
SETIAP kali bermulanya bulan Ogos, jerebu akibat pembakaran untuk pertanian semakin menebal, menyelubungi udara kampung kami. Aku selalu merasakan kesukaran bernafas, dada terasa berat, seolah-olah asap itu menyusup ke dalam tubuh.
Aku cuba menarik nafas yang lebih dalam, namun tetap terasa sesak. Aku duduk di tepi rumah, memandang kampung yang dibaluti kabut kelabu. Dari jauh, hanya kelihatan siluet rumah dan pohon-pohon yang kelihatan hampir terbungkus dalam kabus. Hati aku terasa sunyi, seolah-olah kampung ini turut merasai apa yang aku alami.
Aku teringat pada zaman kecilku, jerebu bukanlah hal yang membebankan. Dulu, kampung kami seakan dunia yang tidak terkesan oleh apa yang berlaku di luar sana.
Pak Cikku, dengan tangannya yang berotot besar, selalu sibuk menebas kawasan hutan dara untuk menanam padi bukit. Aku sering memerhatikannya dengan rasa ingin tahu yang mendalam.
Pokok-pokok besar ditebang tanpa ragu, seolah-olah alam ini tidak pernah memberi ruang untuk berfikir dua kali.
Pada suatu hari, aku bertanya dengan nada yang agak kasar, “Pak Cik tak sayang ke dengan hutan ni? Kenapa tebang pokok-pokok ni? Jerebu pun semakin teruk, Pak Cik nak tambah jerebu lagi?”
Aku terluka melihat tanah yang semakin tandus, kemarau yang panjang, dan sumber air kami yang semakin menipis. Ternyata, dalam usia kecil itu, aku tidak dapat memahami alasan di sebalik setiap tindakan Pak Cikku.
Aku melihat alam dengan pandangan yang penuh rasa bimbang, tapi Pak Cikku hanya tersenyum. Matanya yang tenang dan jauh, seperti menyimpan rahsia yang tidak mampu aku terjemahkan.
“Kamu akan faham suatu hari nanti,” jawab Pak Cikku dengan lembut, namun ada sesuatu dalam suaranya yang terasa pahit. Kata-katanya berulang-ulang dalam fikiranku, semakin lama semakin menimbulkan persoalan yang tak terjawab.
Aku memang tidak suka dengan kerja-kerja berhuma, apatah lagi berpanas di bawah sinaran matahari yang membahang, belum lagi terkena miang-miang halus padi, gigitan nyamuk dan seumpamanya.
Aku berjanji pada diriku sendiri, bahawa setelah tamat sekolah menengah, aku akan meninggalkan kampung dan bekerja di bandar. Hidupku tidak akan terikat pada tanah dan keringat. Aku ingin kehidupan yang lebih baik, yang lebih moden.
Namun, kehidupan tidak seperti yang aku bayangkan. Selepas tamat persekolahan pada tahun 2007, aku menghantar resume ke pelbagai syarikat, mengharapkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Aku menggunakan motosikal tua Yamaha SS2 milik bapaku, tidak memilih pekerjaan, asalkan ada peluang untuk belajar dan berkembang. Aku turut menghadiri temu duga terbuka PDRM di Dewan Suarah Kuching seawal jam 4 pagi bersama-sama ratusan manusia.
Tetapi, setiap permohonan sepi tanpa khabar. Tiada panggilan, tiada maklum balas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Aku semakin resah. Teman-teman sekelas suatu ketika dulu sudah mendapat pekerjaan tetap, ada yang sudah membeli rumah dan kereta.
Pesanan Cikgu Bahasa Inggeris aku sentiasa segar dalam ingatan, “Ensure that completing your 5C is your top priority before anything else”. Aku terasa begitu jauh ketinggalan.
Dalam hati, ada bisikan yang meragui usahaku. “Mungkin kau yang memilih kerja,” kata orang kampung, sedangkan aku sudah berusaha sehabis baik. Aku bingung, adakah kesilapan itu datang dari usahaku yang tidak cukup kuat, atau kerana sememangnya peluang itu tiada untukku?
Saat itulah, aku mula memikirkan untuk pulang ke kampung. Tanah yang terbiar itu, mungkin ada harapan yang tersembunyi di sana. Pulang ke kampung adalah keputusan yang penuh keraguan, namun aku tiada pilihan lain. Aku kembali kepada nenek dan kedua-dua orang tuaku, memohon izin untuk mengusahakan tanah warisan keluarga.
