
SARAWAK dikenali sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Namun, keunikan yang paling terserlah bukan sekadar pada warisan, tetapi pada keharmonian yang terjalin dalam kalangan masyarakatnya.
Dalam Islam, keharmonian ini tidak datang dengan sendirinya, ia perlu disemai dengan nilai-nilai kasih sayang yang berpaksikan iman dan akhlak mulia.
Maka, sesuai dengan semangat Hari Sarawak, kita harus kembali menhayati ajaran Islam dalam membina negeri yang aman dan diberkati.
Dalam al-Quran, kasih sayang merupakan unsur penting yang ditekankan dalam pembinaan hubungan antara manusia. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (surah al-Hujurat ayat 10)
Ayat ini menegaskan bahawa umat Islam adalah satu keluarga besar. Dalam konteks Sarawak, yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum dan agama, konsep persaudaraan ini boleh diperluaskan kepada prinsip ukhuwah insaniyyah (persaudaraan kemanusiaan).
Dengan memelihara kasih sayang antara sesama manusia, sama ada Muslim atau tidak, kita menyemai benih perpaduan yang menghasilkan keamanan.
Kasih sayang bukan sekadar perasaan, tetapi satu tanda keimanan. Apabila kasih sayang menjadi nilai yang diamalkan dalam keluarga, masyarakat dan kepimpinan, maka pertikaian, hasad dan kebencian akan terhakis.
Inilah kunci untuk membina masyarakat yang harmoni dan saling mempercayai. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis: “Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, Islam juga mengajar kita untuk berbuat baik walaupun kepada yang berbeza agama. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 8: “Dan janganlah kebencian terhadap kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.”
KEAMANAN HASIL AKHLAK DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Keamanan bukan sekadar ketiadaan pergaduhan, tetapi keadaan di mana semua pihak merasa dihormati, didengari dan dilindungi.
Dalam Islam, keamanan bermula dari hati yang bersih dan niat yang baik. Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak akan menyerahkannya kepada musuh.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Di Sarawak, konsep ini dilihat dalam amalan jiran tetangga yang saling membantu, dan masyarakat kampung yang berkerjasama dalam urusan kematian, kenduri dan kebajikan.
Keamanan juga boleh dicapai apabila pemimpin dan rakyat sama-sama mengamalkan akhlak Islam.
Nabi Muhammad SAW diutuskan bukan hanya sebagai penyampai wahyu, tetapi sebagai contoh akhlak yang sempurna. Allah SWT menyatakan: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”(surah al-Qalam ayat 4)
Apabila akhlak ini dijadikan asas dalam pendidikan, pentadbiran dan urusan seharian, maka lahirlah sebuah negeri yang adil dan aman.
Sarawak memerlukan generasi muda yang bukan hanya bijak dalam ilmu, tetapi berakhlak dan bertanggungjawab. Mereka inilah bakal menyambung warisan negeri ke arah lebih gemilang.
Satu lagi prinsip penting ialah kejujuran dan amanah dalam memegang tanggungjawab. Dalam hadis, Nabi SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini bermakna keamanan adalah tanggungjawab bersama, bukan semata-mata tugas pihak berkuasa. Ibu bapa memimpin anak-anak, guru memimpin murid, dan rakyat memimpin diri dalam mentaati undang-undang dan nilai moral.
Apabila setiap individu sedar akan tanggungjawabnya, maka negara akan terpelihara.

Mendapat gelaran al-Faruq
ABDULLAH bin Mas’ud juga pernah berkata: “Keislaman Saidina Umar bin Al Khattab adalah kemenangan, hijrahnya adalah pertolongan dan kepemimpinannya adalah rahmat. Kamu telah melihat kami tidak dapat melakukan tawaf dan solat di Kaabah hingga Umar masuk Islam. Tatkala Umar masuk Islam, beliau memerangi orang-orang musyrik Quraisy dan akhirnya mereka membiarkan kami menunaikan solat dan tawaf di Kaabah”. Shuhaib bin Sinan berkata, “Tatkala Saidina Umar bin Al Khattab masuk Islam, beliau menzahirkan keislamannya dan mengajak untuk berdakwah secara terbuka. Kami duduk di sekitar Kaabah dengan membentuk halaqah (lingkaran), melakukan tawaf di Kaabah dan berjalan dengan membentuk barisan menghadapi orang yang berlaku kasar kepada kami”
Setelah Saidina Umar bin Al Khattab memeluk Islam di Darul Arqam, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah SAW, bukankah kita berada di pihak yang benar jika kita mati dan jika kita hidup?”. Rasulullah SAW menjawab: “Benar. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggamanNya, sesungguhnya kamu berada di pihak yang benar jika kamu mati dan jika kamu hidup”. Mendengar jawapan dari Rasulullah SAW itu, Saidina Umar bin Al Khattab pun berkata, “Jika begitu, mengapa dakwah Islam kita lakukan secara sembunyi-sembunyi? Demi Zat yang mengutus engkau dengan kebenaran, kita semua akan keluar dari rumah ini (untuk pergi berdakwah)”.
Dengan cadangan yang dilakukan oleh Saidina Umar bin Al Khattab itu, maka Rasulullah SAW dan para sahabat pun keluar dari Darul Arqam untuk berdakwah secara terang-terangan di hadapan Kaabah.
Rasulullah SAW memerintahkan agar para sahabat membentuk dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib manakala barisan yang kedua pula dipimpin oleh Saidina Umar bin Al Khattab.
Mereka bergerak beriringan menuju ke Kaabah untuk berdakwah dan beribadah secara terang-terangan. Dengan peristiwa ini, Rasulullah SAW memberi gelaran Al Faruq kepada Saidina Umar bin Al Khattab.
Al Faruq bermaksud ‘Pemisah antara hak dan batil’. Saidina Umar bin Al Khattab pernah berkata, “Ketika itu, kaum Quraisy melihat aku dan Hamzah. Mereka pun berasa ketakutan yang mana tidak pernah mereka rasakan sebelum itu. Maka pada hari itu Rasulullah SAW gelaran Al Faruq kepadaku”.
Oleh Hanzalah Azman