
BINTANGOR: Pembayaran pampasan tanah berjumlah RM1.77 juta kepada empat pemilik tanah menandakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan projek pembinaan kolam renang Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, beliau berasa gembira apabila tapak pembinaan kolam renang tersebut akhirnya berjaya ditetapkan selepas melalui pelbagai proses perancangan dan kelulusan.
Katanya, projek tersebut telah beberapa kali dikemukakan sebelum berjaya memperoleh kelulusan menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dengan kos keseluruhan berjumlah RM22.4 juta.
“Proses cabutan undi bagi pelaksanaan projek ini dijangka diadakan pada Julai ini sebelum kerja-kerja pembinaan fasa pertama dimulakan.
“Saya berharap pelaksanaan projek fasa pertama dapat berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pembayaran pampasan ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan pembinaan kolam renang yang telah lama dinantikan oleh penduduk Daerah Meradong,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan cek pampasan tanah kepada pemilik tanah di Pejabat Daerah Meradong, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pemilik tanah yang telah memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan projek tersebut demi kepentingan pembangunan kawasan Meradong.
“Kerjasama yang diberikan oleh para pemilik tanah amat saya hargai.
“Pengorbanan mereka demi pembangunan Meradong akan sentiasa dikenang,” katanya.
Koung Hiing juga berharap agar kolam renang yang bakal dibina itu dapat melahirkan lebih ramai atlet renang berbakat dari Meradong pada masa hadapan.
Selain menjadi pusat pembangunan sukan, beliau percaya ia juga berpotensi menjadi lokasi penganjuran kejohanan sukan bertaraf negeri mahupun kebangsaan, termasuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).
“Projek ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pembangunan sukan dan rekreasi masyarakat setempat, malah menjadi satu simbol kemajuan dan kebanggaan warga Meradong,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal.
Oleh Earl Anek