MENTERI Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak penggal pertama kali ini berbeza iklimnya daripada yang sebelumnya. Sejak menang bergaya dalam Pilihan Raya Umum Sarawak ke-12, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang ‘menguasai 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri, mengorak langkah berani dengan cadangan pembentangan 5 Rang Undang-Undang (RUU).
Antara kelima-limanya, RUU yang mendapat reaksi serta respons yang ‘hangat’ sudah pastinya pindaan perkara 6 (3) melibatkan penggantian terma ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Primier’ dalam Perlembagaan Negeri di bawah RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022. Walaupun cadangan pindaan berkenaan telah diluluskan dan menunggu pengesahan pewartaannya sebelum dikuatkuasakan, namun, masih kedengaran pelbagai reaksi dan tindak balas berhubung pindaan berkenaan, khususnya dari kalangan pihak pembangkang. Pelbagai hujahan diberikan dan malah aksi yang berupa ‘momokan’ yang kurang wajar dipertontonkan oleh seseorang politikus yang dilihat sebagai berwibawa ‘mewakili’ pengundi di konstituensi yang ditandingi.
Antara hujah yang agak menarik untuk diteliti dan ditaakuli adalah, kesignifikan pertukaran terma berkenaan terhadap hak dan kedudukan Sarawak, khususnya, dalam Persekutuan yang terbentuk. Persoalan berkenaan turut kedengaran menalun dari jiran sewilayah, Sabah. Dilihat secara seimbas pandang, memang wujud kerelevanan persoalan sedemikian dilontarkan. Namun, di samping hal sedemikian itu, pelarasan pemikiran harus dialirkan kepada titik pemula yang menalikan tindakan sedemikian. Hal yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah terhadap Akta A1642 yang membawa kepada pewartaan dan penguatkuasaannya.
Sokongan lebih daripada dua pertiga Ahli Parlimen dan perkenan berkenaan berupa ‘persetujuan’ berkanun akan pengiktirafan kedudukan dan hak kedua-dua buah wilayah yang berjiran, iaitu Sabah dan Sarawak sebagai ‘rakan sekutu’ dalam sebuah negara yang merdeka. Hak dan kedudukan yang membezakan kedua-dua wilayah daripada negeri-negeri lain di bawah jajahan Malaya. Negeri-negeri yang andai diterjemahkan secara mendalam, sama statusnya seumpama Bahagian-bahagian di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak mahupun Sabah. Hal yang jarang-jarang dilihat dan diterjemah secara mendalam akan komposisi jajahan yang terdapat dalam ketiga-tiga buah gabungan berkenaan.
Bersandarkan kepada hakikat penganjakan kedudukan sedemikian, sememangnya wajar dan bertepatan gelaran bagi Ketua Kerajaan kedua-dua wilayah yang telah diiktiraf setaraf, setara dan sekedudukan jentera pentadbirannya, disesuaikan sejajar dengan statusnya. Hakikatnya, penyamaan gelaran bagi Ketua Kerajaan kedua-dua buah wilayah ini seperti gelaran Ketua Negeri-negeri lain, tidak ubah seperti ‘merendahkan’ statusnya kepada Ketua Pentadbiran sesebuah Bahagian. Pernahkah difikirkan? Hal sedemikian sememangnya dijangka kurang disenangi dan mengundang pelbagai reaksi, khususnya daripada rakan-rakan di tanah seberang, namun, hakikat berkenaan harus diterima tanpa prejudis.
Hal sedemikianlah yang ditegaskan oleh Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menjelaskan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap Akta A1642, membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk menggunakan kebijaksanaan mentafsir dan menuntuk hak yang ‘terhakis’ seperti yang diperuntukkan dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Tuntasnya, tuntutan yang diperjuangkan, menurut beliau, adalah atas dasar Perlembagaan Persekutuan. Tambah beliau, Sarawak akan memastikan hak Sarawak dalam pengurusan serta pentadbiran sumbernya diperkukuh, sama ada dalam struktur ekonomi, pelancongan, mahupun ekonomi.