Dengan tekad baru, aku memulakan langkah pertama. Tanah yang kosong itu seolah-olah memanggil, memberi peluang untuk kehidupan yang lebih bermakna.
Aku menebang pokok-pokok kecil dan besar, mengorbankan tenaga dan waktu. Walaupun tubuh terasa lemah dan letih, aku terus bekerja.
Setiap kali aku merungut, bayangan Pak Cikku yang kuat, yang tidak pernah mengeluh, kembali dalam fikiranku.
Kata-katanya “Kamu akan faham suatu hari nanti,” berulang lagi, memberi semangat walaupun ada ketikanya aku rasa mahu menyerah.
Hari demi hari berlalu, dan akhirnya, aku berjaya membuka tanah berbukit seluas tiga ekar. Aku mengerahkan seluruh tenagaku untuk menyiapkannya. “Aku akan menanam padi di sini,” bisikku dalam hati.
Keringat menitik di dahi, tetapi ada kepuasan yang sukar digambarkan. Tanah ini kini bukan lagi tanah yang terbiar, tetapi tanah yang sudah menjadi milikku, hasil usaha tanganku sendiri.
Setelah beberapa minggu, pokok-pokok yang telah ditebang dibiarkan mengering sebelum aku bakar, diikuti pula masa untuk menugal dan menanam benih padi.
Nenekku yang sudah berusia, tetapi masih bersemangat, turut membantu. Kami saling bekerja dengan semangat yang tinggi. Pada hari itu, ramai saudara-mara datang pingirih bersama-sama dengan kami.
Kami bekerja dalam semangat gotong-royong, menyelesaikan kerja dalam beberapa jam sahaja. Semangat pingirih yang diwarisi turun-temurun mengikat kami sebagai satu komuniti yang kuat.
Minggu demi minggu berlalu, dan benih-benih padi yang ditanam mula menunjukkan tunasnya. Melihat pertumbuhan yang perlahan namun pasti itu, aku merasa seolah-olah kehidupan baru sedang bermula dalam diriku.
Setiap rumput yang aku cabut, setiap batang padi yang aku baja, memberi aku rasa kedamaian dan kepuasan yang mendalam. Proses itu bukan sekadar pekerjaan, tetapi sebuah ikatan dengan alam dan tanah yang memberi rezeki.
Setiap helaian daun yang tumbuh subur, aku semakin merasakan hubungan aku dengan tanah ini semakin kuat, seolah-olah aku adalah sebahagian darinya.
Selepas selesai mencabut rumput dan membaja, aku pulang ke rumah orang tuaku. Di dalam hati, ada ketikanya aku merasa keliru dan resah, kerana sering kali fikiran aku meronta-ronta, memikirkan tentang masa depan dan pekerjaan.
Melihat orang lain maju dalam kerjaya mereka, aku merasa seperti terperangkap dalam kebisuan perjalanan hidupku sendiri.
Aku berdoa dengan sepenuh hati, memohon agar pintu rezeki dan pekerjaan terbuka untukku, agar aku dapat berjalan di jalan yang lebih jelas, seperti mereka yang aku lihat maju. Setiap kali aku menatap langit, aku berharap agar ada jawapan yang diberikan oleh takdir.
Selang beberapa hari, Pak Cik ku di Siburan menelefon dengan berita yang tidak pernah aku duga. Dia memberitahu bahawa aku mendapat tawaran temu duga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Hatiku berdegup kencang, dan aku hampir tidak dapat mempercayai berita itu. Aku merasa lega yang teramat sangat setelah sekian lama menanti, seolah-olah segala usaha, doa, dan kesabaran akhirnya membuahkan hasil.
Inilah peluang yang aku tunggu-tunggu, dan ia memberikan sinar harapan yang baru dalam hidupku.
Aku tahu ini baru permulaan, tetapi aku merasa bersyukur dan penuh harapan. Ini adalah peluang yang sangat berharga, dan aku berjanji untuk memberi yang terbaik, bukan hanya untuk diriku sendiri, tetapi juga untuk kedua-dua orang tuaku yang sentiasa menyokong dan berdoa untukku.
