DI negara kita, ada satu jabatan yang beroperasi 24 jam, tidak pernah bercuti – sama ada hujung minggu, masa cuti umum atau perayaan sekali pun.
Jika timbul sahaja isu-isu panas, sensasi dan kontroversi yang menggemparkan negara atau negeri mahupun di daerah, pastinya jabatan itu akan sibuk bertugas.
Merekalah hakim, mereka juga pendakwa, mereka juga kerani untuk merekod segala butiran, malah pengulas segala isu serta ‘pegawai penyiasat’ yang pantas membongkar sesuatu isu dan kejadian. Mereka juga menjadi wartawan tak bertauliah.
Yang dimaksudkan ialah ‘jabatan’ netizen yang terdiri daripada pengguna aktif media sosial terutama di Facebook.
Hakikatnya, nitizen Malaysia amat pantas dan cekap menyelongkar sesuatu isu yang sedang tular.
Ini membuatkan pihak berwajib termasuk menteri, tak senang duduk dan terpaksa menjawab pelbagai isu dibangkitkan. Berdiam diri, bermakna betul dan itulah persepsi nitizen.
Silap hari bulan, jawatan mereka boleh terbang. Itulah kuasa nitizen atau pendeknya, ‘kuasa rakyat’.
Malah, ada pihak terutama pentadbir akaun media sosial kerajaan terpaksa menutup ruangan komen atau menyekat ulasan warganet tertentu hanya kerana tidak tahan dikritik begitu teruk. Ini pernah berlaku terhadap Kementerian Kesihatan berkaitan isu Covid-19 dan vaksin tidak berapa lama dulu.
Tetapi ada sisi negatifnya. Lebih sadis, tanpa membaca dan mengetahui latar belakang sesuatu isu, terus memberikan maklum balas yang teruk dengan menggunakan bahasa yang tidak beradab hingga mengaitkan peribadi seseorang itu tanpa rasa bersalah.
Dalam hal-hal tertentu, ‘jabatan’ netizen juga banyak membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes kemalangan, mengesan orang hilang dan tularkan gambar individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Siapa yang mendedahkan pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin tapi merarau di kedai makan sebelum ini? Ye, nitizen yang ‘menangkap’ mereka, siap dengan gambar pakai gelang kuarantin lagi, sekali gus menjadi viral.
Namun, dalam keadaan tertentu, netizen pula berdepan tindakan undang-undang apabila mereka sering menjadikan media sosial sebagai platform untuk mencaci, mengecam, menghina dan menabur fitnah.
Tindakan netizen ini menyebabkan individu yang menjadi mangsa kecaman serta fitnah mengalami kemurungan, lebih buruk lagi mahu membunuh diri.
Netizen seperti ini boleh dianggap mempunyai masalah mental, suka melihat orang lain jatuh tersungkur. Manusia normal tidak akan sukakan semua itu.
Sebagai pengguna media sosial, buatlah pilihan sama ada mahu menjadi netizen bertanggungjawab atau netizen ‘sakit’ mental.
Apabila komentar tidak berhemah terjadi, tentunya salah faham akan berlaku, seterusnya boleh mengeruhkan hubungan.
Tidak mustahil juga, rasa sakit hati bersarang dalam jiwa mereka hingga tercetusnya pelbagai rasa seperti dendam, rendah diri, juga tekanan.
Begitu pun, ada kebaikan dan keburukannya apabila ‘Jabatan Nitizen’ ini bersuara.
Kebaikannya ialah menyedarkan pihak berkuasa akan kelemahan yang timbul dan perlu pantas menanganinya.
Keburukannya pula ialah sesetengah kes yang tiada isu, sengaja dijadikan isu. Malah kadang-kala timbul komen di luar batasan, dikaitkan dengan hal kaum dan agama. Yang jeliknya apabila berlaku serangan peribadi terhadap personaliti tertentu, lebih-lebih lagi jika orang itu tidak bersalah hingga menjatuhkan maruah seseorang. Mahkamahlah jawapannya.
Baru-baru ini, tercetus kes pembinaan jeti bernilai RM50,000 di Kampung Mutap di Bekenu yang dikatakan tidak masuk akal.
Jeti sepanjang 15 meter itu berjaya disiapkan pada 6 April lalu. Namun, netizen mempersoalkan kos jeti itu tidak masuk akal dan berasakan terdapat perbuatan rasuah berkaitan pembinaan jeti itu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri yang asalnya memaparkan projek jeti itu siap dengan jaya beserta gambar di facebooknya, terpaksa mengeluarkan kenyataan di luar waktu pejabat, kurang 48 jam kemudian.
