Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menyisih retorik klise peperangan
  • WBS

Menyisih retorik klise peperangan

Utusan Sarawak 18 hours ago
MENYISIH retorik klise peperangan

CERPEN “Mariam untuk Nur” karya Siti Hajar Ahmad merupakan sebuah naratif yang berangkat daripada latar peperangan dan penderitaan kemanusiaan. Cerita ini menampilkan perjalanan dua beradik—Khaled dan adiknya Mariam—yang berusaha melarikan diri daripada kehancuran negara mereka menuju sebuah pelabuhan yang dijanjikan sebagai tempat kedatangan misi kemanusiaan.

Dalam kerangka tematiknya, cerpen ini jelas ingin mengangkat persoalan kemanusiaan, ketabahan dalam penderitaan, serta harapan yang bertahan di tengah-tengah kehancuran perang. Secara emosional, teks ini memiliki potensi yang kuat kerana ia menempatkan seorang kanak-kanak sebagai pusat empati pembaca, sekali gus mengaktifkan simpati terhadap tragedi yang dialami masyarakat awam.

Namun demikian, walaupun cerpen ini memiliki kekuatan dari segi sentimen dan mesej moral, terdapat beberapa kelemahan dari sudut struktur naratif, pembinaan watak, pengolahan konflik serta keseimbangan antara unsur penceritaan dan retorik yang boleh diperbaiki bagi menjadikan karya ini lebih berkesan sebagai sebuah cerpen sastera yang matang.

Dari segi kekuatan asasnya, cerpen ini berjaya mencipta suasana pascaperang yang suram dan penuh kehancuran. Gambaran tentang langit yang diselubungi asap, bangunan yang runtuh, serta manusia yang hidup dalam kelaparan memberi latar yang cukup meyakinkan bagi dunia cerita yang ingin dibina oleh pengarang. Misalnya, deskripsi tentang jalan yang retak dan bangkai kereta yang bertaburan memberikan kesan visual yang kuat kepada pembaca tentang kehancuran peradaban yang sedang berlaku. Unsur ini penting kerana latar yang kuat merupakan asas kepada keberkesanan cerita bertema peperangan. Pengarang juga menunjukkan kepekaan terhadap dimensi psikologi kanak-kanak melalui watak Mariam yang masih mampu tersenyum dan melukis walaupun hidup dalam keadaan yang amat sukar. Kontras antara kepolosan kanak-kanak dengan kekejaman perang menghasilkan kesan tragis yang berpotensi menyentuh pembaca secara mendalam.

Namun demikian, kekuatan emosi yang cuba dibina oleh cerpen ini seringkali dilemahkan oleh masalah struktur plot yang kurang tersusun. Secara keseluruhan, plot cerpen ini bergerak secara linear: perjalanan Khaled dan Mariam menuju pelabuhan, diikuti insiden kematian Mariam, dan akhirnya pertemuan Khaled dengan Nur. Struktur ini pada dasarnya tidak bermasalah, tetapi cara penyampaian peristiwa-peristiwa tersebut kurang memperlihatkan perkembangan dramatik yang beransur-ansur.

Konflik utama cerita—iaitu usaha untuk sampai ke pelabuhan sebelum bantuan kemanusiaan tiba—tidak dikembangkan secara berlapis. Pembaca hanya disajikan dengan beberapa peristiwa episodik seperti kelaparan di kem pelarian, perjalanan di tengah runtuhan dan akhirnya insiden tembakan yang membunuh Mariam. Peristiwa-peristiwa ini berlaku secara agak mendadak tanpa pembinaan ketegangan yang cukup. Akibatnya, kematian Mariam yang sepatutnya menjadi klimaks emosional cerita terasa sedikit tergesa-gesa.

Untuk memperbaiki kelemahan ini, pengarang boleh memperkukuh struktur dramatik dengan memperkenalkan beberapa tahap konflik yang lebih jelas sebelum mencapai klimaks. Sebagai contoh, perjalanan menuju pelabuhan boleh dipenuhi dengan lebih banyak cabaran yang memperlihatkan perubahan emosi dan fizikal watak-watak. Mungkin mereka perlu mengelak daripada rondaan tentera, menghadapi kekurangan air yang lebih kritikal, atau terpaksa membuat keputusan moral yang sukar ketika bertemu pelarian lain. Cabaran demi cabaran ini harus disertakan dengan pembinaan karakter watak-watak. Perubahan dari kematangan, misalnya disusuli dengan pembinaan pandangan peribadi watak-watak terhadap dunia.

