Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Menyingkap sejarah Feri Malaysia, merentasi Laut China Selatan
  • KOLUMNIS

Menyingkap sejarah Feri Malaysia, merentasi Laut China Selatan

Utusan Sarawak 18 hours ago

SEMASA lawatan baginda ke Sarawak baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah mencadangkan agar perkhidmatan Feri Malaysia antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah disambung semula.

Baginda bertitah bahawa usaha tersebut bukan sekadar pemulihan perkhidmatan laut, tetapi juga simbol penyatuan serta kesinambungan hubungan erat antara wilayah-wilayah di Malaysia.

Sebelum itu salah seorang senator dari Sarawak iaitu Datuk Ahmad Ibrahim pernah menyuarakan perkara sama semasa perbahasan di Dewan Negara. Dalam ucapannya pada 2024 menyatakan agar perkhidmatan Feri Malaysia ini disambung semula.

Saranan

Dalam perbahasan beliau menyatakan bahawa rancangan rintis untuk projek Feri Malaysia ini perlu digerakkan dahulu dari Kuching ke Johor Baharu, dan Kuching ke Kuala Lumpur. Selepas itu dilakukan pengembangan kepada jajaran yang lain pula.

FERI ini juga dikenali sebagai Ferry Cruise Muhibbah yang mempunyai keberatan sekitar 8,000 tan. Feri Malaysia ini mampu membawa kira-kira 650 penumpang dan merupakan feri persiaran mewah yang pertama dan terbesar di Malaysia.

Mungkin generasi hari ini tidak pernah terlintas dalam buah fikiran mereka telah ada satu perkhidmatan pengangkutan laut iaitu feri Malaysia antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Perkhidmatan feri tersebut telah dilancarkan pada 1986. 

Asal

Cadangan untuk melancarkan Feri Malaysia merupakan buah fikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu. Beliau mencadangkan pelaksanaan projek ini pada 1982, iaitu kira-kira setahun selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Cadangannya bertujuan untuk mengukuhkan integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Aspirasi untuk mewujudkan perkhidmatan feri ini turut dipengaruhi oleh kejayaan sistem feri di negara-negara Scandinavia, khususnya antara Finland, Norway dan Denmark.

Langkah seterusnya bagi merealisasikan rancangan ini ialah dengan menugaskan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSL) untuk menjalankan kajian mengenai pelaksanaan perkhidmatan feri tersebut.

Setelah kajian itu selesai, pada 1984, PNSL telah menubuhkan anak syarikat yang dinamakan Syarikat Feri Malaysia Sdn. Bhd. Tidak lama kemudian, cadangan pelaksanaan perkhidmatan feri ini dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk pertimbangan selanjutnya.

KEADAAN di atas Feri Malaysia. Foto fail

Setelah perbincangan diadakan dalam mesyuarat Kabinet, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek ini. Sejajar dengan keputusan tersebut, sebuah kapal feri bernama Nordic Sun — yang sebelum itu dikenali sebagai Prinz Oberon — telah dibeli dan diubah suai di Finland pada 1986 untuk dijadikan kapal pelayaran Feri Malaysia.

Tanggungjawab pengubahsuaian kapal ini telah dilaksanakan oleh Wartsila International Consulting Engineering, dan kerja-kerja tersebut dilaksanakan di galangan kapal Wartsila di Helsinki.

Proses pengubahsuian kapal ini dilakukan selama 64 hari bermula pada 13 Mei 1986.  Pengubahsuaian ini termasuk membina kolam renang dan bar kolam renang, dewan solat (surau), kedai dan bilik persidangan. 

Perubahan juga dilakukan ke atas enjinya dan kapasiti penghawa dingin ditingkatkan untuk menyesuaikannya dengan cuaca di Malaysia.   

Operasi 

Feri ini juga dikenali sebagai Ferry Cruise Muhibbah yang mempunyai keberatan sekitar 8,000 tan. Feri Malaysia ini mampu membawa kira-kira 650 penumpang dan merupakan feri persiaran mewah yang pertama dan terbesar di Malaysia. 

