RASULULLAH SAW merupakan insan pilihan yang diutuskan Allah SWT sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Baginda bukan sahaja seorang rasul dan pembawa wahyu, malah menjadi contoh terbaik dalam kehidupan, khususnya dari aspek akhlak, kepimpinan, kesabaran dan pengorbanan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah SWT dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah SWT banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Perjalanan dakwah Rasulullah SAW bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Baginda berdepan tekanan hebat daripada golongan musyrikin Makkah, selain pengkhianatan golongan munafik di Madinah yang mengancam kestabilan umat Islam.
Namun begitu, Allah SWT sentiasa melindungi dan memberikan pertolongan kepada kekasih-Nya sehingga Baginda berjaya membawa manusia keluar daripada kegelapan menuju cahaya petunjuk Ilahi.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 257 yang bermaksud: “Allah SWT Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka adalah Thaghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Daripada perjuangan Baginda, kita dapat mengambil iktibar bahawa kejayaan tidak semestinya dicapai dalam tempoh yang singkat. Dakwah Rasulullah SAW mengambil masa bertahun-tahun sebelum Islam berkembang dengan lebih luas. Baginda tetap istiqamah walaupun hasil dakwah pada peringkat awal kelihatan kecil.
Hal ini mengajar kita supaya tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 87 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah SWT. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah SWT itu melainkan kaum yang kafir.”
Kesabaran dan Pengorbanan Rasulullah SAW sebagai Teladan

ANTARA sifat utama yang dapat dipelajari daripada perjuangan Rasulullah SAW ialah kesabaran. Baginda sentiasa tabah ketika dihina, kehilangan insan yang disayangi serta berdepan dengan ancaman musuh.
Kesabaran dan ketabahan Baginda menjadi antara sebab Rasulullah SAW termasuk dalam golongan Ulul ‘Azmi, iaitu para rasul yang memiliki keteguhan dan kesabaran yang luar biasa dalam menyampaikan risalah Allah SWT.
Kesabaran Baginda bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kekuatan jiwa dan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ghafir, ayat 55 yang bermaksud: “Maka bersabarlah, sesungguhnya janji Allah itu benar.”
Selain kesabaran, perjuangan Rasulullah SAW turut memperlihatkan pengorbanan yang luar biasa. Baginda mengorbankan masa, tenaga, harta, keselesaan dan keselamatan demi menyampaikan ajaran Islam.
Para sahabat juga sanggup meninggalkan tanah air dan harta benda demi mempertahankan agama.
Peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah menjadi antara contoh terbesar pengorbanan umat Islam pada zaman Rasulullah SAW.
Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, sebaliknya mencerminkan keberanian, pengorbanan dan kecekalan dalam mempertahankan akidah serta meneruskan perjuangan dakwah.
Akhlak Rasulullah SAW merupakan antara perkara terpenting yang perlu dihayati oleh umat Islam pada hari ini.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak seharusnya hanya dilafazkan melalui selawat atau dizahirkan ketika sambutan tertentu, tetapi perlu dibuktikan melalui usaha menghayati dan mengamalkan sunnah serta akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
Sesungguhnya, menyusuri jejak Rasulullah SAW bukan sekadar mengenang sejarah perjuangan Baginda, tetapi menjadikan kesabaran, pengorbanan, istiqamah dan akhlak mulia Baginda sebagai pedoman dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan, umat Islam dapat terus memperkukuh iman dan membina kehidupan yang diredai Allah SWT.
Hanzalah Azman