Mereka telah memberi segala yang terbaik untuk membesarkanku, dan kini adalah giliran aku untuk membalas jasa mereka dengan usaha dan kesungguhan. Setiap langkah yang aku ambil, setiap usaha yang aku berikan, adalah untuk memastikan aku tidak mengecewakan mereka.
Namun, menunggu keputusan temu duga bukanlah perkara yang mudah. Masa terasa begitu panjang, seolah-olah setiap hari berlalu dengan perlahan, dan setiap detik penuh dengan debaran.
Paling tidak, keputusan temud uga itu mungkin akan keluar dalam tempoh 3 ke 4 bulan lamanya. Aku sering kali berfikir, apakah keputusan yang akan aku terima? Adakah aku akan berjaya, ataukah aku perlu menerima kenyataan jika tidak terpilih?
Kerisauan itu kadangkala mengganggu fikiranku, tetapi aku berusaha untuk mengawal perasaan dan terus fokus kepada matlamat yang telah aku tetapkan. Aku tahu, dalam hidup ini, tiada yang mudah, tetapi setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan membuahkan hasil yang memadai.
Dalam tempoh menunggu itu, aku mengambil masa untuk merenung diri dan terus memperbaiki diri, selain terus mencari peluang pekerjaan yang ada. Aku bertekad untuk tidak berputus asa walau apa pun yang terjadi.
Hati ini terus cekal, terus kuat, walaupun kadang-kadang perasaan ragu menguasai. Aku berusaha untuk tetap positif, kerana aku percaya bahawa setiap ujian dan cabaran itu adalah sebahagian daripada proses kehidupan yang mengajar aku untuk menjadi lebih tabah.
Aku terus berdoa, memohon kepada Tuhan agar diberikan petunjuk dan kekuatan, dan agar pintu rezeki ini benar-benar terbuka untukku.
Sementara menunggu keputusan temu duga, aku memutuskan untuk pulang ke kampung. Kepulangan aku kali ini terasa berbeza, bukan hanya kerana aku sedang menantikan keputusan yang bakal menentukan masa depan, tetapi juga kerana aku tahu kerja-kerja di huma sememangnya sudah menanti.
Tanah itu, yang telah lama menjadi tempat aku belajar erti kehidupan dan usaha, kini memanggil aku kembali. Tidak ada yang lebih membumi dan menenangkan fikiranku selain berada di sini, di tengah-tengah alam yang sederhana dan penuh ketenangan.
Setibanya di kampung, suasana segar dengan deruan angin yang menyapa wajah dan bau tanah basah setelah hujan menyegarkan jiwa. Begitu banyak kerja yang perlu diselesaikan – mencabut rumput, membaja padi dan memastikan padi yang tumbuh subur mendapat perhatian yang sewajarnya.
Aku tahu, setiap tugas yang dilakukan di huma bukanlah kerja yang mudah, tetapi ada kepuasan yang tiada tandingan. Setiap kali tangan aku menyentuh tanah, aku merasa seolah-olah aku menjadi sebahagian daripada kehidupan itu sendiri.
Tiada perkara yang lebih mendalam dari memelihara tanah yang memberi rezeki kepada kita.
Meskipun fikiran aku masih terganggu dengan keputusan temu duga yang semakin menghampiri, aku berusaha untuk tidak membiarkan perasaan resah itu mengganggu kerja aku di huma.
Aku kembali fokus pada setiap tugas, menyelesaikannya dengan hati yang penuh keikhlasan. Mencabut rumput yang tumbuh liar, membaja tanaman padi yang kian meninggi, dan merawat setiap pokok yang ada, semuanya terasa seperti satu proses penyucian diri.
Ada ketenangan yang aku cari dalam setiap langkah ini.
Kadang-kadang, ketika aku berdiri di tengah huma, memandang luasnya huma yang terbentang, aku terfikir tentang perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran ini.
Betapa banyaknya ujian dan dugaan yang perlu ditempuhi sebelum sampai ke penghujung yang diinginkan. Namun, seperti padi yang tumbuh perlahan tetapi pasti, aku percaya bahawa usaha yang dilakukan dengan sabar akan membuahkan hasil yang setimpal.
Waktu yang aku luangkan di huma ini, walaupun terasa berat, tetap mengingatkan aku tentang erti ketabahan, kesabaran, dan kerja keras yang tak pernah sia-sia.
