
PETRA JAYA: Orang ramai diingatkan agar tidak bermain mercun dan bunga api selepas 12.00 tengah malam bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk sekitar, khususnya sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu menegaskan, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7, Akta Bahan Letupan 1957.
“Mana-mana individu yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat-26 sempena Aidilfitri 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang berlangsung di Petros Darul Hana, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika pulang ke kampung.
“Rancang perjalanan lebih awal, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan patuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan aspek keselamatan kediaman sebelum ditinggalkan.
“Pastikan rumah diperiksa dengan teliti sebelum balik kampung, maklumkan kepada jiran terdekat dan pastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik,” katanya.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko jenayah pecah rumah terutama ketika musim perayaan apabila banyak rumah ditinggalkan kosong,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan rondaan berkala akan dipertingkatkan melibatkan seramai 250 pegawai dan anggota polis dari semua cawangan, bahagian dan balai di IPD Kuching.


Orang ramai yang ingin memaklumkan kepada pihak polis untuk membuat rondaan di kawasan rumah ketika ketiadaan mereka boleh menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), menghubungi balai polis berdekatan atau mengisi borang pemakluman balik kampung melalui laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia.
Program tersebut turut menyaksikan penyerahan topi keledar kepada pengguna motosikal sebagai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Oleh Norman B