JKR memaklumkan isu berkaitan keselamatan sungai yang banyak buaya, keadaan laluan jalan ladang dan logistik antara faktor jeti berkenaan menelan kos sebanyak itu.
Malah, JKR Miri juga menegaskan bahawa kayu belian yang digunakan untuk membina jeti menelan kos sebanyak RM9,000.
Meskipun sudah diterangkan, netizen masih belum berpuas hati, ada yang sinis menyalahkan buaya sebagai punca jeti berkenaan dibina dengan kos mahal dan menggunakan perkataan ‘kayu emas’.
Namun, beberapa hari kemudian seorang penduduk Kampung Mutap, Bekenu mendakwa pembinaan jeti kayu melibatkan kos sehingga RM50,000, tidak menggunakan kayu belian sepenuhnya seperti dinyatakan.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Mohamad Nor Tambi, 45, yang tinggal berdekatan jeti itu berkata, hanya bahagian binaan tangga dan tiang sahaja dipercayai menggunakan kayu belian manakala selebihnya menggunakan campuran kayu keras yang lain.
“Turut menjadi persoalan kami ialah projek ini mengambil masa tiga bulan, namun dua bulan siap awal daripada jadual sedangkan kontraktor hanya menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga hari,” kata Mohamad Nor seperti dilaporkan.
Langkah wartawan akhbar terbabit untuk meninjau lokasi dan menemubual penduduk di situ adalah usaha yang baik untuk menyiasat kesahihan laporan yang masih disangsi nitizen.
Sayangnya, wartawan berkenaan tidak menggerakkan satu lagi langkah ke hadapan – iaitu melihat sendiri kayu jenis apa yang sebenarnya diguna di jeti itu dan bertanya lebih lanjut kepada pakar atau mereka yang tahu membezakan jenis kayu – sama ada menggunakan kayu belian sepenuhnya atau tidak. Ini tidak digambarkan dalam laporannya.
Perkara inilah sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.
Pengarah SPRM Negeri, Mohd Zaki Hassan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kos jeti itu mencecah RM50,000 kerana spesifikasinya yang diperbuat daripada kayu belian berdasarkan kenyataan JKR Sarawak.
“Siasatan masih diteruskan dan kita akan periksa, sebab untuk menentukan (kayu) belian atau tidak belian, kayu getah ke, itu kena kita (rujuk) kepada pakar lah. Siasatan setakat ini belum lagi selesai tapi siasatan awal itu begitulah, ia melibatkan kayu belian,” katanya.
Tanpa mengambil kira apa kesudahan siasatan kes itu nanti, yang pasti isu ini membuka mata kepada semua pihak terbabit.
Ini bermakna, pada masa akan datang, jabatan nitizen akan terus menuntut ketelusan, terus terang dan maklumat terperinci.
Betul, sekali imbas gambar jeti sepanjang 15 meter dengan paparan kos RM50,000, mengundang persoalan.
Mungkin persoalan itu tidak timbul andai pihak JKR apabila membuat hantaran di FB menerusi bahagian komunikasinya sebelum ini, memaparkan butiran terperinci termasuk kos kayu belian dan upah membuatnya.
Oleh itu, mana-mana jabatan atau wakil rakyat yang memaparkan ‘kejayaan menyiapkan projek tertentu dengan kos tertentu’ selepas ini perlu lebih berhati-hati daripada ‘teropong’ jabatan nitizen. Berterus terang adalah lebih baik.
Bayangkan, jumlah pengguna internet di Malaysia dianggarkan lebih 25 juta individu dan daripada angka itu, 75 peratus aktif melayari media sosial dengan memperuntukkan masa purata tiga jam sehari.
Warganet negara ini memang terkenal di peringkat global apabila pernah ‘menyerang’ juri program MasterChef yang mempertikai rendang ayam dan mengutuk kezaliman tentera rejim Israel.
Malah masih segar dalam ingatan kita semua kisah seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA yang memarahi seorang mahasiswa B40 gara-gara tidak memiliki komputer hingga ‘dilondehkan’ oleh netizen baru-baru ini.
Malah, ada netizen menyebarkan foto pensyarah itu bergambar di samping sebuah kereta mewah BMW sambil memegang jambangan bunga.
Anda juga tentu masih ingat lagi kes Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun yang dikecam nitizen apabila dipaparkan gambarnya mencuci simen bersih yang didakwa hanya bagi tujuan ‘posing’ dalam operasi pasca bencana banjir di ibu negara seperti tular baru-baru ini.
Oleh itu, ambillah iktibar daripada semua insiden ini.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak