian itu berkata semua empat suspek mengaku melakukan kesalahan tersebut dan wang yang terlibat telah dirampas. Tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka.

Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir pada Selasa melaporkan kehilangan gelang berkenaan yang berasal daripada Raja Amenemope, seorang firaun dari Dinasti ke-21 Mesir purba yang memerintah dari 993 hingga 984 SM.

Gelang yang dihiasi manik lapis lazuli itu hilang dari peti besi di makmal pemuliharaan di tingkat dua muzium berkenaan.

Sebagai tindak balas, kementerian antikuiti menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyemak semula artifak di makmal tersebut dan mengedarkan gambar gelang yang hilang itu di lapangan terbang, pelabuhan laut serta pintu masuk sempadan darat Mesir.

EMC ialah muzium arkeologi tertua di Timur Tengah, menempatkan lebih 170,000 artifak. Ia memiliki koleksi artifak firaun terbesar di dunia, menurut laman rasmi muzium itu.

Muzium yang menyimpan artifak purba merupakan tonggak penting dalam menarik pelancong dan sumber utama pertukaran asing Mesir.- Bernama-Xinhua

Continue Reading

Previous: Pendakwa Jerman kemuka pertuduhan terhadap ‘ratu kripto’ Ruja Ignatova

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.