Oleh: Lokman Hakim
TERDAPAT banyak hal yang mencetuskan niat seseorang itu menghasilkan sebuah cerpen. Ada yang mahu menyuarakan pendapatnya terhadap sesuatu isu yang tular. Ada yang menulis selaku tindak balas intelektual ke atas bahan bacaan yang ditelaah. Tidak kurang juga yang menulis sekadar memenuhi kehendak editor. Ada banyak alasan lagi sebenarnya.
Cerpen-cerpen Roslan Jomel contohnya, sarat dengan kritikan sosial yang memenuhi naratifnya. Ia bertindak balas secara intelektual kepada pembaca yang turut menyoroti perkembangan isu semasa, memberikan pendapat demi pendapat alternatif ke atas solusi yang patut diambil demi meneutralkan kekeruhan kehidupan yang sarat kebejatan.
Charles Bukowski misalnya, menulis secara bersahaja, tanpa cita-cita ataupun propaganda sehinggalah karya-karyanya dijoloki selaku “sasterawan marhaen Amerika” kerana garapannya menggambarkan realiti kehidupan semasa di Los Angeles: keadaan sosial, budaya dan suasana ekonomi. Kehidupan marhaen yang sarat alkohol, bertukar-tukar kerja, miskin dan pertelingkahan domestik dipaparkan tanpa secebis lapik moral ataupun propaganda. Membaca karya-karyanya akan memberikan pembaca suatu gambaran nyata ke atas kehidupan marhaen di Los Angeles pada waktu tersebut diselangi emosi watak-wataknya yang memberi gema ke atas kehidupan kendiri di bandar yang sarat sepi.
Gema ini yang saya ingin cari, seandainya penulis tidak menerapkan kritikan sosial mahupun propaganda lain ke dalam cerpen-cerpennya. Sesuatu yang akan menjentik fikiran ataupun emosi saya selaku pembaca. Sesuatu yang baharu untuk saya terokai dan belajar.
Cerpen “Mereguk Tabah” secara ringkasnya menceritakan pergolakan batiniah yang menjurus kepada beberapa tindakan di luar waras watak utamanya, iaitu Qaireena, seorang guru di Sungai Buloh. Masalahnya berpunca daripada keadaan dirinya yang tidak boleh memberikan zuriat kepada mantan suaminya, Harriel. Ia menjurus pula ke arah kecurangan mantan suami dengan seorang wanita lainnya, iaitu Sofia. Tragedi berlaku dengan kematian tragis Harriel dan juga Sofia dalam suatu kemalangan yang memberikan impak pada psikologi Qaireena.
Tika membaca cerpen “Mereguk Tabah” tulisan Mohd Fadzly ini, saya memikirkan: apakah yang menjentik hati penulis untuk menghasilkan cerpen ini? Ia nipis, bermain di permukaan dan cuba diindahkan dengan pulasan plot demi menghadirkan kejutan pada pembaca. Tanpa ideologi, tanpa sebarang teks subliminal (bawah sedar). Namun adakah ia sesuatu yang tidak baik?
Tidak semestinya.
Cerpen-cerpen mikro ataupun cerita kontot (certot) lazimnya ditulis untuk menghadirkan kejutan pada pembaca – hanya bezanya, certot begitu terbatas dek kerana jumlah perkataannya.
Yang memburukkan lagi keadaan adalah plotnya klise dan digarap dengan kedangkalan pengalaman pembacaan yang ketara. Penceraian kerana isteri tidak dapat memberikan zuriat disusuli dengan kematian suami bersama-sama wanita yang curang kedengaran seperti plot drama tika Maghrib yang netizen kerap pertikai kewarasan ceritanya. Hal penceraian ini jika ditelaah emansipasi ke atas wanita-wanita tertindas akibat suami tidak bertanggungjawab, ia akan jadi cerpen kritis yang punya nilai tambah pada kanon kesusasteraan negara.
Gagasan kritikan sosial yang besar ini, yang sepatutnya boleh dijadikan matlamat penulisan yang segar untuk cerpen ini, tidak diterokai pula oleh penulisnya. Penulis mutakhir ini, saya percaya, harus peka dengan perkembangan isu-isu semasa supaya karya-karya yang ditulis itu menggambarkan situasi semasa sekali gus meninggalkan jejak di hati pembaca kontemporari.
Justeru, dengan jumlah perkataan melangkaui 2 ribu, saya beranggapan cerpen ini patut boleh pergi lebih jauh. Ia tidak patut “senipis” ini. Tapi kenipisan ini mungkin tidak senipis yang disangka. Oleh demikian, memandangkan pulasan plot yang dipraktikkan dalam cerpen ini merupakan penggerak utamanya, wajarlah ia ditelusuri sedikit mendalam. Tambahan pula, cerpen seumpama ini harus dinilai melalui kaca mata berbeza, iaitu pengutamaan dinamik perwatakan dan pemerhatian ke atas penghayatan penulis tika menciptakan karakter-karakter tersebut.
