Oleh Mohidin Malek
SAJAK ialah puisi Melayu moden yang berbentuk karangan berangkap, bebas dan tidak terikat pada jumlah baris, perkataan sebaris, suku kata sebaris, rangkap, rima dan sebagainya. Setiap sajak yang dikarang mempunyai tema, iaitu persoalan pokok atau persoalan primer yang dikemukakan dalam sesebuah puisi. Dalam erti kata lain tema ialah idea pusat atau idea dasar. Sebagai contoh, tema tentang perpaduan, pendidikan dan sebaginya. Daripada tema, dikembangkan pula persoalan yang ingin pengkaryanya kemukakan. Lazimnya, terbit kekeliruan mentafsir tema dan persoalan. Persoalan adalah perkara yang dipersoalkan dalam sesebuah karya, dalam konteks wacana ini, sajak, untuk mengukuh dan memantapkan tema yang dikemukakan. Contohnya, persoalan tentang jalinan kerjasama, budaya saling menghormati, dan perpaduan antara kaum, dalam konteks perpaduan, ataupun dalam konteks pendidikan, masalah disiplin, ponteng, buli dan seumpamanya.
Di samping itu, sajak sebagai hasil karya sastera, mengemukakan pemikiran serta falsafah melalui sentuhan emosi. Wujud unsur penyedaran atau pengajaran yang ingin dilontarkan oleh pengkaryanya agar dapat difikirkan bersama oleh khalayak pambaca supaya timbul kesedaran yang menerbitkan tindak balas untuk mendepani serta menyantuni persoalan yang dikemukakan.
Wajar juga diambil ingatan bahawa dalam penulisan sesebuah karya sastera, sama ada apa-apa bentuk puisi, cerpen, novelet atau novel, jalinan yang harmonis antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan, berupa kriteria menyerlahkan mutu penghasilannya. Tidak dapat disangkal bahawa karya sastera lahir daripada sentuhan jiwa dan perasaan. Namun demikian, “permainan” kata-kata yang baik sahaja bukan penentu atau jaminan sesebuah karya itu bermutu sekiranya aspek terabai, lantas menjadikan karya berkenaan (sajak khususnya) menjadi coretan “biasa-biasa” sahaja. Seperti yang dinyatakan tadi, sebuah sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat. Harus difahami bahawa jalinan kata-kata terbaik membawa pengertian wujudnya nilai rasa dan nilai erti yang seimbang dan bersifat harmonis antara kata dan maksud.
Seperti dimaklumi, sajak bersifat bebas. Kebebasan yang dimiliki oleh sajak bermaksud keupayaan dan kesediaannya menerima bentuk-bentuk yang terdapat daripada puisi tradisional mahupun kehadiran bentuk-bentuk baharu yang dihasilkan berdasarkan kreativiti dan sensitiviti penyair di samping keupayaan untuk menggabung bentuk-bentuk yang sedia ada menjadi satu karya yang bermakna. Kebebasan sajak dalam aspek bentuk dikesan lewat cara penghasilan serta penulisannya. Namun demikian, sajak tetap tidak dapat dipisahkan daripada penerapan dan penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian.
Seperkara yang sering ditanyai kebanyakan pendatang baharu dalam penulisan sajak adalah dari aspek baris yang terdapat dalam setiap rangkap sajak. Seperti yang dinyatakan, sifat bebas sajak tidak membataskan secara khusus jumlah baris bagi membentu sesebuah sajak. Malah, bagi seseorang penjayak yang ternama, sajak berbentuk monoton atau satu baris, mampu “mengocak” daya pemikiran pembacanya. Binalah jumlah baris mengikut kemampuan sendiri, sama ada yang berbentuk distikon atau dua baris, terzina (tiga baris), quatrain (empat baris), quintain (lima baris), sestet (enam baris), septet (tujuh baris), oktaf (lapan baris), mahupun soneta atau empat belas baris (dua rangkap mengandungi empat baris, dua rangkap lagi mengandungi tiga baris). Akan tetapi, unsur-unsur yang dinyatakan awalnya, harus dipatuhi dan diterapkan dalam karya yang dihasilkan.
Apa-apa yang diperkatakan ini sekadar sebagai mengimbas kembali perkara yang semestinya telah diketahui dan difahami oleh seorang penulis. Namun, keghairahan untuk “menghadirkan” luahan perasaan dalam bentuk karya sastera sering menampilkan pengabaian terhadap ciri-ciri atau unsur-unsur yang perlu diberikan perhatian. Perkara sedemikian bukan sahaja berlaku dalam kalangan pendatang baharu yang ingin berjinak-jinak dalam alam pengkaryaan, akan tetapi ada ketikanya turut “menjangkiti” pengkarya yang telah banyak menghasilkan tulisan. Suatu hakikat yang tidak dapat disisih atau ditolak secara total selagi pengkarya bergelar “manusia”.
