Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menyirat yang Tersurat
  • WBS

Menyirat yang Tersurat

Utusan Sarawak 2 years ago

Oleh: Mohidin Haji Malek

KEMAHIRAN berkomunikasi (communication skills) berupa elemen penting dalam perhubungan seharian. Dalam apa-apa juga ranah serta bidang, kebestarian berkomunikasi membolehkan apa-apa juga mesej, aspirasi, gagasan, hasrat dan seumpamanya dapat disampaikan secara berkesan. Kemahiran berkomunikasi melibatkan keupayaan serta kebestarian seseorang menggunakan alat komunikasi, iaitu bahasa, dengan baik agar setiap butiran maklumat yang ingin disampaikan, dapat diterima secara berkesan oleh khalayak pendengar. Baik secara lisan mahupun tulisan, keberkesanan penyampaian maklumat bergantung pada kejelasan mesej atau butiran maklumat yang terkandung dalam proses komunikasi berkenaan.

            Dalam dunia pengkaryaan, hal yang sedemikian tidak terkecuali. Apa-apa yang dinukilkan membawa mesej serta maklumat yang ingin diketengahkan dan disampaikan kepada khalayak pembaca. Elemen keistimewaan yang terkandung dalam bentuk pengkaryaan yang pada kelazimannya membezakannya dengan komunikasi secara lisan ialah keindahan gaya bahasanya. Pengkarya berpeluang untuk ‘bermain’ dengan bahasa dalam konteks menerapkan elemen seperti majas, metafora, anafora dan seumpamanya. Lantaran hal yang sedemikian, keindahan yang ditampilkan menjadi unsur ‘penarik’ dan ‘pancingan’ untuk ‘memikat’ khalayak pembaca. Di sebalik keindahan gaya berbahasa berkenaan, terselit sama ada kias mahupun unsur tersirat yang perlu ditaakuli untuk dimengertikan.

            Andai dikaji, masyarakat dahulu sememangnya memiliki kebestarian dalam berkomunikasi, khususnya dalam menyampaikan nasihat dan pesanan, meluahkan hasrat dan keinginan, serta mengajar. Kesantunan berbahasa yang diamalkan menyerlahkan ketinggian budi bahasa di samping mengelakkan berlakunya salah tafsir serta menjaga hati dan perasaan pendengar. Lihat sahaja elemen pantun misalnya. Unsur maksud didahulukan dengan pembayangnya. Pembayang yang sedikit sebanyak memberikan penanda akan butiran mesej yang mengikutinya. Pun demikian halnya dalam bentuk karya-karya lainnya seperti syair, gurindam, seloka dan sajak. Di sebalik apa-apa yang disurat atau dinukilkan, tertitip mesej atau butiran yang tersirat. 

            Berbicara tentang sajak, keindahannya tertampil dalam gaya bahasanya. Sifat ekonomis dalam gaya berbahasa untuk menyatakan sesuatu perkara yang berinti pati merupakan suatu elemen yang unik di samping ‘mencabar’ bagi para pengkarya genre ini. Naratif yang terkandung dalam sesebuah karya sajak menguji khalayak pembaca untuk menaakul, mencerna serta memahami mesej yang ingin diketengahkan oleh pengkaryanya.

            Membaca dan menaakuli sesebuah sajak penulis ibaratkan suatu perjalanan atau kembara. Kembara yang menampilkan keindahan alam semula jadi yang mampu menyentuh hati dan perasaan dan pada penghujungnya membangkitkan ‘kepuasan’. Keindahan yang tertampil dalam sesebuah sajak ibarat flora dan fauna serta tumbuhan, bukit dan bukau, denai dan sungai yang menyejukkan daya pandang dan menenteramkan jiwa atau nurani. Pun begitu, seandainya ‘wujud’ elemen atau unsur yang ‘mengganggu’ keindahan karya berkenaan, kaki pengembara ibarat tersandung pada tunggul atau batu yang menyebabkannya tersungkur. Lantas, ‘kepedihan’ atau kesakitan yang dialami semasa terjatuh, ‘menghilangkan’ ketenangan dan kedamaian yang terhasil daripada ‘nikmat’ yang ditampilkan oleh alam semula jadi. Lantas, kepuasan yang dicari dan diidamkan akan turut terpadam.

            Bertitik tolak daripada hal yang sedemikian, penghasilan sesebuah sajak memerlukan ketelitian serta kebestarian merangka penyampaian serta gaya berbahasa agar apa-apa juga yang ingin ‘disajikan’ kepada khalayak pembaca dapat menerjah ruang tafsir minda.  Menghasilkan sajak memang tidak semudah, tetapi bukanlah mustahil untuk dilakukan.