Hal ini mustahak kerana dengan pembinaan karakter watak-watak tersebut, pembaca dapat merasakan bahawa watak-watak itu tidak sekadar satu dimensi yang kontang emosi. Dengan menambahkan beberapa episod dramatik yang saling berkait, kematian Mariam akan terasa lebih tragis kerana pembaca telah mengikuti perjuangan mereka dalam tempoh yang lebih panjang.

Selain masalah struktur plot, pembinaan watak dalam cerpen ini juga boleh diperkukuh. Watak Khaled berfungsi sebagai narator dan pelindung kepada Mariam, namun personalitinya tidak berkembang secara signifikan sepanjang cerita. Khaled sering kali digambarkan sebagai seorang abang yang penyayang dan tabah, tetapi kita jarang melihat konflik batin yang mendalam dalam dirinya. Reaksinya terhadap tragedi kebanyakannya dinyatakan secara langsung melalui monolog emosional atau kenyataan moral tentang kezaliman dunia. Hal ini menjadikan watak Khaled cenderung bersifat simbolik—melambangkan ketabahan rakyat yang tertindas—tetapi kurang terasa sebagai individu yang kompleks.

Salah satu cara untuk memperbaiki aspek ini adalah dengan memperlihatkan lebih banyak keraguan, ketakutan atau dilema moral dalam diri Khaled. Sebagai contoh, Khaled mungkin pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan perjalanan kerana keletihan, atau meragui sama ada pelabuhan itu benar-benar wujud sebagai tempat selamat. Konflik batin seperti ini akan memberikan dimensi psikologi yang lebih kaya kepada watak tersebut. Watak yang mempunyai keraguan dan kelemahan biasanya terasa lebih manusiawi dan lebih mudah dipercayai oleh pembaca.

Memetik pandangan Khaled terhadap dunia seperti berikut:

“Bagaimana aku mahu menjelaskan kepada anak kecil tentang kerakusan kuasa dunia? Tentang mereka yang tamak pada minyak, tanah dan politik, hingga sanggup membunuh berjuta jiwa? Kerakusan mereka itu pula disokong oleh negara-negara perkasa yang lain menyebabkan nyawa rakyat seperti kami seperti nyawa semut yang boleh diinjak dan dibunuh tanpa bersalah.”

Hakikatnya, ini ialah pandangan umum, yakni pandangan orang luar yang tidak terlibat secara langsung dengan konflik, tetapi mengetahui hitam putih kejadian secara permukaan. Namun, bagi Khaled, yang merasai kejadian itu secara langsung, merasai hangatnya darah insan tersayang yang terkorban dan mendepani ketakutan saban hari, pandangannya terhadap dunia barangkali lebih gelap. Ia menuntut pembacaan lebih lanjut dan juga imaginasi terkehadapan untuk mengarang aspek psikologi insan-insan yang teraniaya akibat perang yang melanda ke atas mereka.

Watak Mariam pula sebenarnya merupakan pusat emosi cerita, tetapi potensinya belum dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam teks ini, Mariam digambarkan sebagai kanak-kanak yang sabar, penyayang dan penuh harapan. Dia sering tersenyum walaupun kelaparan dan terus melukis masa depan yang indah dalam buku catatannya. Walaupun ciri-ciri ini menyentuh hati, penggambaran Mariam kadangkala terlalu ideal sehingga hampir menyerupai simbol kesucian semata-mata. Kanak-kanak dalam situasi perang biasanya mempunyai pelbagai emosi—takut, marah, keliru atau memberontak—tetapi Mariam hampir sentiasa digambarkan sebagai tenang dan redha. Ketidakseimbangan ini menjadikan wataknya sedikit kurang realistik. Ketidakrealistikan ini yang mengurangkan elemen empati atau impak kesedihan ketika wataknya dimatikan di penghujung cerita.

