Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menyaring Diksi Menjadi Puisi
  • WBS

Menyaring Diksi Menjadi Puisi

Utusan Sarawak 3 years ago

Oleh Dilah Tuah

LAURENCE PERRINE (1915-1995) dalam Sound and Sense pernah mengungkapkan bahawa puisi adalah sejenis bahasa yang mengatakan lebih banyak dan lebih kuat daripada bahasa biasa. Dalam hal ini dapat difahami bahawa bukan mudah bagi penyair untuk menghasilkan sesebuah puisi yang benar-benar berada di luar lingkungan bahasa biasa dan mampu menjerat jiwa pembaca. Ironinya kesukaran ini tidak hanya dialami oleh penyair muda yang baharu berjinak di ladang kata, malah turut dirasai oleh penyair besar yang telah memiliki selautan kata.

A. Samad Said misalnya turut berdepan dengan kesukaran dalam kerja-kerja penghasilan puisi walaupun beliau seorang Sasterawan Negara. Hakikat ini diakui sendiri oleh A. Samad Said dalam bukunya Balada Hilang Peta (1990) dengan mengatakan bahawa dalam proses penghasilan puisi beliau perlu bijak memilih, menapis, mengambil dan membuang kata-kata yang tidak diperlukan untuk menghasilkan sebuah puisi yang sempurna. Proses ini dilakukan larik demi larik, rangkap demi rangkap sehingga sempurna sesebuah puisi. Dalam kajian puisi, proses ini dikenali sebagai pemilihan diksi iaitu memilih kata yang tepat untuk menyatakan idea atau gagasan seperti yang diharapkan.

Bagi seseorang penyair yang ingin membina wilayah kepenyairannya yang tersendiri, kemahiran memilih diksi yang tepat mampu mendorong kepada penghasilan puisi yang indah dan bermakna. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kesepaduan diksi, berupaya menyerlahkan idea dan makna kepada pembaca. Manakala diksi yang kabur dan tidak tersusun, akan merosakkan keindahan puisi serta membingungkan pembaca untuk mentafsirkan maknanya. Justeru, bagi penulis muda yang sedang berjinak-jinak untuk menghasilkan puisi, wajar sedikit sebanyak mempelajari dan menguasai ilmu diksi ini agar puisi yang dihasilkan tidak dilabel sebagai ungkapan bahasa biasa.  

Secara konseptual, diksi dalam maksud mudah diertikan sebagai pemilihan kata. Namun dalam karya sastera, diksi merujuk kepada pemilihan perkataan-perkataan yang khusus, tepat serta berfungsi untuk mengungkapkan idea dan gagasan. Justeru, penggunaan diksi yang tepat dapat membantu pembaca untuk memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Di sisi yang lain, diksi juga berperanan dalam memperkayakan perbendaharaan kata pembaca melalui kata-kata denotatif, konotatif, sinonim, antonim dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, dalam menelusuri kepentingan diksi dalam puisi, tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas akan dibincangkan. Puisi-puisi ini berjudul “Aku Masih Fasih Berterima Kasih” karya Affindi Hj. Jahari, “P.D.P.R” karya Zainulariffin Zawawi dan “Sujud” karya Azreen Azirah.

Puisi pertama bertajuk “Aku Masih Fasih Berterima Kasih” hasil nukilan Affindi Hj. Jahari merupakan sebuah puisi yang mudah untuk diterjah maknanya. Puisi ini berkisar tentang perubahan lambang parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021. Selain itu, puisi ini turut menyampaikan pesan kepada khalayak, tentang pentingnya proses demokrasi dalam mencorak masa depan anak negeri. Dalam puisi ini, penyair turut menitipkan pesan agar kita menghargai jasa kerajaan. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut:

Kutinggalkan Kuching

tika fajar menyingsing

menuju Bintulu

dengan hasrat satu yang jitu

kerana aku masih

fasih berterima kasih

maka aku akan kembali

ke sekolah rendah

untuk memangkah

sengaja kubalik awal

agar dapat kuberkongsi dengan ayah

tentang lambang yang telah berubah

ada kenyalang hitam merah

ada kenyalang terbang rendah

jadi usahlah tersalah pangkah

kerana di atas kertas penentu

hanya ada warna hitam yang satu

kepada ayah akan kucerita

kali ini bukan seperti yang biasa

jangan dicari lambang timbang tara

ayah juga pernah berulang pesan

anak yayasan

jangan lupa jasa kerajaan

kerana masih fasih berterima kasih

aku balik untuk memilih

Dari aspek kesesuaian waktu penyiaran, puisi ini sesuai diterbitkan semasa kehangatan kempen pilihanraya negeri Sarawak yang lalu. Kendatipun begitu, penyiarannya pada minggu lepas tidak menjadikan puisi ini janggal pada mata khalayak. Hal ini disebabkan binaan diksi puisi ini tidak terikat dalam ruang masa dan peristiwa. Dari aspek pemilihan diksi pula, masih terdapat beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh penyair. Pertama, bahasa puisi ini kelihatan bersifat denotatif iaitu diksi yang digunakan oleh penyair menyatakan makna yang sebenar. Hal ini menyebabkan puisi ini sedikit polos dan prosaik.