Untuk pemula, saya akan meneliti teknik pulasan plot yang digunakan, iaitu merupakan kombinasi “imbas semula” diselangi anagnorisis, sebuah teknik pendedahan ke atas keadaan sebenar watak. Teknik “imbas semula” diguna pakai demi memperjelas sebab watak utama berkelakuan sebegitu. Keadaan kesihatan mental watak utama diungkapkan dengan teknik anagnorisis melalui pendedahan oleh watak-watak sampingan, iaitu Mek Wan (ibu kepada Qaireena) dan Qudsy (adik kepada Qaireena).
Adakah teknik “imbas semula” ini digunakan sebaiknya dalam cerpen ini?
Kita didedahkan dengan konflik kekeluargaan antara Qaireena dengan Harriel melalui teknik imbas semula yang dikepitkan antara babak kebingungan Qaireena di suatu pagi hari minggu dengan suatu panggilan telefon daripada ibunya Mek Wan. Transisi babak-babak ini agak lancar dan tidak janggal.
Namun, teknik anagnorisis tampak tidak bersungguh dan tidak diperhalusi agar sebati dengan pergerakan naratif. Penulis mengambil pendekatan mudah dengan mendedahkan segala-galanya mengenai Qaireena melalui kemunculan Mek Wan yang cuba menyedarkan Qaireena akan situasi yang berlaku sebenarnya.
Terdapat pelbagai kaedah untuk menampakkan teknik anagnorisis lebih halus digunakan dalam naratif. Sebagai contoh, dalam cerpen ini, penulis boleh memberikan petunjuk-petunjuk separa mistik untuk memberikan suatu pengalaman membaca yang lebih menarik. Kita ditunjukkan dengan babak Qaireena menerima “panggilan telefon” daripada Sofia. Babak ini, barangkali, jika diladeni dengan penceritaan persekitaran yang suram akan lebih berkesan dalam memberikan elemen kejutan di penghujung naratif. Saya membayangkan suatu naratif alternatif tambahan menyusuli babak panggilan telefon daripada Sofia ini. Misalnya, sesudah panggilan telefon diterima dan disudahi perbualannya, telefon bimbit sebenar milik Sofia ditemui di atas sofa dengan sedikit palitan darah. Penulis harus membangkitkan rasa ingin tahu dengan meninggalkan beberapa petunjuk yang membingungkan dalam naratif.
Anagnorisis harus diselangi dengan kepelbagaian teknik penceritaan dan bukan sekadar menggunakan watak sampingan selaku alat utama anagnorisis. Pastilah hal ini agak menyulitkan penulis kerana ia menuntut naratif yang lebih panjang dan cerpen pastilah tidak memadai untuk mencakupi kepelbagaian itu.
Di samping itu, penulis telah memberikan nama-nama watak yang sebenarnya sukar untuk diingat dek kerana ejaan nama yang dipilih. “Qaireena” dan juga “Harriel” adalah nama-nama yang dimaksudkan. Nama-nama seperti ini sebenarnya agak menangkap jika ejaannya diringkaskan. Qaireena boleh dieja menjadi Karina dan Harriel boleh dieja menjadi Arel. Selaku penulis, amat penting mengutamakan perhatian pembaca dan tidak membuatkan mereka terganggu dengan hal-hal banal seperti ejaan nama watak. Dan harus diingatkan juga bahawa peri pentingnya pemilihan nama-nama watak diteliti supaya ia memberi kekuatan pada penceritaan dan bukan sebaliknya.
Memandangkan cerpen ini menitikberatkan psikososial watak utama Qaireena selaku penggerak cerita, maka haruslah kita telusuri pula logik fiksyen yang membentuk psikososial Qaireena ini.
Pertama, kita diperkenalkan dengan watak Qaireena selaku seorang guru yang beruntung kerana dapat duduk berdekatan dengan ahli-ahli keluarganya (usai satu panggilan telefon, terus muncul di rumah dalam satu sela waktu yang agak singkat). Tragedi yang menimpa Qaireena, iaitu kematian suami bersama pasangan wanita baharunya dalam sebuah kemalangan jalan raya merupakan asbab ke atas keadaan psikologi Qaireena. Qaireena juga memiliki ibu dan adik yang begitu prihatin dan penyayang.