Pulang ke kampung juga memberiku ruang untuk berfikir dengan lebih tenang, untuk menilai apa yang telah aku capai dan apa yang aku harapkan pada masa depan.
Walaupun ada kebimbangan tentang keputusan temu duga yang menanti, aku merasa lebih kuat dan lebih bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang bakal datang. Huma ini mengajarku bahawa hidup ini adalah tentang proses, tentang memberi dan menerima, tentang usaha yang tak kenal lelah.
Akhirnya, padi yang aku tanam mula menguning, menandakan musim menuai sudah bermula. Aku semakin bersemangat setiap kali aku melihat tangkai padi yang besar, penuh dengan biji padi yang padat.
Setiap tangkai padi aku patahkan dengan penuh syukur, tangkai-tangkai padi itu aku masukkan ke dalam tambuk rotan yang dianyam oleh nenekku dengan kemas dan rapi. Bahang mentari yang semakin menegak tidak terasa, kerana ini kali pertama aku menuai padi di huma.
Walaupun kepanasan siang membakar tubuh, aku tetap meneruskan kerja, dan kini aku faham mengapa orang tua-tua dahulu suka berkebun—mereka tahu betapa berharganya hasil yang diperoleh melalui usaha keras, walaupun di bawah terik mentari.
Tiba-tiba, aku teringatkan Pak Cikku, dan kata-katanya yang semakin hari semakin jelas di fikiranku. Inilah yang dia maksudkan, tanah ini bukan hanya sekadar tanah. Ia adalah amanah yang perlu dijaga, dihargai, dan dihormati.
Pada suatu malam, selepas seharian bekerja keras di huma, aku tidur dengan perasaan yang lebih tenang dan puas. Walaupun tubuhku letih, hati ini terasa ringan, seolah-olah segala usaha yang aku lakukan hari itu memberikan ketenangan yang sukar dijelaskan.
Keesokan harinya, ketika aku sedang memulai hari yang baru, telefonku berdering. Aku mengangkatnya tanpa berfikir panjang, namun terkejut apabila mendengar suara di hujung talian yang memberitahuku tentang tawaran pekerjaan.
Rupa-rupanya, aku telah mendapat tawaran pekerjaan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan sebagai Pembantu Awam. Jawatan tetap dan berpencen. Hatiku berdegup kencang, dan dalam sekelip mata, kegembiraan yang meluap-luap membuatkan aku terjerit kecil.
Bukan hanya aku yang merasa gembira, nenekku yang sedang duduk di ruang tamu turut tersenyum lebar, wajahnya dipenuhi rasa syukur.
Aku merasa seperti dunia ini tiba-tiba menjadi lebih cerah. Walaupun ini bukanlah jawatan yang aku idamkan atau yang aku bayangkan selama ini, aku menerima tawaran itu dengan hati yang terbuka dan penuh rasa syukur.
Aku kini mula faham, kebahagiaan bukan terletak pada pekerjaan atau status yang dianggap ‘ideal’ oleh masyarakat, tetapi pada bagaimana kita menghargai dan membuat yang terbaik dengan apa yang ada di hadapan kita.
Tanah ini, dengan segala kesederhanaannya, telah mengajar aku banyak perkara yang lebih berharga daripada apa yang aku duga. Di atas tanah ini, aku belajar erti kesabaran, usaha yang tidak kenal lelah, dan pentingnya menghargai apa yang dimiliki.
Walaupun hidup ini sering kali tidak seperti yang kita harapkan, tetapi apabila kita menerima dengan lapang dada, kita sebenarnya diberi peluang untuk mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih bermakna.
Seperti yang pernah Pak Cik katakan kepadaku suatu masa dahulu, “Kamu akan faham suatu hari nanti.” Kini, aku faham apa yang beliau maksudkan.
Jalan yang aku pilih, walaupun nampak berbeza dengan apa yang aku bayangkan sebelum ini, sebenarnya adalah jalan yang membawa aku kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang kehidupan.
Apa yang aku cari selama ini bukanlah sesuatu yang jauh di luar sana, tetapi ia ada di sini, dalam diri aku sendiri dan dalam apa yang aku lakukan setiap hari. Aku kini lebih menghargai peluang yang datang dan lebih bersedia untuk menjadikannya sesuatu yang bermakna, kerana aku tahu bahawa setiap perjalanan hidup ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
Oleh Reagan Niru