Ada sumber lain menyatakan feri ini mampu membawa 1,000 orang pada satu-satu masa. Selain penumpang, feri ini juga boleh membawa kereta persendirian termasuk lori ringan tidak melebihi 18 tan. 

Majlis pelancaran Feri Malaysia telah diadakan pada 31 Ogos1986 dan disempurnakan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah.

MAJLIS pelancaran Feri Malaysia telah diadakan pada 31 Ogos 1986 dan disempurnakan oleh Sultan Ahmad Shah yang turut berkenan menyertai pelayaran tersebut bersama Tuanku Mahkota Pahang ketika itu, Tengku Abdullah.

Baginda berkenan menyertai pelayaran tersebut bersama Tuanku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, kerabat diRaja Pahang, Menteri Besar Pahang, Datuk Khalil Yaacob, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kasitah Gadam.

Rombongan baginda ini disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce Muhammad Noor dan isteri Datin Patinggi Rosmiati. 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud bersama isteri, menteri-menteri dan menteri muda negeri dan orang kenamaan turut hadir menyambut rombongan tersebut.  

Abdul Taib berpendapat bahawa pengenalan perkhidmatan Feri Malaysia akan mempertingkatkan lagi pencapaian matlamat integrasi nasional. 

Beliau menambah bahawa perkhidmatan itu dapat memberi peluang kepada penduduk Semenanjung Malaysia mengenali lebih dekad pelbagai aspek kebudayaan dan sosial masyarakat di Sarawak dan Sabah.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, James Ongkili, beliau berpendapat bahawa perkhidmatan feri ini akan dapat menggalakkan lagi integrasi antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah.

Beliau turut menyatakan harapan agar tambang feri tersebut hanya sekitar 30 hingga 40 peratus daripada tambang kapal terbang, supaya perkhidmatan ini mampu dimanfaatkan oleh lebih ramai rakyat.  

Kemalangan

Setahun selepas dilancarkan satu kemalangan telah menimpa perkhidmatan feri tersebut. Pada 18 Oktober 1987 berdekatan dengan Pulau Tioman, enjin feri tersebut terbakar. 

Tindakan pantas pihak penyelamat telah dapat menyelamat semua penumpang feri tersebut.

Untuk tempoh dua tahun selepas itu, Feri Malaysia meneruskan perkhidmatannya walaupun mengalami kemalangan pada awalnya. Namun perkhidmatan Feri Malaysia terpaksa dihentikan pada 1989.

Pemberhentian perkhidmatan feri ini bukan disebabkan masalah kemalangan dialaminya sebelum ini tetapi kos pengurusan feri ini semakin tinggi. Keuntungan pula tidak mencukupi untuk menampung kos pengurusan feri tersebut. 

Pemberhentian

Masalah kewangan ini pernah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sulaiman Daud. Beliau menyatakan bahawa kerajaan memberi tempoh setahun untuk perkhidmatan feri tersebut memulihkan kedudukan kewangannya.

Dalam hal ini, beliau menyarankan agar pengendali feri berkenaan melaksanakan penstrukturan semula bagi menangani masalah kewangan yang dihadapi.

Beliau turut menambah bahawa faktor seperti saiz operasi dan laluan perkhidmatan berkemungkinan menjadi punca kepada kerugian yang dialami oleh syarikat feri tersebut, yang akhirnya membawa kepada masalah kewangan syarikat.

Dalam hal ini, jurucakap PNSL menyatakan bahawa mereka mungkin akan memperkenalkan pakej pelayaran baharu yang melibatkan kapal persiaran ke pulau-pulau peranginan tempatan serta destinasi di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Jurucakap syarikat itu juga menegaskan bahawa mereka akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan integrasi nasional dan pelancongan domestik.

Namun demikian, usaha pemulihan yang dijalankan oleh PNSL masih gagal mencapai penyelesaian yang diharapkan. Setelah tiga tahun beroperasi bagi tujuan mengukuhkan integrasi nasional, perkhidmatan feri tersebut akhirnyad itamatkan.

Walaupun perkhidmatan itu telah lama dihentikan, diharapkan agar hasrat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk melihat pemulihan semulaperkhidmatan feri ini akan menjadi kenyataan pada masa hadapan.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Fungsi kerlipan cahaya pada pesawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.