Latar belakang pekerjaan, keluarga dan tragedi yang menimpa boleh dijadikan kerangka asas untuk membentuk sikap dan pendirian watak utama. Untuk tujuan penelitian ini, kita boleh mengambil filem Joker (2019) yang menampilkan Joaquin Phoenix sebagai pelakon watak utama Joker. Kita melihat bagaimana peribadi Joker itu dibina – keluarganya tidak sempurna dengan ibu yang ditimpa masalah kesihatan mental, tempat kerja yang sarat kesuraman, impian yang melalui jalan sukar untuk ditunaikan dan segala bentuk rencana tragedi demi tragedi demi membinakan suatu watak Joker yang cukup enigmatik dan begitu berkuasa.
Baiklah, berbalik pada karakter Qaireena ini, kita tahu dia mempunyai keluarga yang baik yang menyokong sepenuhnya apa-apa yang Qaireena lakukan dan juga sentiasa ada di sisinya tika dalam keadaan sukar. Kematian ayahnya sebelum ini menuntut kehadiran seorang lelaki, yakni seorang suami demi mengisi kelompongan itu – dan penceraian akibat kegagalan Qaireena memberikan zuriat memberikan suatu tekanan emosi yang begitu mencalar mentalnya. Ia suatu kebarangkalian yang logikal. Maka trauma yang menjurus kepada delusi penafian yang dilalui Qaireena masih boleh diterima. Dia sentiasa mendepani situasi dirinya disayangi dan tiba-tiba kasih sayang itu diragut daripadanya atau dalam erti kata lain, berakhir tidak seperti yang dijangka.
Namun, saya percaya, sedikit perincian ataupun sedikit pendedahan ke atas waktu silam Qaireena yang membentuk delusi penafian ini agak perlu. Suatu babak penolakan Qaireena oleh Harriel harus ditunjukkan dengan pergolakan dalaman batiniah wanita itu mendepani suatu perkara yang begitu berat untuk diterima.
Maka, apabila kita lihat kembali pada judul “Mereguk Tabah”, hakikatnya, cerpen ini tidaklah begitu mendukung maksud judul yang dipilih. Ketabahan yang ditonjolkan Qaireena tidak begitu organik kerana kelompongan-kelompongan yang saya ungkapkan sebentar tadi. Ia tragik tetapi terlalu kelihatan “dibuat-buat” hingga menghilangkan rasa simpati mahupun empati pada watak yang ditimpa malang tersebut. Seandainya penulis mengutamakan dan menonjolkan lagi aspek ketabahan Qaireena, serasanya, elok jika dibiarkan watak bekas suami, Harriel dan wanita bernama Sofia itu terus hidup bersama-sama membina keluarga baharu – meninggalkan Qaireena terumbang-ambing menahan perasaan pedih di hati melihat kebahagiaan yang dibina di atas kehancuran rumah tangganya.
Semestinya, usaha “mereguk tabah” yang cuba digambarkan cerpen ini menuntut kepanjangan sebuah novelet sekurang-kurangnya untuk esensi mereguk tabah itu sampai ke jiwa pembaca. Saya dapat mengesan bakat penulis dalam mengarang sebuah permainan plot yang hanya betul-betul menghadirkan kekaguman jika ia dapat ditulis dengan naratif yang lebih panjang dan jungkir-balik plot yang kompleks.
Saya cuba mencari gema yang saya ingin dengar setiap kali membaca cerpen, tetapi cerpen ini tidak bertindak balas dengan naluri saya selaku pembaca. Kenipisannya yang jelas mahu bermain dengan pulasan plot hanya hadir di permukaan – dibaca sekali harung lalu dilupakan.
Oleh demikian, saya mengharapkan Mohd Fadzly akan memasang cita-cita yang sedikit tinggi sekurang-kurangnya apabila menggarap sesebuah cerpen supaya cerpen tersebut memberi nilai tambah yang bermakna kepada pembaca. Tidak perlu melakukan kritikan sosial, mencipta ambiguiti melalui satira kabur ataupun berfalsafah dalam cerpen. Memadailah sekiranya penulis memilih untuk merakam pengalaman ataupun kesan emosi yang dilalui ketika menghadapi segala bentuk peristiwa yang dilalui dalam kehidupan semasa.
Saya juga mengharapkan penulis akan menerokai cerpen-cerpen yang baik garapannya, sama ada dari luar mahupun dalam negara, supaya standard penulisan sedia ada diketahui dan dijadikan penanda aras penulis setiap kali mahu menukilkan sebuah cerpen baharu.
Saya teringat pada Charles Bukowski yang novelnya langsung tiada pulasan plot, tiada babak-babak dramatik dan tidak pula berusaha untuk menerapkan moral ataupun ideologi. Namun, Charles Bukowski jujur mahu menyampaikan apa-apa yang bergema dengan jiwanya setiap kali dia bangun pagi dan melalui kehidupan sedia ada yang pastilah kelabu. Maka, apakah peristiwa dalam hidup anda yang sering bermain di fikiran, Mohd Fadzly?