Ekoran daripada apa-apa yang telah dihuraikan secara ringkas, penulis beranjak untuk memperkatakan tiga buah sajak yang telah tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu, iaitu “Bumi Menangis”, karya Tini Numpang, “Dingin”, tulisan Siti Hajar Ahmad dan “Menyingkap Alam dari Jendela Akal” yang dihasilkan oleh Mohammad Jazuli Madenan @ Asseman. Ketiga-tiga buah sajak ini ditampilkan dalam cara berbeza dengan nada atau emosi yang berlainan.
Lewat puisi “Bumi Menangis”, tema yang ditampilkan Tini samar-samar. Untuk mengkategorikannya sebagai alam sekitar kerana pertautannya dengan soal “penderitaan” (mungkin) yang dialami bumi akibat kerakusan manusia menegjar aspek material, masih goyah kerana persoalannya tidak nampak jelas. Pun dari segi pelarasan fokus pembicaraannya tidak mengkhusus. Tini memulakan rangkap pertama sajaknya dengan gaya prosaik atau sajak esai. Suatu percubaan yang baik, akan tetapi, wajar diingatkan bahawa dalam kerangka penulisan sajak berbentuk sama ada prosaik mahupun esai, nilai estetikanya dan pemikirannya wajar dikekalkan. Membaca rangkap pertama dan kedua sajak ini, ibarat membaca sebuah cerpen mahupun novel. Penceritaannya adalah tentang kesedihan yang dialami, namun, tidak diketahui akan sebabnya mahupun siapakah yang berasa sedih. Hanya apabila membaca rangkap ketiga dan terakhir, barulah diketahui “siapa” yang menangis. Namun, masih bergayut persoalan akan sebabnya. Dalam konteks ini, Tini perlu mengembangkan sajaknya agar lebih “jelas” tentang keresahan dan kebimbangan yang terbendung dalam nubarinya melihat bumi yang semakin “derita” akibat “pemerkosaan” yang dilakukan oleh manusia. Persoalan ini mampu membuka mata hati khalayak pembaca di samping menyuntik “vaksin” penyedar akan kebejatan yang dilakukan terhadap bumi. Sebagai imbasan, tatapi kembali sajak berkenaan.
Bumi Menangis
9 malam,
Tangisannya kian rancak,
Air matanya bukan jatuh satu-satu lagi,
Air matanya kian berderai,
Semakin lebat,
Esakannya semakin kuat,
Tak terbendung.
Tempiasnya membasah membandai dinding,
Ditambah angin sekali-sekala memberinya kekuatan,
Lalu tangisannya kian meliar,
Mengisi kosong malam yang kesejukan.
Bumi hentikan tangismu,
Hentikan esakanmu,
Buang deritamu,
Dan bawa derita kami menjauh di malam gelita suram.
Bumi,
Beradulah di pangkuan lena bahagia,
Biar tangis dan esakanmu,
Pupus tanpa menjentik rasa takut cemas anak manusia!
Namun, tidak bermakna sajak yang dihasilkan tidak menepati unsur pengkaryaan sesebuah sajak. Andai dilakukan pemurnian dari aspek pengolahan dan penambahan, sajak ini mampu ditransformasikan menjadi sebuah sajak yang kuat dengan pemuatan pemikiran di samping penyerlahan nilai estetikanya. Untuk membuat pemurnian tersebut memerlukan ruang bicara yang lebih luas dan masa yang “sedikit panjang”.
Beranjak ke puisi kedua, iaitu “Dingin” nukilan Siti Hajar Ahmad, penulis membicarakan tema cinta dengan mengetengahkan soal kekecewaan kerana sikap berdiam “seseorang”. Sememangnya tema cinta antara tema yang popular dalam kalangan remaja memandangkan pada usia sedemikian, penjelajahan ke landskap percintaan menghadirkan pelbagai pengalaman dan kenangan, sama ada yang manis, mahupun yang pahit. Lantaran, pengalaman sedemikian cenderung menerbitkan “keterujaan” meluahkan apa-apa yang dirasai dan dialami dalam bentuk sajak khususnya. Ibarat kata filsuf terkemuka, Plato, “at the touch of love, everyone becomes a poet”, atau dalam bahasa Melayunya, “sentuhan cinta menjadikan setiap insan, penyair.”