Aspek kedua pula, puisi ini didapati tidak ekonomis dalam ruang puisi yang terbatas sifatnya. Misalnya pada rangkap keempat, perkataan “akan” dan “yang” seharusnya digugurkan dan menjadi “kepada ayah kucerita/ kali ini bukan seperti biasa/ jangan dicari lambang timbang tara”. Selain itu, hal yang sama juga dikesan pada perkataan “fasih” dan “masih” dalam rangkap terakhir. Dicadangkan agar perkataan “masih” digugurkan dan menjadi “kerana fasih berterima kasih/ aku balik memilih”. Secara keseluruhan puisi ini mudah difahami kerana mempunyai pertautan idea dari satu rangkap ke satu rangkap yang lain. Pun begitu, untuk pergi lebih jauh dalam dunia kepenyairan, penyair perlu menyelam ke lautan kata untuk mencari mutiara kata yang indah dan bermakna.

Puisi seterusnya berjudul “P.D.P.R”hasil nukilan Zainulariffin Zawawi. Judul puisi tersebut merupakan akronim bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah, iaitu satu norma baharu dalam dunia pendidikan pada era pandemik COVID-19. Berpandukan judul yang diberikan, khalayak tentu dengan mudah menerka makna yang ingin disampaikan oleh penyair. Tambahan pula, isu yang dibawa oleh penyair sememangnya hangat diperkatakan oleh masyarakat sejak dunia diancam COVID-19. Hal ini secara tidak langsung jelas membuktikan betapa penyair seorang insan yang peka dengan permasalahan dan isu-isu pendidikan yang sedang melanda dunia. Kesemua ini diungkapkan oleh penyair seperti di bawah:

Pengalaman bekalan rasa

Menggilapkan akar pintar

Menunjang kematangan

Pintamu wahai murabbi mendatang

Bicara wadah rohani dunia

Bicara wadah abadi hakam

Bicara wadah fanaan alam

Diwarisikan fasa mendepan

Kepala segala nyata

Moga ilmu tidak dipersiakan

Cahaya disapu kelam

Panas menanti rasa

Digulingkan norma baharu

Mengaplikasikan semula imbasan era moyang dahulu kala

Umpama momen Perang Dunia Pertama

Umpama momen kemelesetan ekonomi 90-an

Umpama momen zaman penjajahan Jepun

Menafsirkan protokol norma-norma seawal

Harapan mengerti apa itu kesusahan

P.D.P.R

Ketikan kanta sedia

Digital lensa sedia

Bersemuka maya memudahkan

Memacukan lelangit pembelajaran yang terbatalkan

Bagaikan bidang dirujuk semula

Langkah terhenti

Rangkaian sekati

Ketidakstabilan fenomena waktu bergenting

Arus pengajaran tertunda berhari

Menjejaskan tali pengetahuan dan manfaat sebuah pembelajaran hakiki.

            Dari aspek diksi, puisi ini tampak prosaik dan polos. Prosaik disebabkan penyair tidak menyaring kata-kata terbaik menjadi susunan yang terbaik. Hal ini dapat diperhatikan pada hampir kesemua rangkap puisi ini. Selain itu, penyair juga didapati agak cuai dalam memilih kata yang sepadan dan sesuai. Misalnya perkataan “lelangit” pada rangkap keempat tidak sesuai membentuk frasa “lelangit pembelajaran” biarpun penyair ingin memetaforakannya. Hal ini disebabkan perkataan “lelangit” secara harfiahnya merujuk kepada anggota badan yang terletak di rongga mulut. Selain itu, disebabkan puisi ini polos, maka makna yang ingin disampaikan oleh penyair bersifat denotatif atau makna langsung. Gaya sebegini sebenarnya tidak sesuai dengan bahasa puisi kerana ia mampu mengurangkan nilai estetika sesebuah puisi.