Pengarang boleh menambahkan beberapa detik yang memperlihatkan sisi lain Mariam sebagai kanak-kanak biasa. Misalnya, Mariam mungkin pernah merajuk kerana terlalu lapar, atau bertanya soalan yang lebih kompleks tentang kematian ibu bapanya. Detik-detik kecil seperti ini tidak akan mengurangkan kesucian tanpa kepolosan watak Mariam, malah akan menjadikannya lebih hidup dan meyakinkan. Kepolosan itu harus ada

Selain itu, hubungan antara Khaled dan Mariam sebenarnya merupakan nadi utama cerita, tetapi interaksi antara mereka masih boleh diperdalamkan. Kebanyakan dialog mereka berfungsi untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca—misalnya tentang perjalanan mereka atau harapan terhadap bantuan kemanusiaan.

Dialog-dialog ini jarang digunakan untuk memperlihatkan dinamika emosi antara dua beradik tersebut. Pengarang boleh memperkaya dialog dengan detik-detik kecil seperti gurauan, kenangan tentang ibu bapa mereka, atau cerita masa lalu yang mereka kongsi. Imej-imej bahagia sebelum peperangan boleh dijadikan inti pati perbualan. Barangkali perbualan mengenai zaman silam itu harus dibubuhkan dengan impian untuk kembali ke keadaan yang serupa untuk menjadikan perbualannya lebih terarah dan menambah nilai pada penceritaan. Interaksi seperti ini akan menjadikan hubungan mereka lebih intim dan menjadikan kematian Mariam lebih menghancurkan secara emosional.

Satu lagi kelemahan yang agak ketara ialah kecenderungan cerpen ini untuk menyampaikan mesej moral secara terlalu langsung. Pengarang kerap menggunakan narator untuk mengutuk kekejaman dunia atau menyatakan pandangan tentang kerakusan politik global. Walaupun mesej kemanusiaan ini penting, penyampaiannya yang terlalu eksplisit boleh mengganggu aliran penceritaan. Dalam karya sastera yang berkesan, mesej biasanya muncul secara tersirat melalui tindakan watak dan situasi cerita, bukan melalui kenyataan langsung yang panjang.

Sebagai contoh, penderitaan pelarian sebenarnya sudah cukup kuat untuk menunjukkan kekejaman perang tanpa perlu dihuraikan secara retorik. Salah satu contoh paling jelas ialah petikan berikut:

“Dunia sudah hilang nuraninya. Kemanusiaan telah dikuburkan bersama jasad-jasad yang ditanam. Negara yang mempunyai politik yang hebat pun hanya menikus apabila melihat kami dizalimi seumpama haiwan. Semuanya menutup mata, mengunci mulut dan memekak telinga melihat keharmonian dan kebahagiaan kami dirampas tanpa ihsan!”

Petikan ini menyampaikan mesej dengan sangat jelas: dunia tidak berperikemanusiaan, kuasa besar gagal bertindak dan rakyat menjadi mangsa. Namun, ia bersifat deklaratif dan retorik. Ia tidak muncul daripada tindakan atau peristiwa, sebaliknya daripada komentar narator. Ini menyebabkan pembaca “diberitahu” tentang kekejaman dunia, bukannya “merasai” kekejaman itu secara langsung.

Cadangan pembaikan adalah dengan menukarkan pernyataan abstrak ini kepada gambaran konkrit yang membiarkan pembaca menyimpulkan sendiri maksudnya. Contohnya:

“Aku berdiri di tepi khemah rabak. Seorang ibu memeluk anaknya yang sudah tidak bernyawa, mulutnya ternganga tetapi tiada suara yang keluar. Di hadapan kami, sebuah lori bantuan berhenti seketika sebelum berpatah balik tanpa menurunkan apa-apa. Tiada siapa bertanya. Tiada siapa membantah. Kami hanya memandang, seolah-olah sudah terlalu letih untuk berharap.”

Dalam versi ini, mesej yang sama—kehilangan kemanusiaan dan kegagalan dunia membantu—masih wujud, tetapi ia tidak dinyatakan secara langsung. Ia hadir melalui imej: ibu, anak mati, lori bantuan yang beredar. Pembaca akan sampai kepada kesimpulan sendiri, dan kesannya biasanya lebih kuat.

Jika pengarang membiarkan peristiwa-peristiwa tragis itu “berbicara sendiri”, kesannya kepada pembaca mungkin lebih mendalam. Pendekatan ini juga akan menjadikan cerpen terasa lebih halus dari segi estetik.

Bahagian klimaks cerita—iaitu kematian Mariam akibat tembakan tentera—mempunyai potensi dramatik yang sangat kuat. Namun cara peristiwa itu berlaku agak mendadak dan kurang didahului oleh pembinaan ketegangan yang memadai. Insiden itu berlaku hampir sekelip mata: mereka berlari, Mariam terjatuh, tembakan dilepaskan dan Mariam mati dalam pelukan Khaled. Walaupun tragedi yang berlaku secara tiba-tiba memang boleh mencerminkan realiti perang, dari sudut naratif pembaca mungkin memerlukan sedikit ruang untuk merasai ancaman yang semakin mendekat sebelum tragedi itu berlaku.

Pengarang boleh memperlahankan tempo adegan ini dengan menggambarkan suasana sekeliling secara lebih terperinci: bunyi langkah tentera yang semakin hampir, ketegangan ketika mereka bersembunyi, atau ketakutan Mariam yang cuba ditenangkan oleh Khaled. Dengan cara ini, detik tembakan akan terasa lebih dramatik dan memberi kesan emosi yang lebih kuat.

Akhir cerita pula menampilkan pertemuan Khaled dengan Nur di pelabuhan, tempat dia menyerahkan buku lukisan Mariam seperti yang dijanjikan. Secara simbolik, adegan ini sangat bermakna kerana buku itu menjadi saksi kepada kewujudan Mariam dan harapannya yang tidak sempat tercapai. Namun pertemuan antara Khaled dan Nur berlaku agak singkat dan tidak sempat berkembang sebagai satu konfrontasi emosi yang mendalam. Nur hanya muncul pada hujung cerita sebagai penerima simbolik kepada kisah Mariam.

Untuk menjadikan penutup cerita lebih berkesan, pengarang boleh memberi lebih ruang kepada interaksi antara Khaled dan Nur. Misalnya, Khaled mungkin menceritakan perjalanan mereka kepada Nur, atau Nur mungkin membaca lukisan Mariam dan memberikan reaksi emosional yang kuat. Adegan seperti ini boleh menjadi titik refleksi yang menyatukan semua tema cerita—perang, kehilangan dan harapan.

Dari segi gaya bahasa, cerpen ini menggunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami. Namun terdapat beberapa bahagian yang cenderung menggunakan ungkapan klise seperti “dunia sudah hilang nurani” atau “kerakusan manusia”. Ungkapan seperti ini sering muncul dalam wacana umum tentang peperangan, tetapi dalam karya sastera yang ingin memberi kesan mendalam, penggunaan imej yang lebih segar dan spesifik biasanya lebih berkesan. Pengarang boleh memperkaya bahasa dengan metafora yang lebih unik atau dengan perincian kecil yang lebih konkrit.

Secara keseluruhannya, cerpen “Mariam untuk Nur” memiliki asas cerita yang kuat dari segi tema dan potensi emosinya. Ia mengangkat isu kemanusiaan yang relevan dan menggunakan hubungan antara dua beradik sebagai medium untuk menimbulkan simpati pembaca.

Namun untuk mencapai tahap penceritaan yang lebih matang dan berkesan, beberapa aspek perlu diperbaiki: struktur plot perlu diperkukuhkan dengan konflik yang lebih berlapis, watak-watak perlu diberikan dimensi psikologi yang lebih kompleks, dialog dan interaksi perlu diperkaya bagi memperdalam hubungan antara watak, dan mesej moral perlu disampaikan dengan lebih tersirat melalui tindakan dan situasi.

Dengan penambahbaikan ini, cerpen tersebut berpotensi menjadi sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh emosi pembaca, tetapi juga meninggalkan kesan estetik yang lebih mendalam. Kisah Mariam sebenarnya memiliki kekuatan simbolik yang besar—seorang kanak-kanak kecil yang menjadi korban kerakusan dunia, tetapi meninggalkan sebuah buku lukisan sebagai saksi harapan yang tidak pernah padam. Jika pengarang berjaya memperhalus teknik penceritaan dan memperkaya lapisan dramatiknya, cerita ini boleh berkembang daripada sekadar naratif sentimental kepada sebuah cerpen tragedi kemanusiaan yang benar-benar kuat dan berbekas dalam ingatan pembaca.

Oleh Lokman Hakim

Continue Reading

Previous: Kesederhanaan Pengucapan dan Kedalaman Makna
Next: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.