Bukan satu kesalahan untuk menghasilkan sajak cinta. Namun, penceritaannya wajar lengkap dan terarah serta memuatkan unsur pengajaran. Hal ini telah diperkatakan pada awal tulisan ini. Dalam rangkap pertama, peluahan rasa kekecewaan. Gambaran perasaan sedemikian dilanjutkan pada rangkap kedua dengan penambahan akan sebab terbitnya rasa kecewa berkenaan dan diakhiri dengan dua baris penegasan akan derita dirasai akibat sikap berdiam diri seseorang atau kekasih, akan tetapi bukan oleh penulisnya, sebaliknya rindu yang tersiksa!
Dingin
Bicara terpaku
Aksara juga beku
Hati mengadu
Hiba bersyahdu
Lalu mulut berkalung kelu
Digigit ketat oleh bisu.
Aku diheret pilu
Dikurung dalam sendu
Memeluk larian waktu
Dengan dakapan sebu
Saat pujukku dibiar lalu
Kau tutup dengar dari rayu
Walau maafku bertalu
Kalbu kau kubu salju
Dingin membatu.
Sungguh,
Diammu menyiksa rindu!
Sajak “Menyingkap Alam dari Jendela Akal” yang dihasilkan oleh Mohammad Jazuli bin Madenan jelas mengetengahkan tentang tema alam sekitar. Persoalan yang disentuh menjurus kepada ketidakprihatinan manusia menjaga serta mengekalkan kemurnian alam sekitar daripada dinodai. Pengkaryanya cuba menitipkan kesedaran dalam kalangan mereka yang rakus mengejar unsur material dan kemewahan sehingga kemurnian alam sekitar dijadikan galang gantinya. Dalam nada kesal berbaur amarah, penulis menggambarkan tindakan menjarah alam sekitar sebagai satu petaka yang membawa kepada terjejasnya keseimbangan dari segi ekosistem. Hal yang wajar disedari dan dibimbangi.
Sajak ini, berbanding dua sajak sebelumnya, lebih terarah sifatnya. Terselit unsur pemikiran yang mampu menyedarkan khalayak pembaca. Namun demikian, masih wujud ruang pemurnian dari segi pemilihan diksi dan pengolahan bait yang mampu menyerlahkan nilai estetika pengkaryaannya. Daripada penghasilan sajak ini dapat disimpulkan bahawa Mohammad Jazuli pernah menghasilkan karya-karya sebelum ini. Lantaran asas “pembinaan” sebuah sajak itu terkesan dalam karyanya. Diimbas kembali sajak berkenaan untuk tatapan.
Menyingkap Alam dari Jendela Akal
Demikianlah disaksikan
sebuah petaka di rimba pusaka
maruah alam dijarah serakah
oleh yang berakal.
Tiada timbang tara
demi memacak kemegahan
lantas, ekosistem diasak semahunya
ruang kehidupan satwa dikeruk
sedalamnya.
Lihatlah kembali
panorama berlatarkan runtuhan bentala
dipayungi awanan kelam
seakan melangit amarah
menyanggah perilaku tak bermaruah.
Mengertikah?
Alam ini saling melengkapi
menghijau dalam rimbunan kesejahteraan
andai akar kemanusiaan itu rapuh, lenyaplah
rimba kelestarian.
Kepada yang berakal
kewarasan biar bertunjang iman
usahlah bersandar di banir mimpi
mengharap ihsan alam
jika tangan
masih mengundang kemudaratan.
Secara keseluruhannya, terlihat usaha Tini, Siti Hajar dan Mohammad Jazuli untuk menampilkan karya masing-masing sebaik mungkin. Usaha yang wajar dipuji. Walau bagaimanapun, masih terkesan kelemahan-kelemahan tertentu yang perlu dibaiki bagi “mentransformasi” karya mereka, khususnya Tini dan Siti Hajar, supaya menjadi lebih indah, bermakna dan mengesankan. Tidak dapat dinafikan bahawa sentuhan emosi ialah pengaruh kuat yang menerbitkan keterujaan untuk menghasilkan sesebuah karya. Namun, hal yang sedemikian, kecamuk dan gelora yang membadai nubari acap kali mengakibatkan pelahiran idea yang berkecamuk dan tidak terarah. Hal ini wajar diambil ingatan dan dijadikan panduan dalam penghasilan karya pada masa akan datang.
Natijahnya, untuk meraut keindahan daripada gelora nubari bukan perkara mudah. Namun tidak pula mustahil sekiranya diri sendiri rajin berusaha mendalami ilmu pengkaryaan, dan dalam konteks ini, sajak. Kepada ketiga-tiga pengkarya, tahniah dan syabas. Teruskan usaha menghasilkan sebanyak mampu karya dengan bersandarkan ilmu pengetahuan yang dicari dan digali lewat pembacaan yang banyak. Salam sastera.