            Dari aspek kesatuan idea pula, rangkap pertama didapati tidak bertautan dengan rangkap kedua. Malah dalam rangkap kedua, penyair menyamakan keadaan yang berlaku pada masa kini sama seperti waktu perang dunia pertama, pendudukan Jepun sekitar tahun 1940-an dan kemelesetan ekonomi pada tahun 1990-an. Perbandingan yang melampau itu secara tidak langsung telah menjejaskan inti pati puisi ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada era pandemik COVID-19, sistem pendidikan kita masih berjalan seperti biasa namun perlaksanaannya sahaja yang berbeza. Perkara ini dinyatakan secara jelas oleh penyair dalam rangkap terakhir tentang halangan dan cabaran yang dihadapi sewaktu melaksanakan PdPR.

            Secara keseluruhan, puisi ini memerlukan pemurnian semula agar kata-kata yang dipilih memperlihatkan kesepaduan diksi serta berada jauh dari lingkungan bahasa biasa. Harus disedari bahawa puisi bukan sekadar luapan perasaan penyair yang ditulis untuk menyatakan ekspresi diri. Puisi ialah keindahan yang mampu membijaksanakan pembaca dan mendewasakan penyair.

            Puisi terakhir berjudul “Sujud” karya Azreen Azirahdiolah dalam dua rangkap. Puisi ini berkisar tentang keinsafan seorang hamba angkuh yang kalah pada takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dari sudut bentuk, puisi ini lebih mengarah kepada puisi Islam. Bentuk tersebut dapat diperhatikan daripada tajuk sehingga pada bait-bait kata yang disusun oleh penyair di dalam puisi ini. Perkataan ‘sujud’ yang menjadi teras pembinaan puisi ini, secara jelas melambangkan kerendahan manusia di hadapan Allah SWT. Berikut merupakan susunan dua rangkap puisi yang dibincangkan:

Hari ini aku rebah dalam tangis yang enggan henti

tangan dan kaki aku rapatkan ke bumi

seluruh tubuh aku rundukkan menghadap Ilahi

seorang hamba angkuh

kini kalah pada takdir yang telah dimungkiri.

Ya Rabb

andai ini sujud terakhirku

sematkan berkat dalam setiap rezekiku

sisipkan restu dalam setiap doaku

kurniakan keampunan buat setiap ungkapan taubatku

Pada dasarnya, puisi ini dapat dikategorikan sebagai puisi mudah kerana senang diterka maknanya oleh pembaca. Tidak terdapat makna konotatif digunakan oleh penyair sehingga sukar untuk pembaca memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Di Malaysia, bentuk sebegini sememangnya lebih digemari oleh khalayak berbanding puisi-puisi yang mempunyai makna yang berlapis-lapis. Dari sudut bentuk, puisi ini tampak tidak ekonomis dan prosaik. Beberapa baris pada rangkap pertama misalnya, memerlukan pemadatan kata dan penyusunan semula agar tidak menjadi seperti bentuk prosa.

Tidak dinafikan, penyair mahu membina rima akhir yang sama seperti pada kata “henti”, “bumi”, “Ilahi”, dan “dimungkiri”, namun bentuk sebegini lebih mendekati gaya puisi tradisional. Gaya yang sama juga dikesan pada rangkap kedua yang diakhiri dengan kata “terakhirku”, “rezekiku”, “doaku” dan “taubatku”. Hakikatnya, bentuk sebegini tidak salah untuk diaplikasikan ke dalam puisi moden, namun keterikatan pada rima boleh menjejaskan binaan sesebuah puisi. Dicadangkan supaya penyair membaca puisi-puisi Abizai, yang turut mementingkan rima akhir dalam puisi namun dalam jumlah yang seimbang dan menyenangkan.

Secara keseluruhan dapat disimpulkan bahawa ketiga-tiga puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Memandangkan perbincangan ini memfokuskan aspek diksi dalam puisi, maka hal-hal yang bersangkutan dengan pemilihan kata tentu sekali menjadi teras utama perbincangan ini. Di samping itu, teguran yang dibuat di ruangan ini bukan bermaksud untuk mencari kesalahan penyair, namun lebih kepada berkongsi pandangan dari kaca mata pembaca. Penyiar yang baik pasti akan terus berusaha menghasilkan puisi yang indah dan seterusnya membina wilayah kepenyairannya yang tersendiri. Pada peringkat ini nanti, penyair pasti dapat merasai kenikmatan dalam penciptaan puisi. Teruskan berkarya!

Continue Reading

Previous: Hantu Tahajud
Next: Hantu Tahajud: Realiti kreatif dan ruang keinsafan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.