MUKAH: Air biasanya dikaitkan dengan kesihatan dan elemen yang amat penting ini tetap menjadi perhatian terutama dari segi keselamatan untuk digunakan.
Masalah air sememangnya perkara biasa di Mukah terutama dari segi bekalan yang sering terganggu berikutan kerja naik taraf dan pembaikian paip dan sebagainya.
Jadi kewujudan mesin jual air layan diri beberapa tahun lalu terus mendapat perhatian di kalangan penduduk di Mukah.
Justeru peraturan yang mewajidkan pengusaha mesin jual air layan diri untuk memperolehi lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah amat tepat.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Huzaimah Husin, mereka perlu memiliki lesen daripada KKM sebelum beroperasi.
“Pengusaha mesin jual air layan diri perlu memiliki lesen daripada KKM. Peraturan ini adalah termaktub di bawah Peraturan 360C (4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983,” ujarnya.
Dibawah Peraturan 360(c)(4), tambah beliau, tiada seorang pun boleh mengendalikan mesin jual air bagi maksud perdagangan atau perniagaan melainkan jika lesen yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga Puluh oleh Pengarah (Peraturan-peraturan makanan 1985).
“Pihak pengusaha MJA boleh membuat permohonan secara atas talian di laman web Fosim Domestik iaitu : fosimdomestic.moh.gov.my ataupun merujuk terus kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berdekatan untuk sebarang pertanyaan ataupun rujukan,” tambahnya.
Apabila pemilik mesin jual air memohon untuk mendapatkan lesen, katanya mereka perlu membayar yuran proses sebanyak RM130 di Pejabat Kesihatan Bahagian berdekatan.
“Ia disebut di bawah Garis Panduan Permohonan Lesen Untuk Mengendalikan Mesin Jual Air Bagi Maksud Perdagangan atau Perniagaan, kemudian mesin mereka akan diaudit serta diperiksa kemudian persampelan air bagi analisis mikrobiologi dan kimia akan diambil bagi mengetahui status keselamatan air daripada sumber mesin mereka,” katanya.
Dr. Huzaimah menambah, pihak mereka juga akan melekatkan pelekat di mesin jual air yang telah diperiksa dengan pelekat hijau iaitu bermaksud di peringkat bimbingan KKM manakala sebaliknya dilekatkan dengan pelekat merah untuk rujukan pengguna.
“Kos memohon lesen untuk satu unit mesin air itu adalah RM150 bagi tempoh dua tahun. Justeru, pihak pengusaha supaya jangan menunggu sehingga saat akhir untuk memohon lesen untuk kebaikan semua,” ujarnya lagi.
Sementara itu sebanyak tujuh mesin jual air didapati tidak memiliki lesen daripada Kementerian Kesihatan disita pada satu operasi khas baru-baru ini.
Adalah difahamkan operasi tersebut dijalankan bertujuan untuk memastikan pengusaha dan syarikat yang mengurus mesin jual air mendapat lesen sah daripada pihak KKM sebelum beroperasi.
Dr. Huzaimah menyatakan pihak mereka telah mengeluarkan surat peringatan sejak 2015 dan memberi beberapa sesi penerangan kepada pengusaha namun masih ada yang enggan mematuhi.
“Aspek yang pihak kami (KKM) periksa meliputi tahap kebersihan, berada di lokasi yang jauh dari punca pencemaran, pintu dan penutup pada muncung pendispen, tidak menyatakan sebarang tuntutan kesihatan dan menggunakan sumber air awam yang bersih seperti yang termaktub di dalam peraturan 53, Peraturan -Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” tegas Dr. Huzaimah lagi.
Oleh HENRY B SIYU