             Pada minggu lalu, tersiar tiga buah sajak yang dinukilkan oleh tiga orang pengkarya yang sememangnya bukan asing lagi dalam dunia kepengarangan. Malah, karya yang mereka nukilkan sering mengisi ruangan sastera, sama ada akhbar mahupun majalah tempatan dan nasional. Sajak-sajak berkenaan ialah “Ayam Kicap Ayah”, “Kanan dan Kiri” dan “Aku dan Secawan Koko”. Sajak pertama ialah hasil tulisan RatnaDewi Asmara, sajak kedua oleh Asyraff Jamin dan yang ketiga oleh Shafida Rosllan. Sajak-sajak yang dihasilkan berbeza dari aspek naratifnya, namun menyelitkan mesej yang menarik untuk ditaakuli.

            Sajak “Ayam Kicap Ayah” cuba menyelami naluri seorang ayah yang merindui akan kehadiran seorang anak yang berada jauh dengan menyediakan sajian ayam masak kicap. Ternukil sajak berkenaan seperti yang berikut;

Ayam Kicap Ayah

Semangkuk ayam kicap

Terhidang bersama nasi kuning

Berlaukkan kasih sayang

Hidangan tahun baharu

Heningnya pagi

Merdunya suara burung

Berbisik sesama sendiri

Si ayah melebarkan sayap rindu

Pada anak nan jauh di sana

Meleraikan rindu lewat

Hirisan bawang

Menumpahkan isi hatinya

Lewat ayam kicap

Agar terhidang kuah kerinduan.

            RatnaDewi cuba ‘menyentuh’ naluri pembaca. Memang jarang-jarang tertampil naratif seorang ayah terhadap anak-anaknya dalam apa-apa juga karya. Pemberatan sering tertumpu pada ibu. Pun demikian halnya dengan sudut penyelaman jiwa seorang ayah oleh seorang wanita. Lantaran hal yang sedemikian, wujud keterujaan untuk menyantuni sajak ini.

            Memang sukar bagi seseorang daripada gender yang berlainan untuk ‘memasuki’ atau ‘menyelami’ perasaan individu yang bertentangan. Hal yang sedemikian bertitik tolak daripada aspek naluri semula jadi. Tidak salah untuk mencuba dan melakukannya, akan tetapi dari segi keberkesanan sentuhan emosi, tidak akan sepenuhnya memenuhi kesan yang diinginkan.

Di samping hal yang sedemikian, RatnaDewi perlu berhati-hati saat menukangi karya, khususnya dalam konteks kerelevanan serta kelogikan. Dalam konteks ini, pada rangkap pertama, tiga bait iaitu, heningnya pagi/merdunya suara burung/berbisik sesama sendiri boleh ditiadakan kerana unsur kerelevanannya pada rangkap berkenaan tidak membawa wajaran yang berat. Bait-bait berkenaan seakan-akan memutus kesinambungan naratif tentang hidangan yang disajikan. Dari konteks pemaknaan, bait merdunya suara burung dan berbisik sesama sendiri agak tidak tepat. Perbuatan berbisik berupa perlakuan berbicara dalam nada rendah agar apa-apa juga butiran perbualan tidak terdengar oleh khalayak sekeliling. Wujud unsur ‘kerahsiaan’ apabila perbuatan berbisik berlaku. Lantaran hal yang sedemikian, kemerduan suara burung tidak mungkin akan terdengar apabila ‘mereka berbisik sesama sendiri’.

            Pada bait ketiga rangkap kedua, ungkapan meleraikan rindu lewat menimbulkan persoalan sama ada rindu yang dirasai oleh si ayah berkenaan ‘lewat’ atau leraian rindu berkenaan diterjemahkan “lewat hirisan bawang”.  Manakala pada bait terakhir, frasa kuah kerinduan sedikit sebanyak ‘mengurangkan’ kesan emosi kerana yang terhidang hanyalah kuahnya.