Persoalan primer atau utama yang perlu diberikan fokus ketika ini adalah, ‘pengembalian’ hak yang sekian lama ‘diabaikan’. Difahami bahawa apabila hak berkenaan telah dikembalikan, secara langsung, laras pemikiran akan ‘melebar’ kepada isu-isu tertentu yang keutamaannya didasarkan kepada kehendak dan keperluan kumpulan atau golongan yang menyuarakan ‘desakan’. Akan tetapi, sikap ketelitian, keberhemahan dan berhati-hati harus diterapkan. Ibarat kata pepatah, ‘ular mati, rotan tak pukah, tanah tak lekuk’ atau ‘ibarat menarik rambut dari dalam tepung’.
Dalam apa-apa juga tindakan, ada perancangannya, kaedah, aturan dan susilanya. Elemen-elemen yang menjadi penentu pencapaian kejayaan dalam pelaksanaannya. Bukannya sikap ‘bidan terjun’ yang perlu diterapkan dalam urusan yang melibatkan pentadbiran dan pengurusan negeri (atau wilayah). Perkara yang sama sekali ingin dielakkan adalah ‘ayam terlepas, tangan bau tahi’. Dalam situasi ini, ‘ayam’ sudah berada dalam reban (hak telah diperoleh). Peliharalah agar terus membiak, supaya diperoleh, bukan sahaja telurnya (yang sekarang naik harganya), malah dagingnya (berkurangan bekalan dan turut naik harganya).
Apa-apa juga tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri, seperti yang dinyatakan oleh Datuk Sri Abdul Rahman Hamzah, bersandarkan kebijaksanaan mentafsir dan menuntuk hak yang ‘terhakis’. Sudah pasti apa-apa juga perkara atau tuntutan telah dibincang dan difikir akan impaknya, di samping kekuatan rasionalnya dan bukannya secara terburu-buru. Hal sedemikian wajar dilihat dan ditaakul secara mendalam dengan peluasan skop yang holistik sifatnya. Bukan berdasarkan desakan naluri dan nubari yang memendam rasa ketidakpuasan hati yang ‘terkurung dan ‘terantai’ lebih setengah abad.
Pindaan gelaran sedemikian sewajarnya dilihat sebagai titik pemula yang memberi lebih kuasa dan ‘suara’ bagi tujuan menuntut hak-hak yang lain secara berperingkat dalam semangat kesetiakawanan yang utuh. Pelbagai sisi atau aspek yang perlu dilihat dan ditaakuli sebelum sesuatu tuntutan atau tindakan dizahirkan. Demikian juga implikasi yang bakal terbit daripada penzahirannya. Apatah lagi dalam konteks sebuah Persekutuan yang komponennya bukan sekadar membabitkan tiga wilayah, akan tetapi turut mencakupi segala apa yang terdapat di dalamnya, khususnya masyarakat yang berbilang kaum yang amat sensitif tentang apa-apa juga perkembangan atau tindakan yang tidak memihak kepada mereka.
Tuntasnya, langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak, walaupun mendapat pelbagai respons negatif golongan atau puak tertentu, pada hakikatnya berupa satu langkah bijak dari aspek pemerolehan kuasa dan hak bersuara Ketua Kerajaan, bagi merangka dan merancang tindakan selanjutnya berlandaskan peruntukan dan ketetapan yang diwartakan dalam MA63. Sewajarnya tidak harus timbul apa-apa kesangsian mahupun apa-apa juga polemik negatif yang hanya akan menghambat dan melambatkan proses pengembalian hak Sarawak khususnya, dalam Persekutuan Malaysia.
Memetik kata-kata Johann Wolfgang von Goethe, knowing is not enough, we must apply.; wishing is not enough, we must do, dan Socrates, the secret of change is to focus all of our energy, not on fighting the old, but on building the new. Taakuli dan fikirkan.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!