            Sajak “Kiri atau Kanan” berupa sebuah karya bersahaja, namun menitip mesej yang berat. Kiri dan kanan menerangkan perihal bahagian atau arah. Lazim, kiri dikaitkan dengan unsur negatif dan tidak baik seperti yang tergambar dalam ungkapan ‘fahaman berhaluan kiri’, ‘langkah kiri’ dan sebagainya. Manakala kanan dilihat sebagai unsur positif sifatnya seperti yang terkandung dalam ungkapan ‘orang kanan’, langkah kanan’ dan seumpamanya. Benarkah sedemikian? Hal inilah yang cuba diketengahkan oleh Asyraff Jamin lewat sajak nukilannya dengan menampilkan dua situasi yang relevan dan bersangkut paut dengan persoalan berkenaan. Asyraff cuba membawa khalayak pembaca mengikis tanggapan tipikal tentang pembezaan antara kedua-dua unsur tersebut. Setiap apa-apa yang dijadikan tidak semestinya dilihat sebagai tidak baik hanya kerana istilah yang diberi dan dipadankan dengannya, dalam konteks ini tangan kanan dan kiri. Secara keseluruhannya, penukilan sajak ini baik dan mampu menarik pembaca untuk berfikir dan ‘mengubah’ pandangan dan amalan tipikal yang tidak wajar. Selami sajak berkenaan yang dinukilkan seperti yang berikut;

Kanan dan Kiri

Kata kawanku;

Yang kiri itu selalu tak berguna,

Berfungsipun; untuk yang kotor-kotor sahaja

Mencuci najis misalnya

Kata kawanku lagi;

Yang kanan itulah yang paling berguna,

Yang baik-baik; semua dimulakan dengannya,

Seperti menyuap rezeki dan seumpamanya

Amboi, kawanku!

Bongkak benar nadamu

Enak meremehkanku?

Kawanku,

Kalau tidak ada kiri,

Apa najismu akan tersuci sendiri?

Apa tergamak kaukotorkan kananmu

yang konon bersih itu?

Kawanku,

Kalau tidak ada kiri

Apa suapan rezekimu akan lancar?

Apa saat kausuap makan pakai kanan;

Lalu kau tercekik tersedak,

Sanggup kaukotorkan gelasmu dengan

Sisa makanan ditangan?

Nah, yang kiri juga akan kaucari bukan?

Walau bagaimanapun, Asyraff perlu berhati-hati dalam penggunaan tanda baca yang mempunyai fungsi yang tertentu. Selain itu, kata apa pada rangkap kelima muluk digantikan dengan kata apabila.

            Sajak terakhir, “Aku dan Secawan Koko” bersifat peribadi dengan peluahan rasa tentang pendepanan apa-apa juga kemungkinan yang hadir dalam kehidupan harian.  Memang sesuatu perkara biasa bagi mana-mana individu untuk mempunyai hidangan kegemaran yang dijadikan sebagai unsur ‘perangsang’ dalam mendepani cabaran atau tugasan yang mendatang. Dalam konteks ini, unsur perangsang bagi Shafida ialah koko secawan.

Sajak ini polos dan mudah difahami. Shafida menitipkan ingatan bahawa dalam kehidupan, setiap cabaran perlu dihadapi dan diatasi dengan berbekalkan semangat kental dan keyakinan. Suatu nasihat yang berguna. Bagaimanapun, Shafida perlu berhati-hati apabila memilih imej untuk dipaparkan dalam sajak agar tidak terlihat akan unsur ketidakselarasan atau kelogikan. Misalnya pemilihan kata layar pada rangkap pertama dan tautannya dengan kata larian pada rangkap kedua. Pun demikian juga dengan frasa hangatnya yang suam pada rangkap kedua. Hangat dan suam memiliki tahap kepanasan yang berbeza. Lantaran hal yang sedemikian itu, Shafida harus berhati-hati dalam konteks ini. Diimbas kembali sajak yang dinukilkan.

Aku dan Secawan Koko

Secawan koko hangat

Menemani pagiku

Bersama layar masa depan

Angan yang harus direalisasikan

Seperti sinar pagi

Yang mencuri-curi menjengah

Bertanya khabar hari ini

Hangatnya yang suam

Menjalar ke setiap urat fikir

Menjana semangat yang luar biasa

Lalu keluh-kesah semalam seakan

sudah terlupakan

Dek tenangnya rasa

Enak yang memotivasikan

Larian masa depan

Ku hirup penghujung koko

Dengan kepuasan berani

Demi memulakan hari.

            Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah sajak ini baik, namun masih ada ruang untuk melakukan penambahbaikan. Tahniah dan syabas kepada RatnaDewi Asmara, Asyraff Jamin dan Shafida Rosllan. Giatkan usaha dan kuatkan tekad untuk terus menghasilkan karya. Wajar dijadikan ingatan bahawa dalam apa-apa juga genre pengkaryaan, tertitip unsur tersirat di sebalik yang tersirat. Hal yang sedemikian itulah yang mengindahkan sesebuah hasil karya.

            Salam bahasa, sastera dan budaya.

Continue Reading

Previous: Aku, Dia dan Sang Kerbau
Next: ”Aku, Dia dan Sang Kerbau” – Sebuah Kolaj Memori

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.